Ahad, 3 Ogos 2008

PM DUKACITA

Isu Proton: PM dukacita



SHAH ALAM 2 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa dukacita dan sedih berhubung isu penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini yang dikaitkan dengan kualiti kereta nasional itu.


Perdana Menteri berkata, bukan kualiti menjadi punca masalah berkenaan, sebaliknya sikap tidak bertanggungjawab pihak yang menyenggara kenderaan tersebut.

"Saya adalah peminat Proton dan sudah tentu saya dukacita dan sedih bila dengar cerita Proton di Terengganu.


"Tapi saya diberitahu ini bukan pasal Proton tak baik, tapi yang membaiki (bengkel) tak betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pengeluaran kereta Proton ke-3,000,000 dan Minggu Teknologi Proton di sini hari ini.


Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan kos RM3.43 juta untuk Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Pendedahan media mengenai isu penggunaan kereta mewah itu telah membawa campur tangan Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang setakat ini menahan tiga pemilik bengkel kereta di Terengganu bagi membantu siasatan kes penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri berjumlah RM1.07 juta dalam tempoh empat tahun.


Kos penyenggaraan kereta nasional yang tinggi itu adalah sebab mengapa kerajaan negeri beralih kepada penggunaan Mercedes sebagai kenderaan rasmi anggota Exconya.

Isu kereta Mercedes itu turut mendorong Proton mengaudit rekod penyenggaraan semua Proton V6 Executive yang digunakan oleh kerajaan Terengganu dan Persekutuan bagi menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pusat servis bertauliahnya.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my/utusan


P/S: APA PENDAPAT ANDA TENTANG PROTON ADAKAH IANYA RELEVEN ATAU TIDAK. BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL KAT NAZA1@YMAIL.COM .... TQ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan