Ahad, 10 Ogos 2008

JOJOLAN KORNEA

Jojolan kornea



Keratoconus yang bermaksud kornea berbentuk kon, menggambarkan keadaan kornea yang menipis dan terjojol keluar. Bentuk abnormal ini mendatangkan gangguan penglihatan yang serius.


PEMBEDAHAN perlu dilakukan bagi menggantikan kornea yang rosak, dan pada masa yang sama lengkungan luar biasa kornea boleh dinipiskan.


KESUKARAN membaca yang dihadapi Vekineswaree Jayakumar, 18, sejak beberapa tahun lalu yang dianggapnya rabun biasa rupa-rupanya tidak terhenti di situ.

Beberapa pertemuan dengan pakar mata akhirnya menemui jawapan bagi masalah penglihatan yang dihadapinya malah hampir kebanyakan remaja India lain.


Keratoconus yang bermaksud kornea bentuk kon, menggambarkan keadaan kornea menjadi nipis dan terjojol keluar. Bentuk abnormal ini boleh mendatangkan gangguan penglihatan yang serius.




Penyakit ini berlaku seiring dengan peningkatan usia remaja ke dewasa. Pesakit keratoconus akan mengalami kemerosotan penglihatan berperingkat yang boleh menyebabkan buta sekiranya tidak dikesan dari awal.

"Pada peringkat awal, penglihatan pesakit masih boleh dibetulkan sehingga 20/20 dengan penggunaan kaca mata," ujar Pakar Mata Hospital Mata Tun Hussien Onn, Dr. P. Sarawathi.

Diagnosis terhadap ukuran atau topografi kornea akan dilakukan bagi mengetahui tahap tinggi atau rendah bintik kecederaan pada bahagian tersebut.


"Perkembangan penyakit ini akhirnya akan menyebabkan penglihatan tidak dapat dibetulkan dengan kaca mata kerana kehadiran sejenis selaput di sekeliling kornea.

"Tisu di sekeliling mata akan menipis dan Vogt's Striaes mungkin terbentuk," jelasnya yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini.


TISU di sekeliling kornea yang lemah mungkin menjadi faktor kepada ketidakseimbangan enzim di dalamnya.


Dalam sesetengah kes, perkembangan itu akan menyebabkan kesakitan yang dipanggil keradangan titisan air apabila terdapat cecair yang terkena pada kawasan nipis kornea.

Jelas Sarawathi, sekurang-kurangnya satu bagi setiap 2,000 orang menghidap penyakit ini manakala kurang 10 peratus pesakit keratoconus tidak dapat diubati.

Bercerita lanjut, penyakit ini lazimnya menyerang golongan remaja dan dewasa berumur 20 tahun ke atas malah menjadi antara penyakit utama yang melibatkan mata.


"Tiada penyebab utama bagi penyakit ini, namun beberapa simptom seperti gangguan jarak penglihatan jauh serta dekat yang bermula pada sebelah mata, fotofobia dan kepedihan melampau mungkin membawa kepada penyakit tersebut," katanya.


"Satu yang menarik mengenai penyakit ini ialah ia tidak berkaitan dengan faktor genetik namun lebih kepada suatu paten terhadap pembentukan kornea," ujarnya.




Namun beberapa kajian yang dilakukan mendapati tisu di sekeliling kornea yang lemah mungkin menjadi faktor kepada ketidakseimbangan enzim di dalam kornea tersebut.

Ketidakseimbangan ini membuatkan kornea lebih berisiko untuk dijejaskan melalui proses pengoksidaan akibat unsur radikal bebas, lantas membuatkan strukturnya lemah dan membonjol ke depan.


Menyentuh mengenai rawatan, pemindahan kornea adalah pilihan terakhir setelah penggunaan kaca mata dan kanta lekap tidak membantu di samping kewujudan opaque iaitu kornea bertukar menjadi putih atau kelabu.

"Pembedahan tersebut akan menggantikan kornea yang rosak dan lengkungan luar biasa kornea tersebut dapat dinipiskan," katanya.

Tempoh pemulihan selepas pembedahan agak panjang iaitu enam bulan hingga setahun dan ia bergantung kepada kestabilan kornea yang diterima dan persekitaran.


"Komplikasi selepas pembedahan tetap muncul walaupun ia hanyalah kes terpencil seperti hilang penglihatan dan infeksi namun selain itu, ia boleh dirawat," katanya.

Bagi yang tidak serius, penggunaan kanta lekap yang ditempa khas seperti Lensa Epicon, Lensa Keratoconic Rose K, Lensa Sistem McGuire dan Lensa Keratoconus Tricurve menjadi alternatif kepada pemakaian cermin mata.


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan