Selasa, 8 Julai 2008

TIDUR MENGINGATKAN MATI

Tidur mengingatkan mati
Oleh Hashim bin Ahmad
rencana@hmetro.com.my


APABILA membuka mata dari tidur setiap pagi, bacalah doa kesyukuran kerana usia kita dipanjangkan Allah, terselamat daripada kelalaian dan kelemahan tidur.

Tidur adalah kemestian bagi manusia. Memang pelik dan ganjil jika ada manusia berkata mereka tidak pernah tidur sepanjang hidupnya.

Manusia bukannya enjin, ia perlukan rehat. Enjin pun bekerja jika ada minyak atau elektrik, itupun enjin tidak kekal lama jika digerakkan tanpa henti.

Walaupun manusia mendapat makanan dan minuman mencukupi, mereka akan penat jika bekerja tanpa rehat. Justeru, cara terbaik ialah berehat atau tidur untuk me mulihkan tenaga.

Selain itu, kita hendaklah insaf pintu taubat masih terbuka. Dan, ketahuilah tidur itu adalah pelajaran bagi yang hidup merasai setengah kematian. Melalui tidur, Tuhan mengajar kita mengingati kematian.

Melalui tidur, Tuhan mengajar kita hikmah mimpi. Dan, adab tidur juga Tuhan tunjukkan kita melalui Nabi. Betapa syumulnya Islam, membimbing hal yang kecil hingga perkara yang besar.

Berwuduklah sebelum tidur kerana Allah akan memelihara roh kita di sisi-Nya. Tetapi, jika tidur tanpa wuduk, Tuhan tidak akan memandang kita dan membiarkan jin dan syaitan mengganggu kita. Itulah kita sering dibuai mimpi kosong yang tidak berfaedah.

Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat kerana ia satu cara wahyu diturunkan. Mimpi yang benar adalah mimpi diberkati Tuhan.

Tidurlah apabila rasa mengantuk. Dengan tidur, anggota tubuh akan mendapat kerehatan dan tenaga akan pulih kembali. Usahlah tidur berlebih-lebihan kerana perbuatan itu akan mengakibatkan badan menjadi letih dan lesu. Akal fikiran akan menjadi lemah.

Jangan pula tidak tidur berpanjangan kerana dengan berbuat demikian kewarasan fikiran akan hilang. Tidurlah sekadar sebagaimana disyorkan Islam, ditunjukkan oleh Nabi s.a.w iaitu tidur sebelum Zuhur.

Gunakanlah masa pada siang hari untuk menguruskan pentadbiran dunia. Tidurlah sedikit pada waktu malam dan bangun memperhambakan diri dari tengah malam hingga ke pagi. Inilah contoh tidur yang ideal dan amalan manu sia-hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

Jauhkan diri kita daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Hindarkan diri daripada tidur terlalu lama supaya tidak dikencing syaitan. Janganlah tidur siang menjadi kemestian kerana tabiat ini akan mengeruhkan wajah dan rezeki menjadi mahal.

Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan menelentang, kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada fitnah. Berlindunglah kepada Allah, insya-Allah diri kita akan mendapat berkat.

Ingatlah masalah tidur sering dianggap remeh dalam hidup ini tetapi pada hakiktnya ia adalah jurang yang dalam yang berupaya mengakibatkan diri kita hidup tak terancang, hilang matlamat dan hilang punca.

Syaitan bersumpah dengan tiga perkara. Selagi makhluk Allah yang bernama manusia melakukannya, selagi itulah pintu kesesatan terbuka luas dan mudah bagi mereka mem perdayakannya. Tiga perkara itu ialah:

i. keinginan untuk makan

ii. keinginan terhadap perempuan

iii. keinginan untuk tidur

Selama mana ketiga-tiga keinginan ini terus subur dalam diri manusia, selagi itulah tidak ada kegagalan untuk syaitan menyesatkan manusia.










ARTICLES SOURCE: http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan