Selasa, 5 Ogos 2008

BUANG SELULIT

Buang selulit dengan cara mudah

WUJUDNYA lemak berlebihan pada tubuh adalah satu igauan ngeri buat wanita, apatah lagi jika diri dilanda masalah kegemukan. Wanita sebolehnya ingin melarikan diri daripada menjadi gemuk, biarpun hanya kelihatan sedikit berisi.

Gemuk sebenarnya adalah antara musuh utama wanita kerana dilihat boleh menjejaskan penampilan diri, malah kecantikan seseorang.


Lebih menggerunkan, masalah lemak berlebihan ini sebenarnya turut ‘menganggu' hidup wanita kurus. Biar pun tidak menghadapi kegemukan, tetapi lemak yang terkumpul di dalam tubuh seseorang itu juga akan menyebabkan wujudnya selulit terutama pada bahagian paha, punggung, perut dan payu dara. Jadi, buang sahaja anggapan bahawa bertubuh kurus bebas daripada masalah ini.

Kehadiran selulit bukan sekadar menyebabkan kulit kelihatan menggelebeh, kendur, berketak-ketak bagai permukaan ‘kulit oren' tetapi lebih menakutkan wanita, ia turut menjadi faktor badan kelihatan berisi dan gemuk.

Justeru, pelbagai cara dilakukan wanita demi mendapatkan bentuk badan menawan sehingga ada yang sanggup menghabiskan beribu ringgit semata-mata untuk kurus dan cantik serta bebas daripada selulit.


Menurut Pengarah Urusan Timers Beauty, Janet Lee, kegemukan dan selulit merupakan masalah yang paling mendapat perhatian serius wanita hampir di semua peringkat usia.

Sebabnya, tiada wanita yang ‘membuang' kecantikan dalam diri mereka. Mereka mengimpikan tubuh yang menawan, ingin memiliki kulit halus dan cantik tanpa sebarang parut apatah lagi selulit.

Janet berkata, kegemukan atau obesiti selalunya dikaitkan dengan corak pemakanan yang tidak seimbang. Sedangkan obesiti tidak hanya terjadi disebabkan seseorang itu terlalu banyak makan, sebaliknya berkemungkinan berpunca antaranya daripada ketidakseimbangan hormon, ketagihan makanan dan juga tekanan.


“Manakala selulit adalah pengumpulan lemak yang tersimpan di bahagian lapisan bawah kulit. Jika kulit anda berlekuk atau berketul-ketul apabila anda memicitnya, anda sebenarnya mempunyai selulit.

“Atau boleh dikatakan ia adalah kombinasi lemak, air dan lebihan toksin yang mana badan seseorang gagal membuangnya,” kata Janet ketika ditemui di salun kecantikannya baru-baru ini.

Jelas Janet, kedua-dua masalah itu membuatkan wanita menjadi tidak keruan, malah ia merupakan gangguan dan mengurangkan keyakinan diri.

Ekoran keinginan mendesak daripada wanita, setiap hari pasti ada sahaja penemuan teknologi terbaru berkaitan penjagaan bentuk badan yang ideal menggunakan pelbagai pendekatan.

Terbaru katanya, teknologi terkini dengan pendekatan menggunakan produk Nano Philosophy yang cukup mudah, hanya melalui semburan sahaja dan yang penting ia tidak membahayakan kesihatan.


Beliau berkata, produk dari Perancis ini dihasilkan daripada hidupan laut iaitu rumpai laut yang kaya dengan sumber-sumber mineral termasuk iodin, potasium, magnesium, kalsium dan iron.

Rumpai laut membantu merangsang dan meningkatkan metabolisme tubuh. Dalam erti kata lain, ia membantu memecahkan sel-sel lemak dan membakarnya di dalam tubuh.

Bukan itu sahaja, rawatan itu juga mampu memejal dan memberikan nada sekata pada rona kulit; mengurangkan selulit; mengurangkan tahap kolesterol dalam badan dan menyeimbangkan metabolisme badan.


Selain itu katanya, ia juga diperkaya dengan Cecropia Obtusa iaitu sejenis tumbuhan yang mengeluarkan biji benih yang ringan berfungsi sebagai anti selulit dan membantu mengurangkan garis halus dan kedutan.

Tidak cukup dengan itu, ia juga melindungi badan daripada kesan radiasi, meningkatkan hidrasi, memperbaiki keanjalan kulit dan merangsang pengeluaran kolagen dalam badan.

Mudah dan tidak menyakitkan


Bila dikatakan rawatan ini mudah dan tidak menyakitkan, pasti wanita sukar mempercayainya kerana selalunya rawatan menguruskan badan cukup rumit dan menyakitkan.

Kesempatan bertemu dengan pelanggan tetap dan kini duta Timers Beauty, Wan Khadijah Wan Othman merungkai keraguan tersebut.

Menurut Wan Khadijah, 32, rawatan ini sememangnya cukup senang dan mudah lebih-lebih lagi buat wanita yang tidak mempunyai masa dan malas untuk berada lama di salun.

“Cukup sekadar 10 minit, mereka hakikatnya sudah menjalani rawatan itu dan mampu melihatkan kesan perbezaannya dalam kadar segera.


“Apa yang dilakukan hanya semburkan Nano Philosophy pada bahagian yang ingin dirawat dan dapat dirasa serum tersebut membakar lebihan lemak di tubuh, malah wanita akan berasa penat seolah-olah baru lepas melakukan senaman.

“Sebab itu kita perlu banyak minum air, lebih-lebih lagi mereka akan kerap membuang air kecil,” jelasnya.

Seronoknya kata Wan Khadijah, perubahan pada ukuran badannya dapat dilihat segera di samping nada kulit sekata serta lembut.


Wan Khadijah yang melakukan rawatan itu selepas tiga bulan melahirkan anak keempatnya pada Disember tahun lalu memberitahu, tubuh langsing itu mampu bertahan lama jika wanita bijak mengawal makan.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: ANDA ADA CARA UNTUK MENGURANGKAN KEGEMUKAN? SILA BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL KAT NAZA3938@YMAIL.COM .... TQ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan