Rabu, 6 Ogos 2008

HEALTH INFO - PUASA

Puasa dari sudut kesihatan


BAGI mereka yang inginkan kesihatan badan yang lebih sempurna, berpuasa secara teratur dan tetap akan memperbaiki sistem daya tahan badan. Ia menjadikannya lebih sihat dan bertenaga.
Contohnya dalam berpuasa sepanjang bulan Ramadan 30 hari dan disambung dengan puasa enam hari, banyak sekali kelebihan dan manfaatnya di mana selama masa berpuasa itu semua organ di dalam tubuh badan, terutamanya organ-organ pencernaan seperti perut, pankreas, hati, hempedu dan lain-lain akan menjadi bersih dan penyakit-penyakit seperti kencing manis, kegemukan, keletihan, asma, darah tinggi, angin medu, uluran dan sebagainya akan beransur-ansur menjadi baik dan sembuh.


Memang telah diakui oleh kebanyakan agama di dunia bahawa berpuasa banyak memberi hikmah dan kebaikan. Islam menjadi pelopor pertama agama di dunia dengan mengsyorkan supaya setiap umatnya berpuas sepanjang bulan Ramadan agar dapat memberi peluang kepada semua organ tubuh badan dapat berehat seketika demi mempersiapkan diri untuk bertugas sepanjang tahun yang akan datang.


Agama Hindu, Buddha, Yahudi dan Nasrani juga diarah berpuasa mengikut cara masing-masing. Ada yang berpuasa selama tiga hari sahaja, ada yang berpuasa hanya di waktu malam dan ada juga agama yang tidak menetapkan jumlah puasanya, bergantung kepada kemampuan penganutnya.
Namun dalam banyak cara amalan berpuasa, Islam merupakan satu amalan puasa yang paling praktikal di mana sebulan puasa berterusan di siang hari akan memberi kesegaran dan kesihatan yang paling maksimum baik dari segi mental mahupun fizikal.


Islam adalah agama yang toleransi, ia mengarahkan umatnya yang sihat tubuh badan, baik fisikal dan mental serta cukup umur sahaja melainkan ibadah puasa. Orang-orang yang mengalami kesakitan yang serius,ibu-ibu yang sedang sarat mengandung (cukup bulan), orang-orang yang menderita penyakit gastrik yang serius, orang-orang musafir adalah antara orang-orang yang dikecualikan dari berpuasa.


Tetapi sebaik sahaja mereka sudah pulih dari sebarang penyakit yang dialaminya, mereka dikehendaki menggantikan puasanya yang ditinggalkan. Sepanjang pengalaman praktik, saya dapati bahawa orang-orang yang mengalami gastrik memang diakui tidak boleh lewat makan atau terlalu lama berlapar, mereka akan cepat letih, penat, menggigil, sakit kepala dan sebagainya, tetapi bagi orang-orang yang disertai niat tulus dan ikhlas untuk berpuasa, orang-orang ini dapat berpuasa terus-menerus selama 30 hari tanpa apa-apa masalah. Malah mereka lebih segar dan sihat dari biasa. Inilah yang dikatakan Hikmah Puasa!


Tetapi bagi orang-orang yang kurang beriman, sudah pasti akan mengambil kesempatan untuk tidak berpuasa sepanjang bulan Ramadan kerana alasannya gastrik.
Bagi orang-orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan, orang-orang yang gemuk, tekanan darah tinggi serta kencing manis yang tidak terlampau serius memang cukup baik bagi mereka untuk berpuasa.


Mereka harus merebutkan peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun, kerana amalan berpuasa bererti mengurangi tabiat makan yang berlebihan dan sekaligus akan mengurangi berat badan.


Berat badan akan turun sesuai dengan fisikal tubuh badan seseorang, purata seseorang yang gemuk dapat turun berat badannya sebanyak 0.25kg dalam sehari selepas dua atau tiga hari berpuasa.
Begitu juga bagi orang-orang yang menderita tekanan darah tinggi akan dapat merasai perubahan tekanan darah menjadi lebih normal setelah mula berpuasa dari hari ke-3 hingga ke-5. Orang-orang menderita kencing manis akan dapat melihat perubahan hari ke-2 dan ke-3 puasa. Semua bentuk keracunan di dalam badan seperti lemak, kolestrol, tekanan darah, gula dalam darah serta bahan-bahan lain yang berlebihan akan turun hilang sepanjang seseorang itu berpuasa.


Oleh yang demikian kita merasa lebih tenaga, lebih sihat, ringan dan ceria sepanjang kita berpuasa. Anda harus memulakan niat yang baik iaitu berpuasa untuk melakukan ibadah serta untuk kesihatan badan. Jangan melakukan puasa secara paksa sedangkan di dalam fikiran, hanya memikirkan bila azan maghrib berbunyi untuk makan.


Bila sampai waktu berbuka, MasyaAllah, makan lebih banyak daripada belum puasa, berbuka dengan segala makanan manis, ayam percik, kurma, nasi tomato dan sebagainya. Selepas solat Maghrib dan Isyak terus makan lagi tidak henti-henti dan terus tertidur. Puasa cara begini tidak akan memberi manfaat kepada kesihatan anda, malah mungkin akan menimbulkan penyakit yang lebih serius lagi.


Anda harus ingat, bahawa berpuasa memerlukan pemerhatian yang tertentu dan mendisiplinkan diri anda ke arah kebaikan. Sepanjang berpuasa lakukanlah kerja-kerja seperti biasa, jika keletihan tidurlah ala kadar, jangan terlampau banyak tidur, ini akan meletihkan.


Sewaktu berbuka jangan terlampau banyak makan. Jika anda melakukan ibadah puasa dengan baik dan teratur tentu sekali anda akan memperolehi hasil yang memuaskan diri anda.
Anda harus yakin bahawa Islam tidak akan menyuruh umatnya berpuasa melainkan ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya.


* Dr. Nik Omar Nik Daud ialah Presiden Kebangsaan Persatuan Pengamal Perubatan Homeopati Malaysia.
Oleh: DR. NIK OMAR NIK DAUD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan