Sabtu, 2 Ogos 2008

BUAH PERIA BANTU RAWAT DIABETES

Buah peria bantu rawat diabetes


EKSTRAK daripada biji peria menghasilkan protein hipoglisemik.


Penyakit kencing manis atau diabetes merupakan salah satu penyakit yang semakin banyak dihidapi oleh masyarakat sekarang ekoran gaya hidup moden. Makanan segera, makanan siap dibeli di gerai atau restoran kadang-kala boleh menyumbang kepada penyakit berkaitan.


Di Malaysia saja, hampir 1.2 juta individu dikenal pasti menghidap tersebut dan menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), diabetes boleh berlaku pada mana-mana kaum di negara ini.


Diabetes jika tidak dikawal boleh menyebabkan beberapa komplikasi termasuk penyakit kardiovaskular atau jantung, kegagalan ginjal, kerosakan retina, saraf dan luka yang sukar disembuhkan.


Diabetes melitus terbahagi kepada dua kategori, jenis 1 yang biasanya pada kanak-kanak atau remaja dan jenis 2 biasanya berlaku pada usia lebih 30 tahun disebabkan penyakit.

Ketidakupayaan badan menghasilkan insulin (hormon yang menseimbangkan paras gula dalam darah) merupakan penyebab terbesar diabetes dan pesakit biasanya dirawat dengan suntikan insulin.


Bioteknologi dalam penjagaan kesihatan telah digunakan bagi mengekstrak protein daripada biji buah peria yang hampir sama dengan insulin yang dinamakan Polypeptide-K yang efektif terhadap diabetes.


Penemuan berkenaan dihasilkan oleh seorang saintis terkemuka dari India, Lady Prof Dr. Pushpa Khanna selepas beliau bersara.

Prihatin terhadap ramai pesakit diabetes, Khanna yang tidak boleh duduk diam di rumah tetapi terus ‘mencari’ apa yang boleh dilakukan untuk membantu.


“Pada suatu malam saya terfikir, sejak zaman-berzaman nenek moyang kita telah menggunakan peria untuk mengawal diabetes.


“Apa salahnya untuk saya mencari apakah bahan aktif di dalamnya yang dapat membantu,” katanya semasa ditemui selepas majlis perasmian Diabegard di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Biarpun bergelar pesara tetapi keinginannya untuk menjalankan kajian tidak pernah pudar sejak 30 tahun mengabdikan diri dalam penyelidikan.


Menyedari rasa peria yang pahit dan tidak ramai menggemarinya beliau mula mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya.

Menjalankan kajian di rumah, beliau berjaya menghasilkan ekstrak daripada biji buah peria yang biasanya dibuang saja.


Beliau berkata, objektif proses pengekstrakan adalah untuk mengasingkan protein daripada biji buah peria.


“Hasil akhir merupakan protein hipoglisemik yang dinamakan polypeptide-K. Proses berkenaan menghasilkan komposisi hipoglisemik tulen yang amat berkesan bagi rawatan diabetes melitus,” katanya.

Setelah menjalankan kajian demi kajian saintis wanita yang dilahirkan pada 3 Disember 1928 ini mula meletakkan hasil kajiannya di Internet.


Melihat kepada kejayaan beliau, bukan saja menarik perhatian saintis di peringkat antarabangsa tetapi kajian ekstrak peria itu juga telah dianugerah Dame of Justice oleh Sovereign Order of the Khights of Justice di London.


Teknologi pengekstrakan pengasingan protein Khanna telah didaftarkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan dipatenkan di 93 buah negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia.

Di negara ini, sebuah syarikat bioteknologi yang beroperasi di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. menyediakan program perintis bagi proses mengasingkan protein hipoglisemik (polypeptide-k) daripada biji kering buah peria dalam penjagaan kesihatan herba dan perubatan tradisional.


Syarikat berkenaan telah menandatangani perjanjian persefahaman bagi pemindahan teknologi dengan Khanna bagi proses pengasingan protein daripada biji kering buah peria.

Khanna berkata, polypeptide-k mempunyai turutan yang hampir sama dengan insulin lembu dan manusia.


“Ini amat berguna untuk rawatan diabetes melitus.

“Protein berkenaan boleh diambil secara oral menerusi sub-lingual route iaitu diletakkan di bawah lidah,” katanya.


Sebelum ini tidak terdapat laporan pengekstrakan insulin daripada sumber tumbuhan secara komersial.


Selain itu produk hilirannya proses ekstrak juga telah dipatenkan iaitu minyak yang berguna sebagai ubat luka, gangrene dan artritis.


Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. telah membeli biji kering buah peria dari India bagi tujuan pemprosesan pengasingan protein.


Kini Magna Mission Sdn. Bhd. menggalakkan petani tempatan dan badan-badan kerajaan seperti FAMA, FELDA, FELCRA dan MARDI untuk menjalankan kajian bagi penanaman peria bagi biji yang digunakan bagi ektrak polypeptide-k.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: JIKALAU ANDA TAHU TENTANG APA2 RAWATAN DIADETES ATAU CARA2 MENCEGAHNYA BOLEH BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL NAZA_KKM@YAHOO.COM......TQ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan