Ahad, 26 Oktober 2008

MODEL HIBRID

Pengeluar fokus model hibrid

Oleh Mohd Razlan Salleh 
mrazlan@hmetro.com.my 





KRISIS kelembapan ekonomi dunia tidak mengganggu kelancaran Pameran Motor Paris 2008 (Paris Motor Show) memperagakan beberapa model konsep dan jentera terbaru untuk pasaran global.

Pameran selama 15 hari bermula 4 hingga 18 Oktober lalu itu berjaya dengan penyertaan lebih 360 kenderaan dari 25 negara.


Malah, kegawatan tidak melemahkan semangat 1.43 juta peminat kenderaan seluruh dunia hadir di pameran itu.

Kenderaan mesra alam terus mendapat perhatian selain jentera yang menggunakan enjin lebih berkuasa, aerodinamik dan berteknologi tinggi.

Kebanyakan pengeluar kenderaan dunia kini lebih memberi fokus kepada pengenalan model hibrid, berkuasa elektrik dan penjimatan minyak melalui penggunaan bahan bakar alternatif selain petrol.

Sebanyak 20 kenderaan konsep dipamerkan di Pusat Ekspo Porte de Versailles, Paris yang anjurkan Organisation Internationale des Constructeurs d'Automobiles, Perancis.

Antaranya model konsep yang mendapat perhatian terdiri daripada Audi A1 Sportback, BMW X1, Chevrolet Orlando, Citroen GT, C-Cactus Hybrid dan Hypnos, Honda Insight, Lamborghini Estoque.

Maserati GranTurismo MC, Mazda Kiyora, Mercedes-Benz Concept, Mini Crossover, Nissan Nuvu, Peugeot Prologue dan Peugeot RC, Pininfarina B0, Renault Ondelios dan Z.E, Saab 9-X Air BioHybrid dan Ssangyong C200.

Audi A1 Sportback adalah kenderaan konsep generasi kedua yang dipamerkan di pameran kali ini.

Kenderaan lima pintu itu hasil kejayaan pembangunan projek khas yang dikenali sebagai 'Metroproject Quattro'.

Ia dijana enjin hibrid yang dipadankan bersama enjin petrol 1.4 L klac berkembar menjadikan pertambahan kuasa sebanyak 27 kuasa kuda (bhp) daripada enjin asal.

A1 Sportback mencatatkan masa 7.9 saat untuk jarak 62 batu sejam (mph) apabila kuasa elektrik memacu roda hadapannya.

Citroen GT adalah model terbaik hasil kerjasama Citroen dan pengeluar simulasi perlumbaan terkenal Jepun, Polyphony Digital.

Jentera seberat 1,400 kilogram (kg) itu menggunakan sel bahan api sebagai nadinya menghasilkan 780 bhp daripada empat motor elektrik yang terdapat pada enjinnya.

Selain itu, model Citroen C-Cactus dicipta berdasarkan konsep pokok kaktus yang boleh hidup tanpa perlu menerima air yang banyak.

Ini terbukti apabila C-Cactus hanya memerlukan bahan bakar serendah 3.4 liter untuk jarak perjalanan sejauh 100 kilometer (km).

Honda Insight generasi kedua adalah antara model yang menjadi pertaruhan Honda untuk pasaran Eropah.

Model itu memerlukan 3.53 liter bahan bakar untuk perjalanan sejauh 100 km dan lebih menjimatkan daripada model Civic Hybrid yang menggunakan 5.88 liter bahan api untuk jarak perjalanan sama.

Bagi penggemar Ferrari, pelancaran California dijangka mendapat sambutan hangat berikutan ia satu-satunya model kenderaan mewah itu dengan tempat duduk lebih luas.

California dijana enjin 4.3 L V8 yang menghasilkan 453 kuasa kuda dengan klac berkembar tujuh kelajuan. Model ini adalah yang pertama menggunakan sistem suntikan terus petrol.

Keseluruhannya, pameran motor tertua (pertama kali diadakan pada 1898) itu memberi keyakinan semula kepada pengguna kemampuan dan keprihatinan pengeluar automotif dunia yang peka dengan kepupusan bahan bakar dan cenderung menggunakan bahan alternatif mesra alam.


SOURCE:  MYMETRO ONLINE
KRISIS kelembapan ekonomi dunia tidak mengganggu kelancaran Pameran Motor Paris 2008 (Paris Motor Show) memperagakan beberapa model konsep dan jentera terbaru untuk pasaran global.















Selasa, 14 Oktober 2008

GEJAL DEMAM TIFOID

Gejala demam tifoid

# Demam (39 hingga 40° Celsius)

# Badan terasa lemah

# Sakit kepala

# Sakit perut

# Hilang selera makan

# Cirit-birit (kanak-kanak)

# Sembelit (orang dewasa)

Diagnosis, komplikasi dan rawatan

Diagnosis tepat boleh dilakukan dengan dua cara iaitu ujian kultur darah (pada minggu pertama selepas demam) atau kultur najis. Bagaimanapun, cara ini jarang dilakukan kerana ia tidak praktikal.

Menurut Dr Lim, komplikasi demam tifoid jarang berlaku. Kebanyakan pesakit segera berjumpa doktor kerana gejala demam tifoid menyebabkan mereka berasa lemah, tidak bertenaga, sakit perut dan kepala sehingga menjejaskan aktiviti harian.

Namun jika dibiarkan dan tidak mendapat rawatan segera, demam tifoid boleh menyebabkan:

# Pendarahan usus

# Penembusan usus (usus menjadi bocor atau berlubang)

# Peritonitis (keradangan membran yang mengalas abdomen)

# Renjatan (bagi kes serius)

# Kematian (bagi kes serius)

“Kematian akibat demam tifoid tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh dirawat dengan mudah melalui pengambilan antibiotik seperti ampicilin, trimethorprim-sulfametahoxale dan ciproflaxin.

“Pesakit akan menunjukkan kesan positif dalam masa dua hingga tiga hari selepas mengambil antibiotik. Pesakit yang gagal mendapat rawatan pula boleh mengalami demam sehingga berbulan lamanya.

“Jangkitan bakteria demam tifoid tidak hilang walaupun gejalanya tiada. Penyakit boleh muncul kembali dan berjangkit kepada orang lain,” katanya.

Selain mengamalkan kebersihan ketika menyedia, memasak dan menyimpan makanan, penyebaran bakteria ini boleh dihentikan melalui pengambilan vaksin.

Ketika ini pengambilan vaksin diwajibkan ke atas semua pengendali restoran atau gerai makanan. Namun, masalah boleh timbul kerana banyak pengusaha mengambil pekerja sambilan yang tidak mendapat suntikan vaksin tifoid.

Malah, kita juga perlu lebih berhati-hati apabila membeli juadah berbuka kerana risiko mendapat jangkitan bakteria S typhii sentiasa ada. Beli makanan daripada gerai bersih dan penjualnya turut mengambil langkah dalam memastikan juadah dijualnya selamat iaitu menggunakan bekas makanan bertutup, senduk bersih dan berasingan bagi setiap jenis makanan serta tidak mengambil makanan (contohnya kuih) dengan tangan.

Jika anda diserang demam tifoid dan mendapat rawatan, beberapa langkah penting perlu dipatuhi iaitu:

# Habiskan semua antibiotik yang diberi mengikut jadual

# Basuh tangan dengan sabun setiap kali selepas keluar dari tandas

# Elak memasak atau menghidang makanan kepada orang lain untuk mengurangkan risiko jangkitan

# Buat pemeriksaan sampel darah atau najis bagi memastikan bakteria S typhii tiada lagi dalam badan anda



Cara mengelak demam tifiod:

# Elak makanan dan minuman berisiko tinggi dapat membantu anda daripada penyakit cirit-birit, kolera dan hepatitis A

# Beli air minuman yang dimasak atau dibotolkan

# Makan makanan yang dimasak saja dan ketika masih panas

# Elak makan sayur-sayuran mentah atau buah-buahan yang tidak dikupas kulit.

# Elak membeli makanan daripada warung tepi jalan, terutama berhampiran lalu lintas yang sibuk. Kebanyakan demam tifiod membabitkan makanan atau minuman yang dijual secara terbuka di tepi jalan

# Kupas buah atau sayur selepas mencuci tangan dengan sabun

# Elak minuman berais kerana bimbang sumber air yang digunakan untuk membuat ais itu tercemar. Bakteria ini boleh hidup lama di dalam persekitaran sejuk

# Pengendali, pengusaha dan pekerja restoran perlu mendapatkan suntikan pencegahan demam tifoid setiap tiga tahun. Suntikan ini juga perlu jika anda mahu melancong ke negara yang banyak kes demam tifoid (sekurang-kurangnya seminggu sebelum berangkat). 



SOURCE:   http://serikasih.blogspot.com

Khamis, 2 Oktober 2008

KERETA HIBRID LEBIH MAHAL

Kereta hibrid lebih mahal



HONDA Insight dengan enjin hibrid.

WALAUPUN menjimatkan penggunaan minyak, kereta hibrid belum meluas di pasaran akibat pelbagai halangan. 

Antara faktor halangan utama adalah harga yang lebih mahal kerana kereta hibrid mempunyai banyak komponen, berbanding sistem konvensional. Kebanyakan komponen adalah elektronik yang kompleks, terutama sistem kawalan. 



Sebuah kereta hibrid Honda dengan enjin kapasiti 1.3 liter berharga antara RM160,000 hingga RM170,000. Kos kereta yang sama tetapi menggunakan enjin pembakaran dalam pula berharga antara RM110,000 hingga RM120,000.


Perbezaan harga yang besar ini kerana reka bentuk kereta hibrid yang kompleks. Badan kenderaan ini dikatakan diperbuat daripada aluminium yang mahal untuk meringankan keseluruhan kenderaan. 

Bolehkah kos kereta hibrid dikurangkan? Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azhar Abdul Aziz, percaya ini boleh dilakukan dengan penggunaan komponen elektronik secara meluas, kos pemasangan yang rendah dengan peningkatan permintaan, reka bentuk mudah dan ringkas serta subsidi kerajaan. 

Katanya, ini memerlukan penyelidikan rapi oleh pengeluar kenderaan dalam usaha menembusi pasaran di dunia.

Penggunaan kereta hibrid tidak terlepas daripada kontroversi kerana isu alam sekitar akibat penggunaan bateri sistem hibrid. 



Ketika ini, kereta hibrid menggunakan dua jenis bateri, iaitu nikel logam hidrid (nickel metal hydride) dan lithium ion. Walaupun kurang toksik berbanding yang berasaskan plumbum, bateri hibrid tetap dianggap berbahaya. 

Selain itu, teknologi hibrid masih baru dan memerlukan pengujian rapi serta masih kurang pusat servis yang menyediakan perkhidmatan lepas jualan. 

Ketika pengeluar kereta gergasi dunia berlumba-lumba memajukan kereta hibrid, pengeluar kereta kecil, termasuk Proton, menghadapi cabaran sama ada turut mengeluarkan kereta ini atau terus ketinggalan.

Dr Azhar berkata, cabaran pengeluar kereta kecil untuk menghasilkan teknologi hibrid adalah kos pelaburan yang tinggi, keperluan tenaga pakar penyelidikan dan suatu jangka masa untuk melihat hasil penyelidikan tercapai. 

Walaupun prototaip kereta hibrid berjaya dihasilkan, katanya pembinaan kilang mengeluarkan kereta hibrid memerlukan pelaburan besar dan rangkaian vendor yang banyak. 



“Kita perlu ingat bahawa terdapat banyak pihak yang melaburkan wang berbilion ringgit untuk menghasilkan sistem hibrid yang boleh diguna secara komersil seperti General Motor, Chryesler, Toyota, Honda, Ford dan Citreon.

Usaha Proton untuk bersaing dalam teknologi dan pengeluaran kereta hibrid ibarat perlumbaan Formula One. Pelumba yang handal tidak mencukupi, tetapi memerlukan sokongan kewangan dan kerja berpasukan yang kukuh serta dedikasi. 

Persoalan pokok kepada pengeluar tempatan adalah bersediakah mereka menceburi arena ini atau sekadar cukup dengan permintaan tempatan sedia ada? 



KERETA ELEKTRIK 

Kereta yang menggunakan motor elektrik untuk menghasilkan pergerakan. Sumber tenaga elektrik diperoleh dari bateri dalam kereta itu. Sumber lain yang berpotensi ialah dari fuel cell dan tenaga suria. Motor elektrik yang sering digunakan sekarang adalah dari jenis motor arus ulang-alik (AU). Kebelakangan ini, motor yang menggunakan magnet kekal juga popular kerana kos magnet kekal yang semakin menurun dan kualiti semakin meningkat. 

Prof Madya Dr Nik Rumzi Nik Idris dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata secara ringkas, kereta elektrik bergerak apabila motor elektrik menghasilkan daya kilas dan ya memutarkan tayar.

 

Katanya, kelajuan dan kuasa pemacuan kereta elektrik adalah berdasarkan kelajuan atau daya kilas motor elektrik. Pengawalan daya kilas atau kelajuan motor boleh dilakukan secara cekap dan pantas menggunakan penukar elektronik kuasa. 

“Apabila pemandu menekan pedal pemecut, pengawal akan memberikan isyarat kepada penukar elektronik kuasa untuk membekalkan arus atau voltan kepada motor yang berkadaran dengan tekanan kaki yang dikenakan pada pedal. 

“Kuasa yang digunakan untuk membrek boleh dikembalikan untuk mengecas bateri. Ini bermakna tenaga untuk membrek tidak akan hilang sebagai haba seperti kereta biasa,” katanya. 

Beliau berkata, penggunaan tenaga kereta elektrik lebih cekap kerana motor elektrik serta penukar elektronik kuasa boleh mencapai kecekapan hingga 90 peratus, berbanding enjin kereta pembakaran bahan api yang biasanya mempunyai kecekapan 20 peratus. 

Selain itu, katanya kos penyelenggaraan lebih rendah kerana tidak membabitkan penukaran minyak enjin, brek dan ekzos. Namun kos bateri adalah agak tinggi dan jangka hayat bateri haruslah panjang untuk memastikan bateri tidak perlu selalu ditukar. 



HYDROFUEL 

Hydrofuel yang dihasilkan sebuah syarikat tempatan, Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd (HFI), adalah formula penjimatan bahan api hingga 29 peratus dengan menggunakan air sebagai bahan bakar bersama petrol. 

Presiden HFI, Dr Halim Ali, berkata Hydrofuel menggunakan sistem teknologi air sebagai bahan bakar sesuai digunakan bagi kenderaan berkapasiti 2,000cc ke bawah. 

Memperjelaskan teknologi itu, katanya: ”Air dipecahkan menggunakan frekuensi tinggi dan dikongsi kegunaannya bersama petrol ketika melalui injektor kereta. 



"Melalui sistem ini, pemilik kenderaan boleh menjimatkan penggunaan petrol sebanyak 29 peratus dan pada masa sama, membantu memelihara alam sekitar," katanya 

Pengguna Hydrofuel hanya perlu memastikan sebuah air sebuah tong berkapasiti lima liter mencukupi. Setiap tong membolehkan penggunaannya bertahan hingga 2,000 kilometer. 

Apabila air berkurangan, alat pengesan yang dipasang pada kenderaan akan memberi amaran supaya menambah air pada paras yang disyorkan.


SOURCE:   BERITA HARIAN ONLINE