Khamis, 14 Ogos 2008

KENDERAAN BATMAN

Evolusi kenderaan canggih Batman

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my






EVOLUSI kenderaan bukan saja berlaku pada dunia realiti, malah bagi penggemar filem aksi pastinya menyedari bahawa jentera khas untuk kegunaan hero pujaan mereka turut berubah mengikut arus semasa.


Bagi Batman misalnya, keupayaannya menewaskan musuh turut dibantu beberapa jentera yang dicipta khas untuknya termasuk motosikal, kereta dan bot.
ni kerana Batman tidak seperti wira komik yang lain seperti Superman yang mempunyai kuasa luar biasa sehingga mampu menewaskan musuh tanpa bantuan peralatan atau jentera khas.


Jentera paling diingati peminat Superhero berbaju gelap ini pastinya Batmobile yang dianggap kereta komik yang ‘dilahirkan’ ke dunia realiti dengan penuh bangga dan prestij.

Batmobile adalah kenderaan utama Batman yang berwarna hitam dan memecut pada kelajuan tinggi agar wira ini cepat sampai di lokasi kejadian jenayah.

Kenderaan istimewa ini mempunyai pelbagai senjata pembasmi jenayah dalam kuantiti seakan tidak terhad.


Bagaimanapun, Batmobile yang terpampang dalam filem hari ini bukanlah jentera sama yang digunakan Batman ketika awal kemunculannya pada era 60-an.


Batmobile turut mengalami beberapa evolusi daripada sebuah kereta klasik Amerika hinggalah kepada sebuah ‘kereta kebal sport’ yang dilengkapi pelbagai senjata umpama pesawat pejuang.

Jentera bantuan Superhero ini pertama kali dilihat dalam siri televisyen pada 1966 apabila Batmobile menggunakan Ford Lincoln Futura sebagai asas ciptaannya.

Kereta pertama Batman itu direka warga Itali sebelum reka bentuk Batmobile diubah pada 1965 menggunakan model Cadillac tahun 1959.


Sebanyak tiga Batmobile dicipta menggunakan gentian kaca (fiberglass) sebelum disembur menggunakan cat hitam bagi mengaburi mata penonton daripada retak yang kelihatan.

Ketiga-tiga model awal Batmobile masih tersimpan rapi di Muzium Petersen Automotive di Los Angeles, California.


Batmobile terus mengalami perubahan sejajar dengan pemodenan apabila jentera kebal itu dicipta semula menggunakan model Chevrolet Caprice dan Buick Riviera sebagai asasnya.

Walaupun nampak gagah dengan bahagian belakang umpama sebuah pesawat pejuang, enjin jet yang dipasang pada Batmobile ini hanya mampu bergerak selama 15 saat sebelum ia kehabisan minyak.


Bermula tahun 90-an, Batmobile direka sekali lagi termasuk penambahan cahaya yang membolehkan ia kelihatan lebih menarik dan tegap di jalan raya.

Hasilnya, filem Batman Forever menjadikan Batmobile sebuah jentera yang sangat ditunggu-tunggu peminatnya.


Batmobile terbaru ini asalnya adalah hasil ciptaan H R Giger dengan kos AS$1 juta (RM3.7 Juta) sebelum ditolak Warner Brothers.

Walaupun ia kelihatan amat gagah dan digeruni lawannya, hakikatnya Batmobile terbaru ini hanya mampu memecut selaju 50 kilometer sejam (km/j) disebabkan terlalu berat.

Dalam filem Batman: The Dark Knight Returns, Batmobile direka sekali lagi dan menyerupai sebuah kereta kebal yang dilengkapi dengan mesingan, meriam dan tayar besar umpama kereta perisai.


Menurut perekanya, jentera terbaru Batman itu hasil gabungan Lamborghini dan Hummer yang memiliki dua personaliti berbeza.


Selain Batmobile, Batman mempunyai sebuah motosikal, Batcycle dan Batboat berkuasa tinggi.

Motosikal tiga roda ini berkuasa 786cc empat silinder V (V4) dengan sejukan cecair dan penghadang angin kalis peluru.


Batcycle digunakan bersama pembantunya, Robin pada awal kemunculannya tetapi akhirnya wira hitam ini memilih hanya untuk menaiki kereta.

Sementara itu, jentera air seperti Batboat, Batskiboat dan Batsub kurang digunakan dan jarang kelihatan dalam filem Batman era moden ini.





SOURCE: http://www.hmetro.com.my


Tiada ulasan:

Catat Ulasan