Memaparkan catatan dengan label BLOG. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BLOG. Papar semua catatan

Khamis, 14 Ogos 2008

KENDERAAN BATMAN

Evolusi kenderaan canggih Batman

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my






EVOLUSI kenderaan bukan saja berlaku pada dunia realiti, malah bagi penggemar filem aksi pastinya menyedari bahawa jentera khas untuk kegunaan hero pujaan mereka turut berubah mengikut arus semasa.


Bagi Batman misalnya, keupayaannya menewaskan musuh turut dibantu beberapa jentera yang dicipta khas untuknya termasuk motosikal, kereta dan bot.
ni kerana Batman tidak seperti wira komik yang lain seperti Superman yang mempunyai kuasa luar biasa sehingga mampu menewaskan musuh tanpa bantuan peralatan atau jentera khas.


Jentera paling diingati peminat Superhero berbaju gelap ini pastinya Batmobile yang dianggap kereta komik yang ‘dilahirkan’ ke dunia realiti dengan penuh bangga dan prestij.

Batmobile adalah kenderaan utama Batman yang berwarna hitam dan memecut pada kelajuan tinggi agar wira ini cepat sampai di lokasi kejadian jenayah.

Kenderaan istimewa ini mempunyai pelbagai senjata pembasmi jenayah dalam kuantiti seakan tidak terhad.


Bagaimanapun, Batmobile yang terpampang dalam filem hari ini bukanlah jentera sama yang digunakan Batman ketika awal kemunculannya pada era 60-an.


Batmobile turut mengalami beberapa evolusi daripada sebuah kereta klasik Amerika hinggalah kepada sebuah ‘kereta kebal sport’ yang dilengkapi pelbagai senjata umpama pesawat pejuang.

Jentera bantuan Superhero ini pertama kali dilihat dalam siri televisyen pada 1966 apabila Batmobile menggunakan Ford Lincoln Futura sebagai asas ciptaannya.

Kereta pertama Batman itu direka warga Itali sebelum reka bentuk Batmobile diubah pada 1965 menggunakan model Cadillac tahun 1959.


Sebanyak tiga Batmobile dicipta menggunakan gentian kaca (fiberglass) sebelum disembur menggunakan cat hitam bagi mengaburi mata penonton daripada retak yang kelihatan.

Ketiga-tiga model awal Batmobile masih tersimpan rapi di Muzium Petersen Automotive di Los Angeles, California.


Batmobile terus mengalami perubahan sejajar dengan pemodenan apabila jentera kebal itu dicipta semula menggunakan model Chevrolet Caprice dan Buick Riviera sebagai asasnya.

Walaupun nampak gagah dengan bahagian belakang umpama sebuah pesawat pejuang, enjin jet yang dipasang pada Batmobile ini hanya mampu bergerak selama 15 saat sebelum ia kehabisan minyak.


Bermula tahun 90-an, Batmobile direka sekali lagi termasuk penambahan cahaya yang membolehkan ia kelihatan lebih menarik dan tegap di jalan raya.

Hasilnya, filem Batman Forever menjadikan Batmobile sebuah jentera yang sangat ditunggu-tunggu peminatnya.


Batmobile terbaru ini asalnya adalah hasil ciptaan H R Giger dengan kos AS$1 juta (RM3.7 Juta) sebelum ditolak Warner Brothers.

Walaupun ia kelihatan amat gagah dan digeruni lawannya, hakikatnya Batmobile terbaru ini hanya mampu memecut selaju 50 kilometer sejam (km/j) disebabkan terlalu berat.

Dalam filem Batman: The Dark Knight Returns, Batmobile direka sekali lagi dan menyerupai sebuah kereta kebal yang dilengkapi dengan mesingan, meriam dan tayar besar umpama kereta perisai.


Menurut perekanya, jentera terbaru Batman itu hasil gabungan Lamborghini dan Hummer yang memiliki dua personaliti berbeza.


Selain Batmobile, Batman mempunyai sebuah motosikal, Batcycle dan Batboat berkuasa tinggi.

Motosikal tiga roda ini berkuasa 786cc empat silinder V (V4) dengan sejukan cecair dan penghadang angin kalis peluru.


Batcycle digunakan bersama pembantunya, Robin pada awal kemunculannya tetapi akhirnya wira hitam ini memilih hanya untuk menaiki kereta.

Sementara itu, jentera air seperti Batboat, Batskiboat dan Batsub kurang digunakan dan jarang kelihatan dalam filem Batman era moden ini.





SOURCE: http://www.hmetro.com.my


Selasa, 12 Ogos 2008

TERINGIN HENDAK BERUNDUR

Sudah lama teringin hendak berundur - Nik Aziz


Lanjusoh
Tue | Aug 12, 08 | 6:44:08 pm MYT


KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh) - Selepas berjaya memimpin Kelantan lebih 18 tahun, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa segan memberitahu sudah lama teringin hendak berundur.

"Sudah lama pimpin Kelantan malu juga saya sebenarnya. Seolah-olah saya tidak pandai mengajar orang. Allahualam.


"Tetapi ketika saya hendak berhenti tiba-tiba datang masalah. Setiap isu yang berlaku saya tidak boleh duduk kalau tidak masuk campur.

"Benda besar kalau saya tidak masuk campur tangan rasa macam tidak harap. Tetapi perkara-perkara kecil sekarang Alhamdulillah," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya semalam.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar selepas kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah memenangi pilihan raya umum 1990.

Ketika itu PAS dan Semangat 46 mencatat sejarah apabila memenangi kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri.


Biar pun berlaku bermacam-macam isu dan peristiwa namun beliau tetap teguh di kerusi tersebut menerajui Kelantan di bawah paksi Membangun Bersama Islam.

Bagaimanapun beliau berkata, sekarang sudah cuba menonjolkan pemimpin muda sebagai pelapis bagi mengganti tempatnya.


"Dahulu tiap-tiap kuliah pada pagi Jumaat hanya saya seorang yang kendalikan. Sekarang sudah dedahkan beberapa pemimpin pelapis.

"Kuliah tersebut diadakan selama dua jam, di mana sejam dikendalikan pemimpin lain. Kalau tidak ada Nik Aziz sudah ada Nik Aziz kedua atau ketiga," katanya.


Ditanya mungkin ada orang tertentu bakal menggantinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, memang ada.



SOURCE: http://www.harakahdaily.net


P/S: Anda ada cerita atau pengalaman dengan Tok Guru boleh bagi ulasan kat bawah atau e-mail kat naza1@ymail.com.... tq

Jumaat, 1 Ogos 2008

BICARA SEKS

Bicara seks bukan kotor




IBU memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai seks kepada anak-anak. - Gambar hiasan


APABILA membicarakan soal seks secara terbuka, pasti masyarakat menolaknya. Seks dianggap sebagai satu topik memalukan serta tidak manis untuk diperkatakan terutamanya di hadapan anak-anak.


Ibu bapa khususnya masih lagi mempunyai perasaan segan dan tidak terbuka untuk membincangkan perkara ini walaupun hakikatnya pendidikan seks seawal usia harus diterapkan bagi mengelak berlakunya masalah sosial seperti yang dapat dilihat sekarang.


Mungkin ia berlaku kerana terikut dengan budaya dan adat ketimuran yang mana dalam sesebuah keluarga, tajuk perbincangan seperti seks dianggap tabu atau tidak boleh disebut langsung.

Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak kurang pengetahuan tentang apa yang dimaksudkan dengan perhubungan seks antara lelaki dan wanita.


Lebih menyedihkan apabila terdapat banyak kes pembuangan bayi disebabkan seseorang remaja hamil akibat melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Lebih malang, ada remaja menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang baru dilahirkan.


BUANGKAN perasaan malu untuk berbincang mengenai seks dengan anak-anak. – Gambar hiasan


Justeru, penerapan terhadap didikan seks pada awal usia mampu memelihara anak-anak daripada cuba melakukan perkara tersebut sekali gus menghindari penyakit kelamin seperti siflis, AIDS dan hepatitis, kata Pakar Psikologi Klinikal, Leong Huey Mei dalam satu bengkel bertajuk Talking about Taboo Topics.

“Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam menyediakan pengetahuan mengenai seks dan kaedah perancangan keluarga untuk anak-anak.

“Perkara paling sukar dalam memperkatakan topik mengenai seks dengan anak-anak ialah bagaimana untuk memulakan perbincangan tersebut. Tetapi sebagai ibu yang bertanggungjawab, ia adalah satu perkara yang wajib dilakukan.


“Memang kebiasaannya, si ibu pasti berasa segan pada mulanya, namun mereka harus memberanikan diri dan membuang perasaan malu demi kebaikan serta masa depan anak-anak. Jika perlu, selitkan gurauan bersahaja untuk mengatasi rasa segan itu,” kata Huey Mei yang telah banyak mengendalikan kes-kes sedemikian.


BARISAN penceramah, (dari kanan), Leong Huey Mei, Fatimah Abu Bakar, Dr. Ho Choon Moy, Lavin Seow dan Daphne Iking.


Tambah Huey Mei lagi, jika ibu bapa memilih untuk mendiamkan diri apabila anak-anak bertanya mengenai topik berkenaan, ia boleh memudaratkan keadaan kerana maklumat yang dikumpul sendiri oleh mereka tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai.


“Malah, pelbagai kajian telah membuktikan bahawa gadis remaja yang mendapat pendidikan seks pada awal usia daripada ibu mereka, kebarangkalian mereka menangguhkan hubungan seks di luar perkahwinan adalah lebih tinggi,” ujarnya pada majlis anjuran Bayer Schering Pharma ini.

Sementara itu, Konsultan Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Ho Choon Moy, berkata, selain memperkatakan tentang seks, ibu juga harus menekankan topik mengenai kaedah perancangan keluarga yang efektif.


“Memberi maklumat yang tepat dan benar mengenai seks dan juga kaedah perancangan keluarga yang berkesan adalah satu-satunya cara membantu anak-anak muda menghindari perilaku seks yang boleh memudaratkan diri,” jelas Choon Moy yang juga merupakan Pakar Kesihatan Wanita.




Turut berkongsi pengalaman dalam bengkel tersebut adalah ibu kepada pelakon popular, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar; pengacara My Australian Adventure dan My Star LG, Daphne Iking serta pemenang Miss Malaysia, Lavin Seow.

Fatimah, ibu kepada empat anak perempuan, mengakui bahawa pada awalnya dia sendiri malu untuk berbincang mengenai topik seks dengan anak-anaknya. Namun, atas rasa tanggungjawab, dia sedia menghadapinya untuk kebaikan anak-anak sendiri.


“Waktu kecil dahulu, ibu jarang memperkatakan soal ini secara terbuka kepada saya dan adik-beradik lain. Oleh itu, perasaan malu itu memang wujud. Tetapi menyedari betapa pentingnya pendidikan seks diajar kepada anak-anak, saya akur dan mula membuka minda untuk berbincang,” jelas Fatimah yang juga bekas tenaga pengajar rancangan realiti televisyen popular, Akademi Fantasia (AF).


Bagi salah seorang ibu yang menghadiri bengkel ini, Emy Hartini Abdul Hamid, 43, dia sudah mula faham bahawa pendidikan seks sebenarnya bukan satu perkara yang kotor untuk diperkatakan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk maklumat yang harus dibekalkan pada anak-anak demi menjamin masa depan mereka.


“Saya mempunyai seorang anak perempuan yang semakin meningkat remaja berusia 15 tahun dan dua anak lelaki berusia lima serta empat tahun. Setelah mengikuti bengkel ini, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul di bahu ibu begitu besar.

“Saya harus menyiapkan diri dengan segala ilmu untuk membincangkan perkara ini dengan mereka seperti cara berkomunikasi, kaedah penceritaan dan banyak lagi. Apa yang penting adalah saya tidak mahu mereka terjerumus ke arah masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang seperti seks bebas, hamil luar nikah, menghidap penyakit kelamin dan sebagainya,” kata Emy.


Kesimpulannya, apa yang ditekankan menerusi bengkel ini ialah ibu bapa tidak harus memandang ringan mengenai isu pendidikan seks pada awal usia kerana banyak manfaat yang diperoleh berbanding keburukan jika anak-anak mengetahuinya.


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 31 Julai 2008

UMNO PERAK GELABAH

Umno Perak kini semakin gelabah - Mursyidul Am PAS


Salmah Mat Husain
Wed | Jul 30, 08 | 6:19:39 pm MYT


KOTA BHARU, 30 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan bersama PAS di Perak menggambarkan parti itu kini semakin gelabah.


Mursyidul Am PAS berkata, pelawaan itu membuktikan parti tersebut begitu menyesal terhadap apa yang telah dilakukan terhadap PAS selama ini sehingga terpaksa mengajak untuk bergabung sekarang.


Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran tabung Penambahbaikan Masjid Al-Baraah dan Ceramah Israk Mikraj di perkarangan Pasar Besar Siti Khatijah hari ini katanya, tindakan seperti dilakukan Umno Perak menggambarkan mereka bermasalah.

"Kalau di dunia sudah memperlihatkan masalah, apa lagi�kalau di akhirat, lagi bermasalah," kata beliau.

Image Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dilaporkan mengajak PAS menubuh kerajaan campuran di Perak sebagai simbol perpaduan Islam dan Melayu.


Ekoran tawaran tersebut Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian petang semalam membuat laporan polis kerana menyifatkan tindakan bekas Menteri Besar Perak itu mempunyai unsur-unsur rasuah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun berkata, keputusan mengenai perkara akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur esok.


Beliau yang akan menghadiri mesyuarat itu esok menjelaskan pendiriannya tetap sama sebagaimana sebelum ini iaitu muqabalah dibolehkan dengan Umno dan tidak mungkin untuk bergabung dalam pakatan politik.

"Muqabalah dengan sesiapa sahaja boleh, sebab Islam sendiri telah mengajar pertemuan perlu diadakan sekiranya ia dapat menyelesaikan masalah masyarakat.


"Nabi Muhammad saw pernah mengadakan muqabalah dengan kaum musyrikin untuk menyelesaikan masalah masyarakat di zaman baginda.

"Begitu juga sekarang muqabalah dengan sesiapa pun boleh, tetapi jangan libatkan gabungan politik," ujarnya.

Image

Menurutnya, muqabalah, muzakarah, musyawarah atau seumpamanya tiada masalah diadakan, sebaliknya berbincang politik dengan parti lawan (Umno) perlu berhati-hati kerana peristiwa lama telah berlaku 50 tahun lalu.

Beliau menegaskan PAS memang terluka hati dengan tindakan Umno menyingkir PAS setelah bergabung dalam Barisan Nasional pada 1970-an.


"Peristiwa Memali, peristiwa Lubuk Merbau, penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan dan membatal pendaratan minyak dan gas di Pantai Senok Bachok adalah antara peristiwa yang tidak mudah dilupakan," ujarnya.


Beliau juga berkata, muqabalah yang diadakan di antara pemimpin PAS dan Umno sebelum ini menyebabkan situasi tidak tenang berlaku di kalangan penyokong PAS.

"Mereka marah saya macam-macam sehingga pedih telinga mendengarnya," ujar beliau. - mj �


ARTICLES SOURCE: http://www.harakahdaily.net

Ahad, 20 Julai 2008

KAHWIN

Kahwin Untuk Apa?

Koleksi ANIS/ Temubual: Zakaria Sungib


Sesetengah wanita hari ini yang tidak dapat merasakan ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah semacam takut untuk berkahwin. Kurang yakin berkahwin itu syok, membahagiakan dan dapat beri ketenangan. Lalu hati kecilnya bertanya, “Kahwin untuk apa?” Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz mengulas kemelut ini.


Kahwin dilihat banyak timbulkan masalah, menyebabkan ada wanita yang rela tidak berkahwin.

Dalam hidup ini, kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah bersabda, ‘Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.’ Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Kita jangan tengok secara negatif, kita kena tengok yang positif. Bukanlah perkahwinan itu yang menyebabkan masalah tapi cara melaksanakannya.


Sebenarnya tak kahwin itu menyebabkan tidak tenang. Kalau Allah (SWT) kata dengan berkahwin dapat ketenangan, Allah (SWT) akan beri. Apa yang wanita selalu takut bila hendak kahwin? Takut risiko tidak dapat suami yang baik. Sebenarnya itu risiko kedua. Risiko pertama, celik mata saja kita tidak dapat berhubung, tidak dapat mengingati Allah (SWT).


Bila kita berhubung dengan Allah (SWT) sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah (SWT). Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah (SWT) akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah (SWT), syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.


Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah (SWT) datangkan istidraj… kadang-kadang Allah (SWT) beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan. Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah (SWT). Ini formula yang tak boleh dilanggar.


Ada wanita yang belum kahwin-kahwin sebab “Belum ada jodoh” atau “Susah nak cari calon, maklumlah kita ni orang perempuan.” Apa jalan keluarnya?

Saya kata, you pinanglah orang lelaki! Perkara ini tidak salah. Siti Khadijah dulu pun pinang Rasulullah. Buatlah dengan cara yang betul, seperti melalui orang ketiga. Soalnya, macam mana usaha yang dibuat untuk dapat jodoh itu?


Usaha ada dua aspek. Usaha nombor satu, hablumminallah. Kita baik dengan Allah (SWT) dulu. Kenal pasti apa yang Allah (SWT) suka. Lepas menyerahkan diri dengan Allah (SWT) iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kita dirikan solat. Solat biar yang betul-betul diterima Allah (SWT).


Betul rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbinya. Kalau hendak tahu sama ada Allah (SWT) terima atau tidak solat kita, lihat tindak-tanduk kita. Kita pun boleh rasa solat kita lalai atau tidak. Bila kita baik dengan Allah (SWT), kita minta pun dengan Allah (SWT). Allah (SWT) taala akan pandu dalam usaha kita. Allah (SWT) beri panduan. Allah (SWT) tidak akan menganiayai kita. “Sesungguhnya Allah (SWT) tidak menganiaya kamu tetapi kamulah yang menganiaya dirimu sendiri,” maksud firman Allah (SWT).


Jadi usaha mesti dengan Allah (SWT) dulu. Barulah kita boleh lakukan perubahan dalam hidup kita. Kita kena muhasabah. Kalau berlaku sesuatu pada diri kita, semak dulu macam mana diri kita dengan Allah (SWT).Dalam membuat keputusan, kita susah hendak nilai. Kita terlalu lemah. Kadang-kadang kita ikut luaran saja, sebab itu tersalah pilih pasangan.


Dalam soal ini, Allah (SWT) kata, ‘Kau perlukan Aku’. Buatlah istikharah supaya dapat calon pilihan yang terbaik, yang boleh melahirkan kehidupan dan zuriat yang baik.

Ada wanita yang rasa rendah diri dan putus asa untuk kahwin sebab pernah dianiaya. “Dulu orang buat saya, orang sihir saya,” luahnya.


Kita jangan risau sangat apa yang orang hendak kenakan pada kita. Kalau kita baik dengan Allah (SWT), Allah (SWT) tidak akan aniaya kita. Sebab itu asas tauhid sangat penting. Asas tauhid adalah asas untuk kenal siapa Allah (SWT) – Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya… segala perbendaraan berada di tangan-Nya.


Maknanya, segala jodoh yang baik ada di tangan Allah (SWT). Allah (SWT) juga maha pemurah. Jadi kalau kita ‘kawan’ baik dengan Allah (SWT), apa yang kita hendak bimbangkan? Sebab Yang Paling Kuat ada di sisi kita. Kita tak perlu takut dan bimbang. Mintalah supaya Allah (SWT) pandu kita. Allah (SWT) hanya akan memandu orang yang beriman.


Bila hendak pilih jodoh, kita perlu merisik. Apa yang hendak dirisik?

Perkara pertama untuk kenal calon pasangan, selidik solatnya. Macam mana solatnya. Kemudian risik sama ada mengaji Quran atau tidak, dan lain-lain perkara asas.

Bagaimana kalau dia jaga solat tapi akhlaknya kurang atau dia buat perkara-perkara yang tak sepatutnya?

Saya pernah ditanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO. Mereka buat kajian masalah keluarga di dalam masyarakat. Dia tanya, ‘Doktor rasa apa punca timbulnya masalah keluarga ini?’ Kata saya, ‘Senang saja. Puncanya mereka tidak solat.’ Dia terperanjat kerana berdasarkan kajiannya, 50 peratus dari keluarga yang terlibat adalah orang yang tahu agama. Orang yang solat.


Ini bukan saya yang cakap tapi Rasulullah yang kata: Siapa yang solat yang solatnya tidak dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sesungguhnya dia tidak solat. Atau dalam hadis lain disebut, sesungguhnya dia bukan semakin hampir dengan Allah (SWT) tapi bertambah jauh dari-Nya.


Jadi konsep solat adalah ‘mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’. Kita berikrar pada Allah (SWT) lima kali sehari bahawa ‘hidupku, matiku… hanya untuk Allah (SWT)’ tapi bila keluar dari solat, kita buat perkara yang tidak selari dengan ikrar kita. Sebab itu Rasulullah kata, kita sebenarnya tidak solat.


Solat sebenarnya dapat pastikan kita buat amal soleh, punca ketenangan. Jadi dalam memilih calon pasangan, pertama buat istikharah, kedua selidik. Selidik biar betul-betul, jangan sambil lewa.

Wanita bagaimana yang menjadi pilihan lelaki untuk dijadikan pasangan hidup?

Sebenarnya lelaki berkehendak kepada wanita solehah. Sebab wanita solehah inilah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. Menyejukkan pandangan mata. Untuk memilih calon isteri, manusia memang sukakan kecantikan tapi nombor satu mesti agamanya.

Agamanya itu yang akan cetuskan ketenangan. Bukan saja lawa fizikal tapi lawa juga akhlaknya. Lawa yang berkekalan adalah akhlak – itu yang menyejukkan pandangan mata dan hati. Sebab kita hendak tengok dia bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi sepanjang usia perkahwinan.


Cuba tanya pada orang yang berkahwin, kenapa kahwin?

Pernah tak orang jawab, saya kahwin kerana Allah (SWT). Orang yang kahwin kerana Allah (SWT) akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah (SWT) untuk mendapatkan pasangan.



ARTICLES SOURCE: http://nurjeehan.hadithuna.com


Jumaat, 18 Julai 2008

PROMOSI BLOG

Kaedah Promosi Blog Yang Berkesan



Anda sudah bina blog? Bagaimana rupa blog anda? Adakah anda telah berjaya menarik pelawat ke blog anda?

Hari ini dah semakin ramai yang mula wujudkan blog, rakyat Malaysia juga tidak terkecuali untuk memiliki blog peribadi. Sama ada ianya percuma atau berbayar, itu bukan lagi soalnya.. yang penting adakah blog anda dilawat oleh pengguna internet?

Kadang-kadang, kita ini sibuk menulis tetapi tiada pula orang nak jenguk.. macam kita ni syok sendiri.. so, macam mana nak tarik pelawat ke blog anda?

Strategi yang saya akan cuba kongsikan dengan anda hari ini, mungkin ianya nampak mudah tetapi sebenarnya ianya juga berkesan. Tidak perlu keluar modal sehingga beratus-ratus ringgit jika ingin menjalankan promosi, sebaliknya banyak juga cara yang ?percuma? untuk dipraktikkan secara berkesan. Semua ini di atas daya usaha anda. Rajin anda melakukan promosi, semakin ramailah pelawat anda. Jadi apakah kaedah yang pertama?


1. Menyumbang sebarang artikel ke komuniti atau forum.

Jika anda perasan, saya banyak menyumbangkan artikel di komuniti wangcyber.com. Di ruang artikel saya mengambil peluang ini untuk menghantar artikel-artikel tulisan saya sendiri dan diakhirnya saya meninggalkan link ke blog saya. Dengan cara ini, pelawat-pelawat atau ahli komuniti akan menggunakan link-link di artikel ini untuk sampai ke blog saya.

Pastikan anda mengirimkan artikel yang baik dan memberi manfaat kepada pembaca apabila membaca artikel anda.

Contoh di wangcyber.com, anda bebas untuk menghantar artikel atau kandungan blog anda ke sana, secara tak langsung anda sudah mula mendapatkan pembaca baru untuk blog anda. Kaedah ini jika anda praktikan, ianya dapat membantu anda di dalam penulisan artikel. Secara tak langsung ia dapat memahirkan diri anda dalam bidang penulisan. Tidak perlu menggunakan ayat ?skema?, menggunakan bahasa mudah juga mampu memberikan anda peluang mendapatkan pelawat di blog.


2. Bertukar pautan web sendiri dengan blog.

Saya mengambil contoh laman web saya sendiri iaitu www.pelamin.net dimana saya melakukan tukaran link antara satu sama lain. Ia juga dapat memberikan peluang win-win situation dimana, jika pelawat saya melawat blog, mereka juga boleh mencapai laman web tempahan pakej perkahwinan hanya mengklik link di blog saya. Begitu juga sebaliknya.


3. Blog di dalam emel?

Tahukah anda, antara kaedah untuk menarik minat pembaca adalah memberikan mereka maklumat terus ke emel mereka. Cara tradisional yang masih digunapakai adalah dengan meletak ?signature? blog di dalam emel. Apabila mereka menghantar emel kepada rakan atau sesiapa, penerima akan membaca dan melihat tandatangan ini. Bagi anda yang baru memiliki blog, saya syorkan anda jangan mengabaikan kaedah ini. Walaupun anda mempunyai kaedah lain seperti RSS atau tag, kaedah promosi melalui emel jangan sesekali diabaikan. Emel merupakan senjata yang berkesan. Letakkan link blog anda di bahagian bawah tanda tangan atau setiap kali anda menghantar artikel. Nampak mudah tetapi berkesan.


4. Tinggalkan komen di ruangan komen blog yang anda lawat.

Statistik di blog saya menunjukkan bilangan yang pelawat yang ramai setiap hari. Dengan cara anda meninggalkan komen, ia juga dapat membantu anda mendapatkan pelawat saya untuk klik ke blog anda. Bagi mereka yang rajin, mereka boleh meninggalkan komen yang bernas, kerana kebanyakkan pelawat akan cuba mengambil tahu apa yang anda kongsikan dengan cara mudah, terus klik ke blog anda.

Inilah antara kaedah promosi percuma yang boleh saya kongsikan kepada anda. Sebenarnya banyak lagi kaedah yang mudah tetapi adakala ianya diabaikan oleh ramai blogger. Sebab itu rating atau rangking sasaran pembaca tidak dapat dicapai. Diharap dengan infomasi seperti ini, sedikit sebanyak ianya dapat membantu anda memperolehi pembaca yang setia.


ARTICLES SOURCE: http://www.wangcyber.com