Warna asap petanda kesihatan enjin
Oleh Mohd Razlan Sallehmrazlan@nstp.com.my
RAMAI pemilik kenderaan terutama berenjin petrol kurang menyedari atau tidak mengambil peduli mengenai asap dimuntahkan kenderaan mereka.
Sama ada asap hitam seperti kenderaan diesel atau asap putih seperti motosikal dua lejang, pemilik kenderaan seolah-olah menganggap ia perkara biasa yang akan hilang dalam tempoh tertentu.
Tahukah anda asap dari muncung ekzos sebenarnya memberi gambaran ada perkara tidak kena pada enjin jentera mereka?
Asap dikeluarkan ekzos berpunca daripada pembakaran bahan api bercampur udara dalam enjin.
Bagaimanapun, asap dikeluarkan itu tidak sama antara satu kenderaan dengan kenderaan lain, bergantung pada tahap kerosakan enjin serta kecekapan pembakaran bahan api berkenaan.
Secara umum, setiap warna asap menunjukkan tanda prestasi enjin kenderaan, sama ada asap atau karbon yang keluar itu disebabkan pembakaran minyak keterlaluan atau kerosakan sistem enjin.
Biasanya, apabila kenderaan mengeluarkan terlalu banyak asap, anda sering menganggap ia berpunca daripada minyak pelincir yang turut hadir dalam pembakaran minyak.
Bagaimanapun, keadaan itu mungkin juga berpunca daripada masalah pada komponen kenderaan lain seperti karburator, sistem penalaan dan jenis minyak pelincir tambahan.
Dari segi mekanikal, jika warna asap itu kebiruan dan sedikit, bermakna proses pembakaran sempurna, tetapi jika kekuningan atau coklat, ia menunjukkan campuran petrol yang masuk dalam sistem pembakaran terlalu sedikit.
Apabila warna asap menjadi putih kebiruan pula, kemungkinan besar minyak pelincir turut terbakar.
Keadaan itu ada kaitan dengan kerosakan omboh, gelang omboh, dinding silinder dan injap yang mungkin berpunca akibat kekurangan pelincir sehingga menyebabkan geseran.
Sekiranya keadaan itu berlaku, pemilik tidak perlu bimbang kerana kenderaan masih boleh digunakan.
Pemilik kenderaan hanya perlu menambah minyak pelincir selang beberapa hari bergantung kepada jarak perjalanan.
Satu cara mengatasinya adalah dengan melakukan baik pulih pada enjin atau mengganti enjin kenderaan bagi menghilangkan terus masalah berkenaan.
Ini kerana kos menggantikan keseluruhan komponen enjin lebih tinggi berbanding menggantikannya dengan enjin terpakai atau 're-cond.'
Bagi kenderaan mengeluarkan asap hitam, ia berpunca daripada campuran petrol lebih tinggi dalam udara.
Keadaan itu menyebabkan kenderaan terasa lebih berat dan lambat memecut walaupun pedal minyak sudah habis ditekan.
Bagi masalah itu, pemilik dinasihatkan memeriksa penapis udara atau menukarnya jika perlu kerana ia mungkin tersumbat disebabkan kotoran atau habuk pada bahagian injap udara dan karburator.
Selain itu, kebocoran pada gasket enjin turut menyebabkan minyak mengalir keluar dan terbakar sehingga mengeluarkan banyak asap serta mewujudkan ruang yang boleh dimasuki air ke ruang pembakaran minyak.
Asap putih disebabkan minyak pelincir berbeza dengan asap putih disebabkan campuran wap air.
Jika asap putih disebabkan pelincir, ia biasanya disebabkan masalah pembakaran dan berbau petrol.
Penyelarasan perlu dibuat pada karburator atau sistem penalaan bagi memastikan kadar bahan api dan udara memasuki ruang pembakaran pada jumlah tepat.
Bagaimanapun, jika asap masih keluar selepas membuat penyelarasan, pemilik perlu mendapatkan bantuan mekanik bagi mengenal pasti kerosakan dan membaikinya terutama karburator.
Kerosakan atau penyelarasan karburator tidak tepat boleh menyebabkan kadar bahan api dan udara yang memasuki ruang pembakaran tidak seimbang, jika minyak berlebihan akan mengeluarkan asap hitam.
SOURCE: MYMETRO ONLINE
Tuan. Kembara DVVT mengeluarkan asap hitam sejak saya menggunakan patrol 97. sebelum ini saya gunakan Petrol 95. Penggunaan petrol sgt byk. Full tank dlm 150 km shj. Adakh berpunca dari sini? Apa p erlu saya lakukan?Tolong beri pdpt?
BalasPadam