Rabu, 30 Julai 2008

BIDA KENDERAAN SECARA ONLINE

Bida kenderaan kastam secara online



PETALING JAYA 29 Julai - Orang ramai kini boleh membida pelbagai kenderaan yang dilucut hak oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) secara dalam talian melalui sistem e-VT yang diperkenalkan hari ini.


Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahman Hamid berkata, sistem berkenaan mampu menghalang pengguna daripada tertipu oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan menjual borang tender atau menyamar ejen KDRM.


''Borang pembidaan boleh dimuat turun secara percuma di laman web http://customskl.gov.my untuk diisi dan dicetak oleh pihak yang berminat.

''Borang berkenaan kemudiannya perlu dihantar bersama deposit bidaan iaitu 10 peratus daripada harga bidaan atau RM10,000, yang mana lebih rendah ke pejabat KDRM yang berdekatan,'' katanya.


Abdul Rahman berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Pengarah Kastam Se-Malaysia Kali ke-59 di Kompleks KDRM Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya di sini hari ini.

Jelasnya, bidaan yang dihantar akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk diproses dan pemohon boleh memeriksa status bidaannya secara dalam talian.


''Jika tidak berjaya pemohon boleh mendapatkan balik wang deposit,'' kata beliau.

Tambah Abdul Rahman, melalui bidaan secara dalam talian, pihak yang berminat tidak perlu datang sendiri ke pejabat KDRM untuk meninjau kenderaan yang ingin dibida.

''Orang ramai bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat dan butiran mengenai kenderaan tetapi melihat gambar kenderaan yang dibida dari setiap sudut termasuklah bahagian dalam dan enjin kenderaan berkenaan.


''Bagaimanapun, bidaan berkenaan hanya terbuka kepada orang awam dan bukannya untuk warga KDRM,'' jelas beliau.

Kata Abdul Rahman, setiap pemohon layak membida sehingga dua buah kenderaan.


Sebagai permulaan, tambah beliau, Tender Bersepadu Bilangan 1/2008 yang dibuka sekarang menawarkan lebih 150 unit kenderaan termasuk Porsche, Jaguar, lori dan motosikal.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan