Memaparkan catatan dengan label WEB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label WEB. Papar semua catatan

Selasa, 31 Mac 2009

Warna asap petanda kesihatan enjin

Warna asap petanda kesihatan enjin

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my



RAMAI pemilik kenderaan terutama berenjin petrol kurang menyedari atau tidak mengambil peduli mengenai asap dimuntahkan kenderaan mereka.

Sama ada asap hitam seperti kenderaan diesel atau asap putih seperti motosikal dua lejang, pemilik kenderaan seolah-olah menganggap ia perkara biasa yang akan hilang dalam tempoh tertentu.


Tahukah anda asap dari muncung ekzos sebenarnya memberi gambaran ada perkara tidak kena pada enjin jentera mereka?

Asap dikeluarkan ekzos berpunca daripada pembakaran bahan api bercampur udara dalam enjin.

Bagaimanapun, asap dikeluarkan itu tidak sama antara satu kenderaan dengan kenderaan lain, bergantung pada tahap kerosakan enjin serta kecekapan pembakaran bahan api berkenaan.

Secara umum, setiap warna asap menunjukkan tanda prestasi enjin kenderaan, sama ada asap atau karbon yang keluar itu disebabkan pembakaran minyak keterlaluan atau kerosakan sistem enjin.

Biasanya, apabila kenderaan mengeluarkan terlalu banyak asap, anda sering menganggap ia berpunca daripada minyak pelincir yang turut hadir dalam pembakaran minyak.

Bagaimanapun, keadaan itu mungkin juga berpunca daripada masalah pada komponen kenderaan lain seperti karburator, sistem penalaan dan jenis minyak pelincir tambahan.

Dari segi mekanikal, jika warna asap itu kebiruan dan sedikit, bermakna proses pembakaran sempurna, tetapi jika kekuningan atau coklat, ia menunjukkan campuran petrol yang masuk dalam sistem pembakaran terlalu sedikit.

Apabila warna asap menjadi putih kebiruan pula, kemungkinan besar minyak pelincir turut terbakar.

Keadaan itu ada kaitan dengan kerosakan omboh, gelang omboh, dinding silinder dan injap yang mungkin berpunca akibat kekurangan pelincir sehingga menyebabkan geseran.

Sekiranya keadaan itu berlaku, pemilik tidak perlu bimbang kerana kenderaan masih boleh digunakan.

Pemilik kenderaan hanya perlu menambah minyak pelincir selang beberapa hari bergantung kepada jarak perjalanan.

Satu cara mengatasinya adalah dengan melakukan baik pulih pada enjin atau mengganti enjin kenderaan bagi menghilangkan terus masalah berkenaan.

Ini kerana kos menggantikan keseluruhan komponen enjin lebih tinggi berbanding menggantikannya dengan enjin terpakai atau 're-cond.'

Bagi kenderaan mengeluarkan asap hitam, ia berpunca daripada campuran petrol lebih tinggi dalam udara.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan terasa lebih berat dan lambat memecut walaupun pedal minyak sudah habis ditekan.

Bagi masalah itu, pemilik dinasihatkan memeriksa penapis udara atau menukarnya jika perlu kerana ia mungkin tersumbat disebabkan kotoran atau habuk pada bahagian injap udara dan karburator.

Selain itu, kebocoran pada gasket enjin turut menyebabkan minyak mengalir keluar dan terbakar sehingga mengeluarkan banyak asap serta mewujudkan ruang yang boleh dimasuki air ke ruang pembakaran minyak.

Asap putih disebabkan minyak pelincir berbeza dengan asap putih disebabkan campuran wap air.

Jika asap putih disebabkan pelincir, ia biasanya disebabkan masalah pembakaran dan berbau petrol.

Penyelarasan perlu dibuat pada karburator atau sistem penalaan bagi memastikan kadar bahan api dan udara memasuki ruang pembakaran pada jumlah tepat.

Bagaimanapun, jika asap masih keluar selepas membuat penyelarasan, pemilik perlu mendapatkan bantuan mekanik bagi mengenal pasti kerosakan dan membaikinya terutama karburator.

Kerosakan atau penyelarasan karburator tidak tepat boleh menyebabkan kadar bahan api dan udara yang memasuki ruang pembakaran tidak seimbang, jika minyak berlebihan akan mengeluarkan asap hitam.



SOURCE: MYMETRO ONLINE

Sabtu, 20 September 2008

Membaiki “Task Manager is Disabled”

Membaiki “Task Manager is Disabled”



23 January, 2008 (01:26) | Masalah Komputer, Virus/Malware | By: MK

Satu masalah yang kerap kali berlaku akibat serangan virus ialah fungsi Task Manager dihalang. Jika anda klik kanan pada taskbar dan ’Task Manager’ berwarna kelabu, ia bermakna ia Task Manager telah disekat. Jika anda cuba membukanya melalui Run > taskmgr pula, satu kotak mesej akan keluar: “Task Manager has been disabled by your administrator.”

Untuk mengembalikan semula fungsi Task Manager ini, anda haruslah terlebih dahulu membuang virus pada komputer tersebut. Gunakan perisian Anti-Virus seperti Avira, Avast, ataupun AVGFree. Kalau Antivirus pun gagal dibuka dalam Windows, ketahui bagaimana untuk scan virus sebelum masuk ke dalam Windows.

Untuk mengembalikan semula fungsi Task Manager ini, anda boleh gunakan regedit ataupun gpedit.msc. Ikuti salah satu dari dua cara di bawah:


Menggunakan Registry Editor (regedit)

  1. Pada kotak Run, taipkan regedit dan tekan Enter untuk melancarkan Registry Editor.
  2. Pergi ke HKEY_CURRENT_USER\Software\Microsoft\Windows\CurrentVersion\Policies.
  3. Cari DisableTaskMgr dan tukarkannya kepada 0.

Menggunakan Group Policy Editor (gpedit.msc)

  1. Pada kotak Run, taipkan gpedit.msc dan tekan Enter untuk melancarkan Group Policy Editor.
  2. Pergi ke User Configuration\Administrative Templates\System\Ctrl + Alt + Del Options
  3. Pada bahagian kanan, double-click pada Remove Task Manager dan tukar.


source: http://sembangkomputer.com

Jumaat, 29 Ogos 2008

TIKET RAYA SUDAH DI JUAL

Tiket bas balik raya sudah mula dijual


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Ramai anak perantau yang beberapa hari lalu 'resah' kerana masih belum dapat membeli tiket bas ekspres untuk pulang berhari raya di kampung, kini sudah boleh tersenyum.


Ini kerana Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA), Datuk Dr. Mohamad Ashfar Ali memberi jaminan tiket-tiket bas itu sudah mula dijual sejak semalam.

Semuanya kerana kerajaan bersetuju membenarkan pengusaha mengenakan surcaj sebanyak 30 peratus ke atas harga tiket.


Menurut Mohamad Ashfar, pihaknya telah memaklumkan kepada semua ahli mereka supaya mula menjual tiket bas mengikut harga baru.


Beliau ketika dihubungi semalam menjelaskan, walaupun ada surcaj, ia masih belum cukup untuk menampung kos operasi.


Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya tidak memberi jaminan mereka mampu menyediakan bas tambahan.


SOURCE: KOSMO ONLINE

Ahad, 10 Ogos 2008

JOJOLAN KORNEA

Jojolan kornea



Keratoconus yang bermaksud kornea berbentuk kon, menggambarkan keadaan kornea yang menipis dan terjojol keluar. Bentuk abnormal ini mendatangkan gangguan penglihatan yang serius.


PEMBEDAHAN perlu dilakukan bagi menggantikan kornea yang rosak, dan pada masa yang sama lengkungan luar biasa kornea boleh dinipiskan.


KESUKARAN membaca yang dihadapi Vekineswaree Jayakumar, 18, sejak beberapa tahun lalu yang dianggapnya rabun biasa rupa-rupanya tidak terhenti di situ.

Beberapa pertemuan dengan pakar mata akhirnya menemui jawapan bagi masalah penglihatan yang dihadapinya malah hampir kebanyakan remaja India lain.


Keratoconus yang bermaksud kornea bentuk kon, menggambarkan keadaan kornea menjadi nipis dan terjojol keluar. Bentuk abnormal ini boleh mendatangkan gangguan penglihatan yang serius.




Penyakit ini berlaku seiring dengan peningkatan usia remaja ke dewasa. Pesakit keratoconus akan mengalami kemerosotan penglihatan berperingkat yang boleh menyebabkan buta sekiranya tidak dikesan dari awal.

"Pada peringkat awal, penglihatan pesakit masih boleh dibetulkan sehingga 20/20 dengan penggunaan kaca mata," ujar Pakar Mata Hospital Mata Tun Hussien Onn, Dr. P. Sarawathi.

Diagnosis terhadap ukuran atau topografi kornea akan dilakukan bagi mengetahui tahap tinggi atau rendah bintik kecederaan pada bahagian tersebut.


"Perkembangan penyakit ini akhirnya akan menyebabkan penglihatan tidak dapat dibetulkan dengan kaca mata kerana kehadiran sejenis selaput di sekeliling kornea.

"Tisu di sekeliling mata akan menipis dan Vogt's Striaes mungkin terbentuk," jelasnya yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini.


TISU di sekeliling kornea yang lemah mungkin menjadi faktor kepada ketidakseimbangan enzim di dalamnya.


Dalam sesetengah kes, perkembangan itu akan menyebabkan kesakitan yang dipanggil keradangan titisan air apabila terdapat cecair yang terkena pada kawasan nipis kornea.

Jelas Sarawathi, sekurang-kurangnya satu bagi setiap 2,000 orang menghidap penyakit ini manakala kurang 10 peratus pesakit keratoconus tidak dapat diubati.

Bercerita lanjut, penyakit ini lazimnya menyerang golongan remaja dan dewasa berumur 20 tahun ke atas malah menjadi antara penyakit utama yang melibatkan mata.


"Tiada penyebab utama bagi penyakit ini, namun beberapa simptom seperti gangguan jarak penglihatan jauh serta dekat yang bermula pada sebelah mata, fotofobia dan kepedihan melampau mungkin membawa kepada penyakit tersebut," katanya.


"Satu yang menarik mengenai penyakit ini ialah ia tidak berkaitan dengan faktor genetik namun lebih kepada suatu paten terhadap pembentukan kornea," ujarnya.




Namun beberapa kajian yang dilakukan mendapati tisu di sekeliling kornea yang lemah mungkin menjadi faktor kepada ketidakseimbangan enzim di dalam kornea tersebut.

Ketidakseimbangan ini membuatkan kornea lebih berisiko untuk dijejaskan melalui proses pengoksidaan akibat unsur radikal bebas, lantas membuatkan strukturnya lemah dan membonjol ke depan.


Menyentuh mengenai rawatan, pemindahan kornea adalah pilihan terakhir setelah penggunaan kaca mata dan kanta lekap tidak membantu di samping kewujudan opaque iaitu kornea bertukar menjadi putih atau kelabu.

"Pembedahan tersebut akan menggantikan kornea yang rosak dan lengkungan luar biasa kornea tersebut dapat dinipiskan," katanya.

Tempoh pemulihan selepas pembedahan agak panjang iaitu enam bulan hingga setahun dan ia bergantung kepada kestabilan kornea yang diterima dan persekitaran.


"Komplikasi selepas pembedahan tetap muncul walaupun ia hanyalah kes terpencil seperti hilang penglihatan dan infeksi namun selain itu, ia boleh dirawat," katanya.

Bagi yang tidak serius, penggunaan kanta lekap yang ditempa khas seperti Lensa Epicon, Lensa Keratoconic Rose K, Lensa Sistem McGuire dan Lensa Keratoconus Tricurve menjadi alternatif kepada pemakaian cermin mata.


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

WABAK EBOLA

Wabak Ebola pembunuh utama gorila


PENINGKATAN populasi gorila mengejutkan banyak pihak.


GENEVA - Penularan virus maut Ebola dan aktiviti pemburuan haram menjadi punca utama kematian gorila, menurut bancian terbaru Badan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) di sini.


Namun kajian organisasi dunia itu yang dibentangkan pada Kongres Pertubuhan Primatologi Antarabangsa kelmarin mendapati, bilangan spesies tersebut kini naik mendadak.


Bancian terkini itu mendedahkan spesies gorila tanah rendah yang terancam kritikal dan mendiami 47,000 kilometer persegi kawasan hutan di utara Congo meningkat kepada 125,000 ekor.


"Kami jangka jumlah jatuh daripada cuma 100,000 ekor awal 1980-an walhal kawasan itu laluan wabak Ebola dan pemburu haram," kata ketua kajian, Dr. Emma Stokes. - Agensi


articles source: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 8 Ogos 2008

SAIFUL PATUT DI DAKWA

‘Saiful pun patut kena dakwa’



KUALA LUMPUR – Mengapa hanya saya yang kena dakwa?


Itu persoalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan mahkamah jika beliau didakwa melakukan hubungan seks di luar tabii dengan bekas pembantunya secara sukarela.


“Kalau suka sama suka, kenapa hanya saya yang dipanggil (dakwa), bagi saya ia lebih kepada satu pendakwaan politik,” katanya sewaktu ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Menurut Anwar, kertas pertuduhan yang dikemukakan semalam secara jelas menyatakan Saiful bersetuju melakukan perbuatan seperti didakwa itu dan pendakwaan sepatutnya turut melibatkan Saiful.


“Laporan awal Saiful kepada doktor mendakwa yang beliau telah diserang, tetapi laporan polisnya belum diberikan kepada kami.

“Jadi anda tahu kenapa laporan itu belum diberikan kepada kami. (Jadi) supaya mereka (pendakwaan) boleh menipu kami,” kata Anwar.


Oleh itu katanya, beliau amat kesal dengan pendakwaan tersebut yang tetap diteruskan dengan mengandaikan ia sebagai ‘pendakwaan paksa’ oleh orang tertentu.

“Pertuduhan itu bertujuan untuk memalukan saya, tetapi saya tidak malu. Saya melihatnya sebagai permainan politik,” katanya dan menurut Anwar, laporan perubatan itu telah disesuaikan untuk memastikan pendakwaan boleh mendakwanya dengan pertuduhan liwat.


Kata Anwar, beliau telah menandatangani sendiri bon peribadi itu tanpa melibatkan sumber kewangan lain.

Malah jelasnya, dana dan pasport miliknya juga masih kekal dengannya.



ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 3 Ogos 2008

NAJIB BERUSAHA GAGALKAN ANWAR

Najib berusaha gagalkan Anwar ke Putrajaya?


Mohd Zamirul Mohd Dzaki
Sun | Aug 03, 08 | 7:01:28 am MYT



BUKIT MERTAJAM, 3 Ogos (Hrkh) - "Sebenarnya persaingan Politik Malaysia pada hari ini adalah antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri' Najib Tun Razak, " demikian tegas Majlis Pimpinan Tertinggi Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin dalam ceramahnya di Ceruk To' Kon, Bukit Mertajam kelmarin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Bard mengatakan, dunia pada hari sedang memerhatikan dua tokoh tersebut kerana Anwar dan Najib masing-masing sedang berhadapan dengan cabaran dan dugaan besar.


Menurutnya, Anwar sedang berhadapan dengan cabaran usahanya membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September nanti manakala Najib pula sedang berhadapan cabaran berkenaan penglibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya yang semakin terbongkar.

Oleh itu tegas beliau, Najib terpaksa mencari jalan mengagalkan Anwar dari sampai ke Putrajaya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.


Maka, sebab itulah tuduhan liwat yang membabitkan Anwar sengaja ditimbulkan bagi menghalang Anwar mendaki ke puncak kuasa,katanya.

"Pada 1998 Anwar difitnah dengan tuduhan liwat kerana beliau pada waktu itu sudah sedikit sahaja lagi akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, kini 2008 situasinya sama di mana Anwar hari ini juga sedikit sahaja lagi akan menjadi Perdana Menteri, maka skrip lama berkenaan isu liwat itu diulang," katanya.


Tambahnya, tuduhan seperti Anwar agen Amerika Syarikat dicanang ke seluruh negara bagi memburukkan imejnya.

Badrul Hisham menjelaskan, bukan Amerika sahaja yang memberi perhatian pada Anwar tetapi seluruh dunia termasuk negara-negara Islam mengambil berat tentangnya.

"Semua taktik jahat ini dilakukan bagi memastikan kelangsungan politik Najib dan BN terus kekal dan selamat,"katanya lagi.


Badrul Hisham Shaharin menyampaikan ceramah tersebut sepena program 'Tour Merdeka Harapan Baru Anak Malaysia' yang berlangsung di Galeri Pejuang di Cherok To'Kun Bukit Mertajam.


Turut sama dalam program itu ialah Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan;, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Uban, Raveentharan dan beberapa pemimpin Parti KeADILan Rakyat. - mks._



ARTICLES SOURCE: http://www.harakahdaily.net

Rabu, 16 Julai 2008

LAMAN WEB MESRA PENGGUNA

3 FAKTOR LAMAN WEB MESRA PENGGUNA





Apa yang membuatkan sesebuah laman web itu mesra pengguna? Sebenarnya, terdapat banyak faktor di luar sana yang mempengaruhi keberkesanan sesebuah laman, namun, mari kita mulakan dengan 3 faktor yang terpenting.


Laman Yang Cepat Dipaparkan


Apa yang saya maksudkan ialah kepantasan page load sesebuah laman. Walaupun kini semakin ramai yang menggunakan internet yang lebih laju, namun masih ada yang menggunakan sambungan dial-up yang lebih perlahan. Malah, dengan sambungan internet yang laju, sesetengah laman tetap mengambil masa yang lama untuk dipaparkan. Kebanyakan pelawat agak kurang sabar untuk menunggu laman ini dipaparkan sepenuhnya seterusnya jika page load anda mengambil masa yang agak lama, anda boleh kehilangan prospek pelanggan.


Faktor yang mempengaruhi kepantasan page load ialah bilangan dan saiz imej yang anda paparkan, flash dan macromedia, dan sesetengah kod. Ini semua saya panggil sebagai beban laman dimana ianya akan memberatkan laman anda untuk dibuka. Seeloknya, kurangkan pengguna imej-imej yang terlalu besar serta hiasan lebih menggunakan flash.



Navigasi

Semua pengguna mahu kemudahan untuk pergi dari satu laman ke satu laman untuk mencari maklumat yang mereka kehendaki. Satu faktor yang besar bagi laman web yang mesra pengguna adalah dengan menawarkan navigasi yang mudah dan kemas. Titik navigasi sepatutnya diletekkan di tempat yang konsisten. Contohnya, jika link-link anda pada laman utama ditempatkan di sebelah kiri laman, maka kesemua laman yang lain harus meletakkan link tersebut ditempat yang sama, menggunakan elemen yang biasa digunakan seperti laman Tentang Kami ataupun laman Hubungi Kami.


Sebagai peraturan am, setiap laman haruslah boleh dicapai melalui tidak lebih daripada 2 klik daripada homepage anda. Bagi laman yang lebih besar, mungkin ini agak susah untuk dicapai. Tetapi, anda boleh tawarkan sitemap ataupun carian sitewide bagi membantu pengguna untuk mencari apa yang mereka hajati.


Informasi

Pengguna melayari laman anda kerana mereka inginkan sesuatu. Samada mereka ingin membaca artikel, mencari maklumat ataupun ingin mengambil tahu tentang servis yang anda tawarkan, apa yang penting sekali ialah bagi anda untuk menawarkan informasi yang diharapkan oleh pengguna-pengguna ini.


Laman anda perlu mempunyai maklumat yang lengkap dan mendalam mengenai apa yang mereka harapkan. Kerana itulah mereka melayari laman anda pada mulanya, kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa laman anda ada menawarkan informasi yang mereka perlukan. Adalah penting bagi anda untuk tidak menghampakan harapan pengguna anda. Jika mere berpuas hati, mereka akan datang semula ataupun memperkenalkan laman anda kepada rakan-rakan anda. Ini dapat meningkatkan lagi trafik anda, bukan?


Sememangnya ini hanyalah perkara am sahaja. Banyak lagi yang anda perlu titik beratkan bagi membina sebuah laman yang mesra pengguna. Perlahan-lahan tetapi konsisten, kita bina laman yang berkualiti :)


ARTICLES SOURCE: http://www.sarahiduponline.com