Memaparkan catatan dengan label KAHWIN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KAHWIN. Papar semua catatan

Sabtu, 2 Ogos 2008

BUAH PERIA BANTU RAWAT DIABETES

Buah peria bantu rawat diabetes


EKSTRAK daripada biji peria menghasilkan protein hipoglisemik.


Penyakit kencing manis atau diabetes merupakan salah satu penyakit yang semakin banyak dihidapi oleh masyarakat sekarang ekoran gaya hidup moden. Makanan segera, makanan siap dibeli di gerai atau restoran kadang-kala boleh menyumbang kepada penyakit berkaitan.


Di Malaysia saja, hampir 1.2 juta individu dikenal pasti menghidap tersebut dan menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), diabetes boleh berlaku pada mana-mana kaum di negara ini.


Diabetes jika tidak dikawal boleh menyebabkan beberapa komplikasi termasuk penyakit kardiovaskular atau jantung, kegagalan ginjal, kerosakan retina, saraf dan luka yang sukar disembuhkan.


Diabetes melitus terbahagi kepada dua kategori, jenis 1 yang biasanya pada kanak-kanak atau remaja dan jenis 2 biasanya berlaku pada usia lebih 30 tahun disebabkan penyakit.

Ketidakupayaan badan menghasilkan insulin (hormon yang menseimbangkan paras gula dalam darah) merupakan penyebab terbesar diabetes dan pesakit biasanya dirawat dengan suntikan insulin.


Bioteknologi dalam penjagaan kesihatan telah digunakan bagi mengekstrak protein daripada biji buah peria yang hampir sama dengan insulin yang dinamakan Polypeptide-K yang efektif terhadap diabetes.


Penemuan berkenaan dihasilkan oleh seorang saintis terkemuka dari India, Lady Prof Dr. Pushpa Khanna selepas beliau bersara.

Prihatin terhadap ramai pesakit diabetes, Khanna yang tidak boleh duduk diam di rumah tetapi terus ‘mencari’ apa yang boleh dilakukan untuk membantu.


“Pada suatu malam saya terfikir, sejak zaman-berzaman nenek moyang kita telah menggunakan peria untuk mengawal diabetes.


“Apa salahnya untuk saya mencari apakah bahan aktif di dalamnya yang dapat membantu,” katanya semasa ditemui selepas majlis perasmian Diabegard di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Biarpun bergelar pesara tetapi keinginannya untuk menjalankan kajian tidak pernah pudar sejak 30 tahun mengabdikan diri dalam penyelidikan.


Menyedari rasa peria yang pahit dan tidak ramai menggemarinya beliau mula mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya.

Menjalankan kajian di rumah, beliau berjaya menghasilkan ekstrak daripada biji buah peria yang biasanya dibuang saja.


Beliau berkata, objektif proses pengekstrakan adalah untuk mengasingkan protein daripada biji buah peria.


“Hasil akhir merupakan protein hipoglisemik yang dinamakan polypeptide-K. Proses berkenaan menghasilkan komposisi hipoglisemik tulen yang amat berkesan bagi rawatan diabetes melitus,” katanya.

Setelah menjalankan kajian demi kajian saintis wanita yang dilahirkan pada 3 Disember 1928 ini mula meletakkan hasil kajiannya di Internet.


Melihat kepada kejayaan beliau, bukan saja menarik perhatian saintis di peringkat antarabangsa tetapi kajian ekstrak peria itu juga telah dianugerah Dame of Justice oleh Sovereign Order of the Khights of Justice di London.


Teknologi pengekstrakan pengasingan protein Khanna telah didaftarkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan dipatenkan di 93 buah negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia.

Di negara ini, sebuah syarikat bioteknologi yang beroperasi di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. menyediakan program perintis bagi proses mengasingkan protein hipoglisemik (polypeptide-k) daripada biji kering buah peria dalam penjagaan kesihatan herba dan perubatan tradisional.


Syarikat berkenaan telah menandatangani perjanjian persefahaman bagi pemindahan teknologi dengan Khanna bagi proses pengasingan protein daripada biji kering buah peria.

Khanna berkata, polypeptide-k mempunyai turutan yang hampir sama dengan insulin lembu dan manusia.


“Ini amat berguna untuk rawatan diabetes melitus.

“Protein berkenaan boleh diambil secara oral menerusi sub-lingual route iaitu diletakkan di bawah lidah,” katanya.


Sebelum ini tidak terdapat laporan pengekstrakan insulin daripada sumber tumbuhan secara komersial.


Selain itu produk hilirannya proses ekstrak juga telah dipatenkan iaitu minyak yang berguna sebagai ubat luka, gangrene dan artritis.


Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. telah membeli biji kering buah peria dari India bagi tujuan pemprosesan pengasingan protein.


Kini Magna Mission Sdn. Bhd. menggalakkan petani tempatan dan badan-badan kerajaan seperti FAMA, FELDA, FELCRA dan MARDI untuk menjalankan kajian bagi penanaman peria bagi biji yang digunakan bagi ektrak polypeptide-k.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: JIKALAU ANDA TAHU TENTANG APA2 RAWATAN DIADETES ATAU CARA2 MENCEGAHNYA BOLEH BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL NAZA_KKM@YAHOO.COM......TQ

Rabu, 30 Julai 2008

BIDA KENDERAAN SECARA ONLINE

Bida kenderaan kastam secara online



PETALING JAYA 29 Julai - Orang ramai kini boleh membida pelbagai kenderaan yang dilucut hak oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) secara dalam talian melalui sistem e-VT yang diperkenalkan hari ini.


Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahman Hamid berkata, sistem berkenaan mampu menghalang pengguna daripada tertipu oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan menjual borang tender atau menyamar ejen KDRM.


''Borang pembidaan boleh dimuat turun secara percuma di laman web http://customskl.gov.my untuk diisi dan dicetak oleh pihak yang berminat.

''Borang berkenaan kemudiannya perlu dihantar bersama deposit bidaan iaitu 10 peratus daripada harga bidaan atau RM10,000, yang mana lebih rendah ke pejabat KDRM yang berdekatan,'' katanya.


Abdul Rahman berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Pengarah Kastam Se-Malaysia Kali ke-59 di Kompleks KDRM Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya di sini hari ini.

Jelasnya, bidaan yang dihantar akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk diproses dan pemohon boleh memeriksa status bidaannya secara dalam talian.


''Jika tidak berjaya pemohon boleh mendapatkan balik wang deposit,'' kata beliau.

Tambah Abdul Rahman, melalui bidaan secara dalam talian, pihak yang berminat tidak perlu datang sendiri ke pejabat KDRM untuk meninjau kenderaan yang ingin dibida.

''Orang ramai bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat dan butiran mengenai kenderaan tetapi melihat gambar kenderaan yang dibida dari setiap sudut termasuklah bahagian dalam dan enjin kenderaan berkenaan.


''Bagaimanapun, bidaan berkenaan hanya terbuka kepada orang awam dan bukannya untuk warga KDRM,'' jelas beliau.

Kata Abdul Rahman, setiap pemohon layak membida sehingga dua buah kenderaan.


Sebagai permulaan, tambah beliau, Tender Bersepadu Bilangan 1/2008 yang dibuka sekarang menawarkan lebih 150 unit kenderaan termasuk Porsche, Jaguar, lori dan motosikal.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my

KOPI "VIAGRA"

Kopi 'viagra' mudarat, bukan penguat

Oleh Sazarina Shahrim

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan banyak pengusaha restoran menyediakan kopi 'viagra' mengandungi campuran bahan kimia tadalafil dan sildenafil yang boleh memudaratkan kesihatan.



Pengarah Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Che Mohd ZinChe Awang, berkata kira-kira sembilan jenis kopi mengandungi bahan kimia yang diharamkan itu, dirampas hasil aduan orang ramai dan intipan pegawainya.


Minuman itu termasuk Kopi Pahlawan, Coffee Hari2-mau Power X2, Kopi Tenaga Tok Lebai Plus, Jamu Tenaga Lelaki dan Bio Trim BTB yang mengandungi sildenafil, manakala Serbuk Tai Guo Fen Nu Yang, Serbuk Xinggannulang dan Serbuk Saoguafu pula mengandungi kedua-dua bahan kimia itu.


Che Mohd Zin yang ditemui Berita Harian semalam, berkata kopi yang didakwa menguatkan tenaga batin lelaki itu, boleh memberi kesan sampingan termasuk menyebabkan kematian.

"Kandungan racun ini memang sedikit tetapi sekiranya diminum setiap hari, ia memudaratkan kesihatan," katanya.


Beliau berkata, kementerian juga mengesan gula-gula jenama MenTalk mengandungi taladafil.


ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my/


Sabtu, 26 Julai 2008

PEMBULI CYBER

TIPS MENGATASI PEMBULI CYBER




Apa itu pembulian siber (cyberbullying)?


Pembulian siber merujuk kepada cara yang digunakan untuk melakukan gangguan ataupun pembulian kepada seseorang individu menggunakan teknologi. Pada zaman sekarang, pembuli siber tidak terhad kepada metod fizikal, surat dan telefon lagi, bahkan telah menggunakan kemudahan alat-alat elektronik yang canggih seperti email, mesej-pantas, laman web, gambar digital, telefon bimbit, dan lain-lain lagi untuk tujuan kurang baiknya.


Cara membuli menggunakan siber adalah seperti ugutan, penyebaran perkara memalukan, dan juga ’stalking’ kepada si mangsa. Cara yang digunakan sekarang adalah amat popular kerana dengan penyebaran di internet, perkara memalukan tersebut akan tersebar dengan lebih meluas, cepat dan amat berkesan.


Bagaimana anda boleh mengelakkan diri anda menjadi mangsa?

1. Hati-hati ketika memberikan maklumat peribadi diri. Caranya adalah dengan menghadkan maklumat peribadi tersebut kepada orang tertentu sahaja. Dengan ini maklumat akan terjaga, dan dapat sebarang kebocoran dapat dikesan dengan pantas.


2. Elakkan daripada meng’hangat’kan situasi. Jika anda menjadi mangsa ‘buli’ internet, bergantung kepada situasi juga, anda dinasihatkan mengambilkira opsyen ‘berdiam diri’. Kadangkala jika anda memberikan respon kepada si pengugut, atau pembuli, mereka akan lebih teruja untuk meneruskan hasrat tersebut.


3. Dokumenkan aktiviti internet anda. Jika boleh, anda rekodkan semua aktiviti online anda termasuk masa dan tarikh. walau bagaimanapun, jika anda kaki internet, perkara begini susah dilakukan.


4. Laporkan pembulian siber kepada pihak yang berkenaan. Anda boleh melaporkan pembulian siber ke pihak yang berkenaan, sama ada bos anda (jika berkenaan syarikat) ataupun pihak berkuasa seperti polis. Selain itu, aktiviti serangan siber boleh juga dilaporkan kepada MyCert Malaysia di sini.


5. Lakukan ‘pencarian’ diri anda sendiri di internet. Laman web seperti Google kadangkala akan mengindeks nama anda dan juga data-data peribadi anda dalam enjin cariannya. Selain itu, dengan timbulnya banyak portal, dan laman web sosial seperti friendster, myspace, dan lain-lain lagi menjadikan diri anda begitu terdedah kepada sebarang serangan.


Melainkan anda ada tujuan tertentu untuk mem’promosi’kan diri, anda boleh bersedia mengambil risiko mengabaikan beberapa perkara tersebut. Selamat melayari internet.





ARTICLES SOURCE: http://www.mywindowsxp.info

Ahad, 20 Julai 2008

KAHWIN

Kahwin Untuk Apa?

Koleksi ANIS/ Temubual: Zakaria Sungib


Sesetengah wanita hari ini yang tidak dapat merasakan ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah semacam takut untuk berkahwin. Kurang yakin berkahwin itu syok, membahagiakan dan dapat beri ketenangan. Lalu hati kecilnya bertanya, “Kahwin untuk apa?” Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz mengulas kemelut ini.


Kahwin dilihat banyak timbulkan masalah, menyebabkan ada wanita yang rela tidak berkahwin.

Dalam hidup ini, kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah bersabda, ‘Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.’ Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Kita jangan tengok secara negatif, kita kena tengok yang positif. Bukanlah perkahwinan itu yang menyebabkan masalah tapi cara melaksanakannya.


Sebenarnya tak kahwin itu menyebabkan tidak tenang. Kalau Allah (SWT) kata dengan berkahwin dapat ketenangan, Allah (SWT) akan beri. Apa yang wanita selalu takut bila hendak kahwin? Takut risiko tidak dapat suami yang baik. Sebenarnya itu risiko kedua. Risiko pertama, celik mata saja kita tidak dapat berhubung, tidak dapat mengingati Allah (SWT).


Bila kita berhubung dengan Allah (SWT) sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah (SWT). Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah (SWT) akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah (SWT), syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.


Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah (SWT) datangkan istidraj… kadang-kadang Allah (SWT) beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan. Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah (SWT). Ini formula yang tak boleh dilanggar.


Ada wanita yang belum kahwin-kahwin sebab “Belum ada jodoh” atau “Susah nak cari calon, maklumlah kita ni orang perempuan.” Apa jalan keluarnya?

Saya kata, you pinanglah orang lelaki! Perkara ini tidak salah. Siti Khadijah dulu pun pinang Rasulullah. Buatlah dengan cara yang betul, seperti melalui orang ketiga. Soalnya, macam mana usaha yang dibuat untuk dapat jodoh itu?


Usaha ada dua aspek. Usaha nombor satu, hablumminallah. Kita baik dengan Allah (SWT) dulu. Kenal pasti apa yang Allah (SWT) suka. Lepas menyerahkan diri dengan Allah (SWT) iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kita dirikan solat. Solat biar yang betul-betul diterima Allah (SWT).


Betul rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbinya. Kalau hendak tahu sama ada Allah (SWT) terima atau tidak solat kita, lihat tindak-tanduk kita. Kita pun boleh rasa solat kita lalai atau tidak. Bila kita baik dengan Allah (SWT), kita minta pun dengan Allah (SWT). Allah (SWT) taala akan pandu dalam usaha kita. Allah (SWT) beri panduan. Allah (SWT) tidak akan menganiayai kita. “Sesungguhnya Allah (SWT) tidak menganiaya kamu tetapi kamulah yang menganiaya dirimu sendiri,” maksud firman Allah (SWT).


Jadi usaha mesti dengan Allah (SWT) dulu. Barulah kita boleh lakukan perubahan dalam hidup kita. Kita kena muhasabah. Kalau berlaku sesuatu pada diri kita, semak dulu macam mana diri kita dengan Allah (SWT).Dalam membuat keputusan, kita susah hendak nilai. Kita terlalu lemah. Kadang-kadang kita ikut luaran saja, sebab itu tersalah pilih pasangan.


Dalam soal ini, Allah (SWT) kata, ‘Kau perlukan Aku’. Buatlah istikharah supaya dapat calon pilihan yang terbaik, yang boleh melahirkan kehidupan dan zuriat yang baik.

Ada wanita yang rasa rendah diri dan putus asa untuk kahwin sebab pernah dianiaya. “Dulu orang buat saya, orang sihir saya,” luahnya.


Kita jangan risau sangat apa yang orang hendak kenakan pada kita. Kalau kita baik dengan Allah (SWT), Allah (SWT) tidak akan aniaya kita. Sebab itu asas tauhid sangat penting. Asas tauhid adalah asas untuk kenal siapa Allah (SWT) – Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya… segala perbendaraan berada di tangan-Nya.


Maknanya, segala jodoh yang baik ada di tangan Allah (SWT). Allah (SWT) juga maha pemurah. Jadi kalau kita ‘kawan’ baik dengan Allah (SWT), apa yang kita hendak bimbangkan? Sebab Yang Paling Kuat ada di sisi kita. Kita tak perlu takut dan bimbang. Mintalah supaya Allah (SWT) pandu kita. Allah (SWT) hanya akan memandu orang yang beriman.


Bila hendak pilih jodoh, kita perlu merisik. Apa yang hendak dirisik?

Perkara pertama untuk kenal calon pasangan, selidik solatnya. Macam mana solatnya. Kemudian risik sama ada mengaji Quran atau tidak, dan lain-lain perkara asas.

Bagaimana kalau dia jaga solat tapi akhlaknya kurang atau dia buat perkara-perkara yang tak sepatutnya?

Saya pernah ditanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO. Mereka buat kajian masalah keluarga di dalam masyarakat. Dia tanya, ‘Doktor rasa apa punca timbulnya masalah keluarga ini?’ Kata saya, ‘Senang saja. Puncanya mereka tidak solat.’ Dia terperanjat kerana berdasarkan kajiannya, 50 peratus dari keluarga yang terlibat adalah orang yang tahu agama. Orang yang solat.


Ini bukan saya yang cakap tapi Rasulullah yang kata: Siapa yang solat yang solatnya tidak dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sesungguhnya dia tidak solat. Atau dalam hadis lain disebut, sesungguhnya dia bukan semakin hampir dengan Allah (SWT) tapi bertambah jauh dari-Nya.


Jadi konsep solat adalah ‘mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’. Kita berikrar pada Allah (SWT) lima kali sehari bahawa ‘hidupku, matiku… hanya untuk Allah (SWT)’ tapi bila keluar dari solat, kita buat perkara yang tidak selari dengan ikrar kita. Sebab itu Rasulullah kata, kita sebenarnya tidak solat.


Solat sebenarnya dapat pastikan kita buat amal soleh, punca ketenangan. Jadi dalam memilih calon pasangan, pertama buat istikharah, kedua selidik. Selidik biar betul-betul, jangan sambil lewa.

Wanita bagaimana yang menjadi pilihan lelaki untuk dijadikan pasangan hidup?

Sebenarnya lelaki berkehendak kepada wanita solehah. Sebab wanita solehah inilah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. Menyejukkan pandangan mata. Untuk memilih calon isteri, manusia memang sukakan kecantikan tapi nombor satu mesti agamanya.

Agamanya itu yang akan cetuskan ketenangan. Bukan saja lawa fizikal tapi lawa juga akhlaknya. Lawa yang berkekalan adalah akhlak – itu yang menyejukkan pandangan mata dan hati. Sebab kita hendak tengok dia bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi sepanjang usia perkahwinan.


Cuba tanya pada orang yang berkahwin, kenapa kahwin?

Pernah tak orang jawab, saya kahwin kerana Allah (SWT). Orang yang kahwin kerana Allah (SWT) akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah (SWT) untuk mendapatkan pasangan.



ARTICLES SOURCE: http://nurjeehan.hadithuna.com