Memaparkan catatan dengan label ANWAR IBRAHIM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ANWAR IBRAHIM. Papar semua catatan

Rabu, 27 Ogos 2008

ANWAR KE PARLIMEN

Anwar kembali ke Parlimen




BUKIT MERTAJAM - Penasihat Parti Ke- adilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibra- him kembali ke Parlimen selepas 10 tahun setelah memenangi pilihan raya kecil Perma- tang Pauh semalam.


Beliau yang meraih 31,195 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi dengan majoriti 15,671 undi.

Kemenangan Anwar, 61, di kubu kuatnya memang dijangka, namun undi yang diperoleh beliau meningkat berbanding yang diraih iste- rinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 13,398 undi.


Seorang lagi calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat, 61, pula hilang wang deposit RM10,000 apabila hanya meraih 92 undi.

Keputusan diumumkan Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di Institut Penguruan Tuanku Bainun pukul 10 malam.


Turut berada bersama Anwar, isteri beliau Wan Azizah, anak mereka Nurul Izzah, Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta beberapa Ahli Parlimen dari PKR dan DAP.

Sementara itu, Anwar yang bersyukur dengan kemenangan itu berharap semua pihak menerima keputusan tersebut dengan baik.


Katanya, menerusi kemenangan ini beliau akan meneruskan agenda yang dijanjikan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Arif Shah memberitahu, beliau akan terus memberi khidmat bakti seperti biasa kepada masyarakat di kawasan tersebut.

"Saya tidak rasa apa-apa. Sebenarnya saya dipilih oleh parti untuk bertanding sebagai calon BN. Kalah dan menang terletak di tangan pengundi," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Seberang Jaya di sini.

Beliau memberitahu, kekalahan itu berpunca daripada peratus kehadiran pengundi BN yang amat lemah.


Dalam pada itu, Hanafi yang ditemui memberitahu, biarpun kalah beliau sudah dapat menyampaikan mesej perpaduan yang dibawanya.

"Pengundi yang memilih saya itu memang memahami mesej yang saya bawa," katanya.


Sebanyak 110 saluran di 25 pusat mengundi, dibuka kepada 58,459 pengundi pada pukul 8 pagi.

Peratusan keluar mengundi merosot kepada 65.25 peratus berbanding Pilihan Raya Umum Mac lalu 81 peratus.



SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 7 Ogos 2008

CUKUP BUKTI DAKWA ANWAR

Cukup bukti dakwa Anwar



JALANKAN TUGAS: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Jude Pereira (kanan) keluar dari rumah Anwar di Bukit Segambut selepas menyampaikan sapina, semalam.

Hadapi tuduhan liwat pembantu

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Pejabat Peguam Negara selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan polis berhubung kes berkenaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang diminta mengulas perkara itu percaya polis mempunyai cukup bukti bagi mendakwa Anwar bersabit tuduhan itu.

"Polis bukan bodoh untuk mendakwa jika tiada bukti," katanya sambil menegaskan beliau tidak pernah

mengarahkan supaya Anwar didakwa bagi mengalihkan perhatian

rakyat terhadap masalah yang dihadapi negara.



Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam, Abdullah berkata, beliau sendiri pernah mengingatkan polis supaya menggugurkan kes itu jika tidak ada bukti.

"Jika ada bukti, dakwa... jika tidak, gugurkan. Itu yang saya katakan... terpulang kepada mereka untuk memutuskan berdasarkan siasatan yang sudah dilakukan.

"Jika mereka berasakan terdapat cukup bukti, mereka perlu mendakwa kerana ada orang, iaitu Mohd Saiful menuntut keadilan... mungkin anda terlupa Saiful dan berasakan Anwar lebih penting.


"Ini adalah persoalan undang-undang dan polis bertanggungjawab menjalankan siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh Mohd Saiful. Jika mereka ada bukti untuk mendakwa, kita tidak boleh menghalangnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata polis semalam menyerahkan notis mengarahkan Anwar hadir di mahkamah pada jam 10 pagi ini.

"Polis sudah selesai menjalankan siasatan kes jenayah seksual membabitkan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii membabitkan Anwar, dengan berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia ada dalam sistem perundangan negara.


"Sehubungan itu, kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan keputusan. Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa Anwar," katanya.

Terdahulu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Jude Pereira, menyerahkan notis itu kepada Anwar di kediamannya di Bukit Segambut, Segambut Dalam di sini.


Anwar sendiri menerima notis itu dan mengesahkan akan hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Pereira yang diiringi tiga pegawai dan anggota polis dengan menaiki dua kereta, dilihat memasuki kediaman Anwar seorang diri, kira-kira jam 12 tengah hari sebelum keluar 15 minit kemudian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila dikerumuni lebih 30 wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar kediaman Anwar sejak jam 8 pagi.



Polis menjalankan siasatan terhadap Anwar selepas Mohd Saiful, 23, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun lalu mendakwa Penasihat PKR itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Damansara, 26 Jun lalu.

Pada 16 Julai lalu, Anwar ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan hari dan diarah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada 18 Ogos ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.



ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my


Ahad, 3 Ogos 2008

SAIFUL VS ANWAR (2)

Saiful dakwa atur pertemuan sulit Anwar







KUALA LUMPUR - Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan bahawa antara tanggungjawab yang diberikan oleh bekas majikannya adalah termasuk mengatur pertemuan sulit dengan Ahli Parlimen yang ingin melompat parti.

Dalam laman blognya http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com, Mohd. Saiful berkata, biasanya pertemuan diadakan di Kondominium Desa Damansara.


Mohd. Saiful, 23, berkata, ketika menjadi pembantu khas kepada Anwar beliau pernah mengikut Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ke luar negara termasuk ke Hong Kong (awal Mei), Bangkok (hujung Mei) dan Singapura (16 dan 18 Jun).


Dalam artikel bertajuk Tugas-tugas seorang bekas Coffee Boy kepada DSAI dalam laman blog itu yang bertarikh semalam, Saiful turut mendedahkan bahawa tugasan serta tanggungjawabnya ialah membantu ketua staf, Ibrahim Yaacob menguruskan jadual Anwar.


articles source: http://www.kosmo.com.my

P/S: Boleh percaya ke si Saiful ni... Bagi pandangan anda di ruangan komen dibawah ... siapa yang benar. Saiful atau Anwar.... atau E-mail kat Naza1@ymail.com.... TQ

Jumaat, 1 Ogos 2008

REBET TUNAI

Boleh tuntut rebat tunai dalam talian



KUALA LUMPUR - Rebat tunai bagi subsidi petrol yang diagihkan melalui Pos Malaysia Berhad (PMB) kini boleh dibuat melalui online (dalam talian).


Transaksi itu boleh diakses di www.posonline.com.my dan pilihan itu adalah bagi melengkapkan tuntutan rebat tunai yang ada sekarang yang boleh dibuat di semua pejabat pos di seluruh negara, kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan di sini semalam.


Melalui kaedah itu, pemilik kenderaan mempunyai pilihan untuk menerima tuntutan dalam bentuk kiriman tunai atau dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka, kata kenyataan itu.


Bagi kiriman wang, ia mengambil masa tujuh hari bekerja mulai daripada tarikh tuntutan itu dibuat bagi Pos Malaysia membuat penghantaran kepada alamat surat menyurat pemilik kenderaan.

Kenyataan itu berkata, bagi mereka yang memilih rebat itu dimasukkan terus ke dalam akaun masing-masing, mereka akan menerima wang itu dalam tempoh tiga hari daripada tarikh tuntutan itu.


Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan bagi mengurangkan beban orang ramai berikutan kenaikan harga bahan api itu.


Pemilik kenderaan berkuasa 2,000 cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang berkuasa 2,500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun namun, bagi pemilik motosikal berkuasa 250 cc ke bawah rebatnya RM150 setahun.

Pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan rebat itu sehingga 31 Mac tahun depan. - Bernama



ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my/kosmo

Rabu, 30 Julai 2008

SAYA BOLEH MENANG

Anwar: Saya boleh menang di Kulim

Jimadie Shah Othman | Jul 29, 08 2:27pm


kemaskini 4:30pm Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau boleh menang di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu apabila bertanding di situ jika ia diisytiharkan kosong oleh mahkamah bulan depan.


"Pilihanraya kecil atau besar (umum), kalau (dijalankan secara) bebas, jujur dan adil, itu beres. Di Malaysia ini, kita hanya mahu memastikan ia bebas dan adil.


"Saya yakin, insya Allah. Dan kebetulan Kulim-Bandar Baharu itu berhampiran dengan kampung asal saya yang terkenal itu Cherok To'kun," kata penasihat PKR sambil berseloroh dalam sidang media pagi ini.


anwar ibrahim and kulim bandar bharu by election 290708Menurut Anwar, beliau "sudah dapat laporan bahawa kawasan itu baik".


Tambahnya, tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah memberikan komitmen penuh untuk membantunya dalam pilihanraya kecil nanti.


Beliau bagaimanapun faham bahawa pilihanraya kecil selalunya lebih mencabar bagi seseorang calon pembangkang.

"Saya sedar, seluruh sumber kerajaan, Umno dan parti (BN). Saya ada sebut di Kulim pada malam dulu (Ahad), seluruh traktor dari Semenjanjung kini sedang bergerak ke Kulim," katanya, disambut ketawa kecil kumpulan wartawan yang membuat liputan.


Katanya, beliau sebelum ini menimbang sama ada bertanding di Bandar Tun Razak yang kini dimenangi oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga menteri besar Selangor, atau Kulim-Bandar Baharu.


"Kita melihat Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu, tetapi keputusan kita, terus (bertanding) di Kulim," kata Anwar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.


Beliau enggan mengulas kesediaan bekas pemimpin kanan PKR dan setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Noor mencabarnya dalam pilihanraya kecil itu.


Mahkamah akan mendengar petisyen pilihanraya calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bulan depan.

Pada pilihanraya umum 8 Mac, calon PKR Zulkifli Noordin memenangi dengan majoriti 5,583 – beliau memperolehi 22,255, manakala Aziz pula sebanyak 16,672.


Kulim-Bandar Baharu mempunyai 67.93% pemilih Melayu, 21.13% Cina dan 11.48% India daripada jumlah keseluruhan 51,444 orang.

Mengulas tawaran Umno supaya PAS membentuk kerajaan campuran di Perak, Anwar berkata perkara itu sudah dijawab oleh menteri besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa beliau tetap komited dengan Pakatan.


Mengulas sama ada isu muzakarah antara PAS dan Umno akan menjejaskan gabungan pembangkang yang dikepalainya, Anwar berkata:

"Ia sekarang muqabalah, bukan lagi muzarakah. Ia penting diketahui daripada aspek epistemologi.


"Muzakarah bermaksud diskusi biasa untuk mencari persefahaman. Muqabalah bermaksud, kamu berdiskusi atas pendirian kamu."



ARTICLES SOURCE: http://www.malaysiakini.com

Isnin, 28 Julai 2008

PETUA AWET MUDA

Petua ini mungkin telah diingatkan kepada kita berulang-ulang kali oleh ibu atau nenek kita,namun pada agakan saya, tidak ramai yang menjadikannya satu amalan.

Meminum air suam setiap pagi selepas bangun daripada tidur merupakan amalan pengekalan kejelitaan yang paling mudah, tetapi paling mujarab. Di bawah adalah 'penambahan' kepada amalan meminum air suam yang mesti kita amalkan setiap pagi untuk kelihatan awet muda sepanjang usia kita. Bagi saya, biarlah usia kita tua, namun wajah kita tidak perlu menunjukkannya.

Letakkan jari telunjuk kedua-dua belah tangan di atas dagu. Kemudian pusing-pusingkan jari anda ke pipi, bawa ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi. Urutan ini perlu disusuli dengan meminum air suam selepasnya. Bagi umat Islam, berselawatlah 3 kali sebelum mengambil minuman ini. Perlu diingatkan untuk meminum air suam ini sebelum mengambil apa-apa sarapan.

Dalam pengamatan saya sendiri, amalan ini telah terbukti berkesan kerana semua 'wanita cantik' yang saya pernah kenal menurunkan petua ini kepada saya apabila saya bertanya 'rahsia' wajah mereka yang tegang dan sentiasa kelihatan ceria.






ARTICLES SOURCE: http://petua-kecantikan-melayu.blogspot.com

Ahad, 20 Julai 2008

KAHWIN

Kahwin Untuk Apa?

Koleksi ANIS/ Temubual: Zakaria Sungib


Sesetengah wanita hari ini yang tidak dapat merasakan ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah semacam takut untuk berkahwin. Kurang yakin berkahwin itu syok, membahagiakan dan dapat beri ketenangan. Lalu hati kecilnya bertanya, “Kahwin untuk apa?” Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz mengulas kemelut ini.


Kahwin dilihat banyak timbulkan masalah, menyebabkan ada wanita yang rela tidak berkahwin.

Dalam hidup ini, kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah bersabda, ‘Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.’ Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Kita jangan tengok secara negatif, kita kena tengok yang positif. Bukanlah perkahwinan itu yang menyebabkan masalah tapi cara melaksanakannya.


Sebenarnya tak kahwin itu menyebabkan tidak tenang. Kalau Allah (SWT) kata dengan berkahwin dapat ketenangan, Allah (SWT) akan beri. Apa yang wanita selalu takut bila hendak kahwin? Takut risiko tidak dapat suami yang baik. Sebenarnya itu risiko kedua. Risiko pertama, celik mata saja kita tidak dapat berhubung, tidak dapat mengingati Allah (SWT).


Bila kita berhubung dengan Allah (SWT) sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah (SWT). Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah (SWT) akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah (SWT), syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.


Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah (SWT) datangkan istidraj… kadang-kadang Allah (SWT) beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan. Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah (SWT). Ini formula yang tak boleh dilanggar.


Ada wanita yang belum kahwin-kahwin sebab “Belum ada jodoh” atau “Susah nak cari calon, maklumlah kita ni orang perempuan.” Apa jalan keluarnya?

Saya kata, you pinanglah orang lelaki! Perkara ini tidak salah. Siti Khadijah dulu pun pinang Rasulullah. Buatlah dengan cara yang betul, seperti melalui orang ketiga. Soalnya, macam mana usaha yang dibuat untuk dapat jodoh itu?


Usaha ada dua aspek. Usaha nombor satu, hablumminallah. Kita baik dengan Allah (SWT) dulu. Kenal pasti apa yang Allah (SWT) suka. Lepas menyerahkan diri dengan Allah (SWT) iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kita dirikan solat. Solat biar yang betul-betul diterima Allah (SWT).


Betul rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbinya. Kalau hendak tahu sama ada Allah (SWT) terima atau tidak solat kita, lihat tindak-tanduk kita. Kita pun boleh rasa solat kita lalai atau tidak. Bila kita baik dengan Allah (SWT), kita minta pun dengan Allah (SWT). Allah (SWT) taala akan pandu dalam usaha kita. Allah (SWT) beri panduan. Allah (SWT) tidak akan menganiayai kita. “Sesungguhnya Allah (SWT) tidak menganiaya kamu tetapi kamulah yang menganiaya dirimu sendiri,” maksud firman Allah (SWT).


Jadi usaha mesti dengan Allah (SWT) dulu. Barulah kita boleh lakukan perubahan dalam hidup kita. Kita kena muhasabah. Kalau berlaku sesuatu pada diri kita, semak dulu macam mana diri kita dengan Allah (SWT).Dalam membuat keputusan, kita susah hendak nilai. Kita terlalu lemah. Kadang-kadang kita ikut luaran saja, sebab itu tersalah pilih pasangan.


Dalam soal ini, Allah (SWT) kata, ‘Kau perlukan Aku’. Buatlah istikharah supaya dapat calon pilihan yang terbaik, yang boleh melahirkan kehidupan dan zuriat yang baik.

Ada wanita yang rasa rendah diri dan putus asa untuk kahwin sebab pernah dianiaya. “Dulu orang buat saya, orang sihir saya,” luahnya.


Kita jangan risau sangat apa yang orang hendak kenakan pada kita. Kalau kita baik dengan Allah (SWT), Allah (SWT) tidak akan aniaya kita. Sebab itu asas tauhid sangat penting. Asas tauhid adalah asas untuk kenal siapa Allah (SWT) – Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya… segala perbendaraan berada di tangan-Nya.


Maknanya, segala jodoh yang baik ada di tangan Allah (SWT). Allah (SWT) juga maha pemurah. Jadi kalau kita ‘kawan’ baik dengan Allah (SWT), apa yang kita hendak bimbangkan? Sebab Yang Paling Kuat ada di sisi kita. Kita tak perlu takut dan bimbang. Mintalah supaya Allah (SWT) pandu kita. Allah (SWT) hanya akan memandu orang yang beriman.


Bila hendak pilih jodoh, kita perlu merisik. Apa yang hendak dirisik?

Perkara pertama untuk kenal calon pasangan, selidik solatnya. Macam mana solatnya. Kemudian risik sama ada mengaji Quran atau tidak, dan lain-lain perkara asas.

Bagaimana kalau dia jaga solat tapi akhlaknya kurang atau dia buat perkara-perkara yang tak sepatutnya?

Saya pernah ditanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO. Mereka buat kajian masalah keluarga di dalam masyarakat. Dia tanya, ‘Doktor rasa apa punca timbulnya masalah keluarga ini?’ Kata saya, ‘Senang saja. Puncanya mereka tidak solat.’ Dia terperanjat kerana berdasarkan kajiannya, 50 peratus dari keluarga yang terlibat adalah orang yang tahu agama. Orang yang solat.


Ini bukan saya yang cakap tapi Rasulullah yang kata: Siapa yang solat yang solatnya tidak dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sesungguhnya dia tidak solat. Atau dalam hadis lain disebut, sesungguhnya dia bukan semakin hampir dengan Allah (SWT) tapi bertambah jauh dari-Nya.


Jadi konsep solat adalah ‘mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’. Kita berikrar pada Allah (SWT) lima kali sehari bahawa ‘hidupku, matiku… hanya untuk Allah (SWT)’ tapi bila keluar dari solat, kita buat perkara yang tidak selari dengan ikrar kita. Sebab itu Rasulullah kata, kita sebenarnya tidak solat.


Solat sebenarnya dapat pastikan kita buat amal soleh, punca ketenangan. Jadi dalam memilih calon pasangan, pertama buat istikharah, kedua selidik. Selidik biar betul-betul, jangan sambil lewa.

Wanita bagaimana yang menjadi pilihan lelaki untuk dijadikan pasangan hidup?

Sebenarnya lelaki berkehendak kepada wanita solehah. Sebab wanita solehah inilah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. Menyejukkan pandangan mata. Untuk memilih calon isteri, manusia memang sukakan kecantikan tapi nombor satu mesti agamanya.

Agamanya itu yang akan cetuskan ketenangan. Bukan saja lawa fizikal tapi lawa juga akhlaknya. Lawa yang berkekalan adalah akhlak – itu yang menyejukkan pandangan mata dan hati. Sebab kita hendak tengok dia bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi sepanjang usia perkahwinan.


Cuba tanya pada orang yang berkahwin, kenapa kahwin?

Pernah tak orang jawab, saya kahwin kerana Allah (SWT). Orang yang kahwin kerana Allah (SWT) akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah (SWT) untuk mendapatkan pasangan.



ARTICLES SOURCE: http://nurjeehan.hadithuna.com


Jumaat, 11 Julai 2008

SEDEKAH

Kategori : IBADAH Akidah


Tajuk : Sedekah Tidak Mengurangkan Harta



Hadith :

Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.”


(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)



Huraian


Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja. Agar sedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’ iaitu :


1. Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah yang maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (al-Baqarah: 267)


2. Sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.


3. Sunat bagi pemberi sedekah atau penderma bersedekah dan menderma daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)


4. Bersedekah dengan disertai keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.


5. Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, 8 Julai 2008

LUPA

MENGAPA ANDA SELALU LUPA?






Adakah masalah lupa merungsingkan anda? Itu sudah pasti, bukan? Sekiranya anda dapati anda sering kali lupa apa yang telah dibaca, maka tahniah!! itu tandanya anda manusia normal. Hasil kajian telah menunjukkan 80% dari apa yang kita baca hari ini akan lupa hanya dalam masa 24 jam.


Jangan cari alasan.

Ramai pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak belajar atau membuat ulangkaji terlalu awal. “Buat apa baca sekarang esok lupa juga”. Inilah kata-kata yang sering diucapkan. Tahukah anda, sebenarnya anda tidak lupa, cuma anda belum melakukan cukup usaha supaya anda tidak lupa. Mudah bunyinya bukan??


Sebenarnya wujud perbezaan antara belajar awal dengan belajar waktu musim peperiksaan. Anda perlu belajar awal untuk menyediakan nota-nota bermutu dan untuk memahami setiap mata pelajaran dengan sebaik-baiknya. Jangan risau kalau masih banyak yang anda belum ingat, yang penting telah banyak tajuk-tajuk yang anda telah faham.


Fahami apa yang dibaca.

Memahami matapelajaran adalah langkah pertama sebelum anda melakukan usaha untuk menghafalnya. Menghafal bahan yang tidak difahami adalah perbuatan yang sia-sia. Sekiranya anda belajar awal, anda pasti punya banyak masa dan berpeluang untuk bertanya kepada guru dan rakan-rakan agar setiap kekeliruan dapat diatasi sebelum terlambat..


Setelah anda benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda gunakan setiap kali datangnya musim peperiksaan. Sediakan juga nota-nota poket dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk semula kepada apa yang telah dipelajari tanpa perlu membelek semula buku-buku asal.


Hafal kata kunci.

Ramai pelajar yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk. Mereka cuba mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.


Contoh fakta:
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.


Pertama sekali pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan kepada anda dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu, tetapi bukan menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan ‘dua hemisfera’ yang merupakan kata kunci kepada fakta. Sekiranya anda ingat kata kunci ini pasti sahaja anda mampu menerangkan kepada orang lain apa maksud disebaliknya. Sebab itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!


Pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil.

Sekiranya anda terpaksa menghafal terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya serentak. Tidak perlu terburu-buru. Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut kepada beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan ini.
Misalnya, kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta ini kepada 3 kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai hanya 5 fakta. Baik, sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan yang 15 fakta atau kumpulan yang mengandungi 5 fakta? Lihat! mudah-mudahkanlah pekerjaan anda. Sekali lagi jangan terburu-buru. Mempelajari bahan-bahan akademik memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.


Sering membuat imbasan.

Satu lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah menguasai tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali ulangkaji. Awal-awal lagi telah dibuktikan bahawa 80% daripada apa yang telah dipelajari akan lupa dalam masa 24 jam. Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut dalam masa yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa mengulang baca keseluruhan tajuk sekali lagi dimusim peperiksaan. Untuk menjadi seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat seimbas apa yang telah anda baca dari semasa ke semasa secara sistematik. Petua dibawah boleh digunakan dan terbukti berkesan:


Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.
Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.
Imbas 5 minit setiap 2 minggu.
Imbas 5 - 10 minit dimusim peperiksaan.


Gunakan teknik-teknik ingatan.

Untuk memudahkan lagi proses mengingati fakta, anda perlu ada kemahiran tertentu seperti teknik mnemonik, teknik menggambar cara, teknik ceraian dan pelbagai lagi. Pastikan anda kembali ke sini setiap minggu sebab pelbagai topik berkaitan dengan ingatan akan dimasukkan dari semasa ke semasa.


Elakkan dari tidur petang.

Ini lagi satu penyakit. Tidur selepas waktu Asar akan melembabkan otak anda. Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat tidak digalakkan. Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini. Kalau anda letih, tidur sahaja sebentar selepas solat zuhur, ini sunnah Rasulullah s.a.w. Badan akan terasa lebih bertenaga untuk belajar diwaktu malamnya nanti.


Ajarkannya kepada orang lain.

Cari peluang untuk mengajarkan apa yang telah anda ketahui kepada orang lain. Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan kumpulan. Hanya dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji penguasaan anda terhadap satu-satu tajuk. Raikan setiap soalan dan hujah daripada rakan. Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya dengan cara inilah otak anda mula bekerja lebih keras untuk mencari jawapan



ARTICLES SOURCE: http://mfariz.wordpress.com


Isnin, 7 Julai 2008

ANWAR TIDAK PERLU BERSUMPAH

Anwar tidak perlu bersumpah - Mufti Perak

Mohd Rashidi Hassan
Sun | Jul 06, 08 | 7:15:16 pm MYT


KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.


Dato' Seri Harussani membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.


Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.


"Kaedahnya dalam kes ini, ialah 'orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti' dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.


Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."


Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.


Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.


"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.


Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li'an.


"Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li'an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak," tegasnya ketika dihubungi.


Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.


"Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan," tegas beliau._



ARTICLES SOURCE: http://www.harakahdaily.net/




ANWAR SEDIA BERSUMPAH

Anwar sedia bersumpah tetapi bersyarat

PETALING JAYA 6 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia bersumpah bagi membersihkan dirinya daripada tuduhan liwat dengan syarat ia dibuat di bawah bimbingan ulama-ulama yang berwibawa dari dalam dan luar negara.


Walaupun beliau bersedia bersumpah, dari segi pendirian beliau tetap berpegang pada pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bahawa beliau tidak perlu berbuat demikian.


Menurut Anwar, sejak dahulu beliau memang bersetuju untuk membersihkan namanya menggunakan cara syariah jika kerajaan membenarkan beliau berbuat demikian.


Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang kini berdepan dengan dakwaan liwat yang dibuat oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, mendakwa hasrat tersebut pernah diluahkannya semasa menghadapi tuduhan liwat yang pertama pada 1998.


“Saya minta dibawa ke Mahkamah Syariah pada tahun 1998, tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak.


“Malah untuk bersumpah kali ini, saya setuju untuk berbuat demikian atas nasihat ulama-ulama berwibawa dari dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya di sini malam ini.


Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangkan Anwar dan Mohd. Saiful yang mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar bermubahalah sebagai jalan penyelesaian kepada isu itu yang kini menjadi tumpuan nasional.


Anwar berkata, selain Harussani, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya dan beberapa ulama lain menegaskan beliau tidak perlu bersumpah.


Katanya, Harussani membuat penegasan beliau tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam.


“Tunggulah kenyataan Mufti Perak itu keluar nanti,” katanya.


Anwar memberitahu 15,000 orang yang menghadiri perhimpunan malam ini bahawa beliau tidak mahu bermain dengan hukum hakam agama.


“Ini bukan kenyataan politik, ini urusan syarak,” ujarya.


Dalam pada itu, Anwar turut mencabar Kabinet kerajaan untuk berdepan dengannya bagi membincangkan mengenai kaedah untuk menurunkan harga minyak secara langsung menerusi televisyen.


Anwar berkata, kedudukan beliau bukan untuk berhadapan dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek semata-mata.


Katanya, beliau boleh berdepan dengan Perdana Menteri, timbalannya dan sebahagian besar Kabinet secara serentak.


“Separuh Kabinet saya cabar berdebat dengan saya. Biar saya ajar (mereka) bagaimana hendak turunkan harga minyak,” katanya.



articles source: http://www.utusan.com.my