Memaparkan catatan dengan label DIABETES. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DIABETES. Papar semua catatan

Sabtu, 20 September 2008

Membaiki “Task Manager is Disabled”

Membaiki “Task Manager is Disabled”



23 January, 2008 (01:26) | Masalah Komputer, Virus/Malware | By: MK

Satu masalah yang kerap kali berlaku akibat serangan virus ialah fungsi Task Manager dihalang. Jika anda klik kanan pada taskbar dan ’Task Manager’ berwarna kelabu, ia bermakna ia Task Manager telah disekat. Jika anda cuba membukanya melalui Run > taskmgr pula, satu kotak mesej akan keluar: “Task Manager has been disabled by your administrator.”

Untuk mengembalikan semula fungsi Task Manager ini, anda haruslah terlebih dahulu membuang virus pada komputer tersebut. Gunakan perisian Anti-Virus seperti Avira, Avast, ataupun AVGFree. Kalau Antivirus pun gagal dibuka dalam Windows, ketahui bagaimana untuk scan virus sebelum masuk ke dalam Windows.

Untuk mengembalikan semula fungsi Task Manager ini, anda boleh gunakan regedit ataupun gpedit.msc. Ikuti salah satu dari dua cara di bawah:


Menggunakan Registry Editor (regedit)

  1. Pada kotak Run, taipkan regedit dan tekan Enter untuk melancarkan Registry Editor.
  2. Pergi ke HKEY_CURRENT_USER\Software\Microsoft\Windows\CurrentVersion\Policies.
  3. Cari DisableTaskMgr dan tukarkannya kepada 0.

Menggunakan Group Policy Editor (gpedit.msc)

  1. Pada kotak Run, taipkan gpedit.msc dan tekan Enter untuk melancarkan Group Policy Editor.
  2. Pergi ke User Configuration\Administrative Templates\System\Ctrl + Alt + Del Options
  3. Pada bahagian kanan, double-click pada Remove Task Manager dan tukar.


source: http://sembangkomputer.com

Khamis, 7 Ogos 2008

HADAPKAN KE MAHKAMAH

Hadapkan ke mahkamah, usaha halang Anwar sertai pilihan raya kecil


Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Aug 06, 08 | 2:10:20 pm MYT


KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Tindakan mengheret Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah sebaik sahaja pengumuman mengenai Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dibuat adalah usaha menghalang beliau menyertai pilihan raya tersebut.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam respons awalnya terhadap perkembangan tersebut kepada Harakahdaily hari ini .


Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 10.00 pagi esok.

Sebelum itu, Kamarudin telah mengirimkan satu SMS kepada Harakahdaily menyatakan Anwar akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Kamarudin, paling menghairankan tindakan ini dibuat sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pengumuman penting mengenai pilihan raya Permatang Pauh yang disebut Anwar menjadi medan kembali ke arena politik.


Sementara itu Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyatakan bahawa tindakan itu berniat jahat dan sengaja dilakukan tatkala kerajaan melihat rakyat memberi sokongan penuh kepada Anwar.

AMK turut kesal dengan perkembangan itu dan menyifatkan ia tindakan yang menyempitkan lagi ruang demokrasi, katanya.


Justeru atas solidariti kepada Anwar, AMK telah menghubungi semua petugasnya untuk mengadakan himpunan menyokong Anwar di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9.00 pagi esok.

ImageAnwar dilaporkan akan dihadapkan ke mahkamah esok berikutan kertas siasatan dakwaan liwat yang dibuat Saiful Azlan pada 28 Jun lalu.

Polis dilaporkan telah menyerahkan satu dokumen kepada Anwar berhubung pertuduhan itu.

Dokumen itu diserahkan di kediamannya di Bukit Segambut, tatkala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja menetapkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan disertainya pada 16 Ogos ini.


Sumber KeADILan menyatakan bahawa, dokumen itu disampaikan oleh pegawai penyiasat kes dakwaan meliwat, DSP Jude Pereira di rumah Anwar jam 12.00 tengahari tadi.

Sementara itu, dalam satu sidang media di Putrajaya pagi tadi, SPR mengumumkan pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli Parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos.


SPR yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.


Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Beliau mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.

ImageAbdul Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.

Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kersui Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak 1999.

Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).


Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Kerusi Dun Seberang Jaya, yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).


Kerusi Dun Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).

Kerusi Dun Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu Wan Azizah mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi.


Namun, 31 Julai lalu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.- mks. _


ARTICLES SOURCE: http://www.harakahdaily.net

Selasa, 5 Ogos 2008

BUANG SELULIT

Buang selulit dengan cara mudah

WUJUDNYA lemak berlebihan pada tubuh adalah satu igauan ngeri buat wanita, apatah lagi jika diri dilanda masalah kegemukan. Wanita sebolehnya ingin melarikan diri daripada menjadi gemuk, biarpun hanya kelihatan sedikit berisi.

Gemuk sebenarnya adalah antara musuh utama wanita kerana dilihat boleh menjejaskan penampilan diri, malah kecantikan seseorang.


Lebih menggerunkan, masalah lemak berlebihan ini sebenarnya turut ‘menganggu' hidup wanita kurus. Biar pun tidak menghadapi kegemukan, tetapi lemak yang terkumpul di dalam tubuh seseorang itu juga akan menyebabkan wujudnya selulit terutama pada bahagian paha, punggung, perut dan payu dara. Jadi, buang sahaja anggapan bahawa bertubuh kurus bebas daripada masalah ini.

Kehadiran selulit bukan sekadar menyebabkan kulit kelihatan menggelebeh, kendur, berketak-ketak bagai permukaan ‘kulit oren' tetapi lebih menakutkan wanita, ia turut menjadi faktor badan kelihatan berisi dan gemuk.

Justeru, pelbagai cara dilakukan wanita demi mendapatkan bentuk badan menawan sehingga ada yang sanggup menghabiskan beribu ringgit semata-mata untuk kurus dan cantik serta bebas daripada selulit.


Menurut Pengarah Urusan Timers Beauty, Janet Lee, kegemukan dan selulit merupakan masalah yang paling mendapat perhatian serius wanita hampir di semua peringkat usia.

Sebabnya, tiada wanita yang ‘membuang' kecantikan dalam diri mereka. Mereka mengimpikan tubuh yang menawan, ingin memiliki kulit halus dan cantik tanpa sebarang parut apatah lagi selulit.

Janet berkata, kegemukan atau obesiti selalunya dikaitkan dengan corak pemakanan yang tidak seimbang. Sedangkan obesiti tidak hanya terjadi disebabkan seseorang itu terlalu banyak makan, sebaliknya berkemungkinan berpunca antaranya daripada ketidakseimbangan hormon, ketagihan makanan dan juga tekanan.


“Manakala selulit adalah pengumpulan lemak yang tersimpan di bahagian lapisan bawah kulit. Jika kulit anda berlekuk atau berketul-ketul apabila anda memicitnya, anda sebenarnya mempunyai selulit.

“Atau boleh dikatakan ia adalah kombinasi lemak, air dan lebihan toksin yang mana badan seseorang gagal membuangnya,” kata Janet ketika ditemui di salun kecantikannya baru-baru ini.

Jelas Janet, kedua-dua masalah itu membuatkan wanita menjadi tidak keruan, malah ia merupakan gangguan dan mengurangkan keyakinan diri.

Ekoran keinginan mendesak daripada wanita, setiap hari pasti ada sahaja penemuan teknologi terbaru berkaitan penjagaan bentuk badan yang ideal menggunakan pelbagai pendekatan.

Terbaru katanya, teknologi terkini dengan pendekatan menggunakan produk Nano Philosophy yang cukup mudah, hanya melalui semburan sahaja dan yang penting ia tidak membahayakan kesihatan.


Beliau berkata, produk dari Perancis ini dihasilkan daripada hidupan laut iaitu rumpai laut yang kaya dengan sumber-sumber mineral termasuk iodin, potasium, magnesium, kalsium dan iron.

Rumpai laut membantu merangsang dan meningkatkan metabolisme tubuh. Dalam erti kata lain, ia membantu memecahkan sel-sel lemak dan membakarnya di dalam tubuh.

Bukan itu sahaja, rawatan itu juga mampu memejal dan memberikan nada sekata pada rona kulit; mengurangkan selulit; mengurangkan tahap kolesterol dalam badan dan menyeimbangkan metabolisme badan.


Selain itu katanya, ia juga diperkaya dengan Cecropia Obtusa iaitu sejenis tumbuhan yang mengeluarkan biji benih yang ringan berfungsi sebagai anti selulit dan membantu mengurangkan garis halus dan kedutan.

Tidak cukup dengan itu, ia juga melindungi badan daripada kesan radiasi, meningkatkan hidrasi, memperbaiki keanjalan kulit dan merangsang pengeluaran kolagen dalam badan.

Mudah dan tidak menyakitkan


Bila dikatakan rawatan ini mudah dan tidak menyakitkan, pasti wanita sukar mempercayainya kerana selalunya rawatan menguruskan badan cukup rumit dan menyakitkan.

Kesempatan bertemu dengan pelanggan tetap dan kini duta Timers Beauty, Wan Khadijah Wan Othman merungkai keraguan tersebut.

Menurut Wan Khadijah, 32, rawatan ini sememangnya cukup senang dan mudah lebih-lebih lagi buat wanita yang tidak mempunyai masa dan malas untuk berada lama di salun.

“Cukup sekadar 10 minit, mereka hakikatnya sudah menjalani rawatan itu dan mampu melihatkan kesan perbezaannya dalam kadar segera.


“Apa yang dilakukan hanya semburkan Nano Philosophy pada bahagian yang ingin dirawat dan dapat dirasa serum tersebut membakar lebihan lemak di tubuh, malah wanita akan berasa penat seolah-olah baru lepas melakukan senaman.

“Sebab itu kita perlu banyak minum air, lebih-lebih lagi mereka akan kerap membuang air kecil,” jelasnya.

Seronoknya kata Wan Khadijah, perubahan pada ukuran badannya dapat dilihat segera di samping nada kulit sekata serta lembut.


Wan Khadijah yang melakukan rawatan itu selepas tiga bulan melahirkan anak keempatnya pada Disember tahun lalu memberitahu, tubuh langsing itu mampu bertahan lama jika wanita bijak mengawal makan.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: ANDA ADA CARA UNTUK MENGURANGKAN KEGEMUKAN? SILA BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL KAT NAZA3938@YMAIL.COM .... TQ

Sabtu, 2 Ogos 2008

BUAH PERIA BANTU RAWAT DIABETES

Buah peria bantu rawat diabetes


EKSTRAK daripada biji peria menghasilkan protein hipoglisemik.


Penyakit kencing manis atau diabetes merupakan salah satu penyakit yang semakin banyak dihidapi oleh masyarakat sekarang ekoran gaya hidup moden. Makanan segera, makanan siap dibeli di gerai atau restoran kadang-kala boleh menyumbang kepada penyakit berkaitan.


Di Malaysia saja, hampir 1.2 juta individu dikenal pasti menghidap tersebut dan menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), diabetes boleh berlaku pada mana-mana kaum di negara ini.


Diabetes jika tidak dikawal boleh menyebabkan beberapa komplikasi termasuk penyakit kardiovaskular atau jantung, kegagalan ginjal, kerosakan retina, saraf dan luka yang sukar disembuhkan.


Diabetes melitus terbahagi kepada dua kategori, jenis 1 yang biasanya pada kanak-kanak atau remaja dan jenis 2 biasanya berlaku pada usia lebih 30 tahun disebabkan penyakit.

Ketidakupayaan badan menghasilkan insulin (hormon yang menseimbangkan paras gula dalam darah) merupakan penyebab terbesar diabetes dan pesakit biasanya dirawat dengan suntikan insulin.


Bioteknologi dalam penjagaan kesihatan telah digunakan bagi mengekstrak protein daripada biji buah peria yang hampir sama dengan insulin yang dinamakan Polypeptide-K yang efektif terhadap diabetes.


Penemuan berkenaan dihasilkan oleh seorang saintis terkemuka dari India, Lady Prof Dr. Pushpa Khanna selepas beliau bersara.

Prihatin terhadap ramai pesakit diabetes, Khanna yang tidak boleh duduk diam di rumah tetapi terus ‘mencari’ apa yang boleh dilakukan untuk membantu.


“Pada suatu malam saya terfikir, sejak zaman-berzaman nenek moyang kita telah menggunakan peria untuk mengawal diabetes.


“Apa salahnya untuk saya mencari apakah bahan aktif di dalamnya yang dapat membantu,” katanya semasa ditemui selepas majlis perasmian Diabegard di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Biarpun bergelar pesara tetapi keinginannya untuk menjalankan kajian tidak pernah pudar sejak 30 tahun mengabdikan diri dalam penyelidikan.


Menyedari rasa peria yang pahit dan tidak ramai menggemarinya beliau mula mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya.

Menjalankan kajian di rumah, beliau berjaya menghasilkan ekstrak daripada biji buah peria yang biasanya dibuang saja.


Beliau berkata, objektif proses pengekstrakan adalah untuk mengasingkan protein daripada biji buah peria.


“Hasil akhir merupakan protein hipoglisemik yang dinamakan polypeptide-K. Proses berkenaan menghasilkan komposisi hipoglisemik tulen yang amat berkesan bagi rawatan diabetes melitus,” katanya.

Setelah menjalankan kajian demi kajian saintis wanita yang dilahirkan pada 3 Disember 1928 ini mula meletakkan hasil kajiannya di Internet.


Melihat kepada kejayaan beliau, bukan saja menarik perhatian saintis di peringkat antarabangsa tetapi kajian ekstrak peria itu juga telah dianugerah Dame of Justice oleh Sovereign Order of the Khights of Justice di London.


Teknologi pengekstrakan pengasingan protein Khanna telah didaftarkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan dipatenkan di 93 buah negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia.

Di negara ini, sebuah syarikat bioteknologi yang beroperasi di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. menyediakan program perintis bagi proses mengasingkan protein hipoglisemik (polypeptide-k) daripada biji kering buah peria dalam penjagaan kesihatan herba dan perubatan tradisional.


Syarikat berkenaan telah menandatangani perjanjian persefahaman bagi pemindahan teknologi dengan Khanna bagi proses pengasingan protein daripada biji kering buah peria.

Khanna berkata, polypeptide-k mempunyai turutan yang hampir sama dengan insulin lembu dan manusia.


“Ini amat berguna untuk rawatan diabetes melitus.

“Protein berkenaan boleh diambil secara oral menerusi sub-lingual route iaitu diletakkan di bawah lidah,” katanya.


Sebelum ini tidak terdapat laporan pengekstrakan insulin daripada sumber tumbuhan secara komersial.


Selain itu produk hilirannya proses ekstrak juga telah dipatenkan iaitu minyak yang berguna sebagai ubat luka, gangrene dan artritis.


Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. telah membeli biji kering buah peria dari India bagi tujuan pemprosesan pengasingan protein.


Kini Magna Mission Sdn. Bhd. menggalakkan petani tempatan dan badan-badan kerajaan seperti FAMA, FELDA, FELCRA dan MARDI untuk menjalankan kajian bagi penanaman peria bagi biji yang digunakan bagi ektrak polypeptide-k.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: JIKALAU ANDA TAHU TENTANG APA2 RAWATAN DIADETES ATAU CARA2 MENCEGAHNYA BOLEH BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL NAZA_KKM@YAHOO.COM......TQ

Rabu, 30 Julai 2008

TAMBANG BAS NAIK

Tambang bas naik sebelum Raya


PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju tambang bas ekspres dan bas henti-henti seluruh negara dinaikkan tetapi tidak sehingga 100 peratus seperti yang dipohon oleh Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.
Katanya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi, termasuk harga diesel yang melonjak kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen seliter sejak kali terakhir tambang bas itu dinaikkan pada 2005.


"Peningkatan kos operasi juga disebabkan kenaikan harga barangan lain seperti tayar, minyak pelincir dan bateri," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi kakitangan kementerian itu di sini semalam.


Menurut Noh, perunding yang dilantik oleh kementerian untuk mengkaji paras kenaikan tambang bas ekspres dan bas henti-henti telah menyiapkan kajian itu dan kadarnya baru itu akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Sekarang kita sedang berunding dengan persatuan supaya terima cadangan daripada juruperunding," katanya. - Bernama

ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my