Memaparkan catatan dengan label SULTAN MELAKA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SULTAN MELAKA. Papar semua catatan

Sabtu, 27 September 2008

MITSUBISHI LANCER

Aura generasi ke-10




Bertindak selaku jentera sedan sport kompak, model yang dikenali dengan kod nama Evolution atau lebih dikenali sebagai Evo ini sememangnya menandakan satu evolusi kejayaan buat Mitsubishi dalam penghasilan jentera berkuasa tinggi.

Pada asalnya, model ini hanya dibina oleh pihak Mitsubishi Motors untuk pasaran domestik Jepun. Namun, ia terus mendapat sambutan hangat di United Kingdom dan negara-negara Eropah sekitar lewat tahun 1990-an. Biasanya, model-model ini dibawa masuk oleh grey importer.


Kemudian, Mitsubishi mengambil keputusan untuk mengeksport generasi kelapan Evo ke pasaran Amerika mulai tahun 2003, setelah melihat kejayaan model WRX keluaran Subaru di sana.

Jentera Evo sebelum ini dibangunkan daripada model sedan versi V yang melayakkan Mitsubishi untuk menyertai kelas Group A dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan kejohanan SCCA Pro Rally.




Bagi memenuhi peraturan yang telah ditetapkan, Evo menggunakan platform yang sama dengan model Lancer. Namun, persamaannya hanyalah dari aspek unibody, sedangkan jentera Evo jauh lebih berkuasa menerusi aplikasi enjin turbocharged bersesaran dua liter yang dipadankan dengan sistem pacuan keempat-empat roda (AWD), tahan lasak dan menerima pelbagai talaan khas.


Pengaruh model Lancer Evo ini cukup kuat, tidak terkecuali dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Bagi mereka yang sanggup berhabis sehingga ratusan ribu ringgit, mendapatkan sebuah model Evo pastinya satu 'pencapaian hidup' yang begitu membanggakan.

Namun, bagi golongan biasa yang hanya mempunyai mimpi untuk memandu sebuah Evo, jalan paling mudah dan murah ialah melakukan ubahsuai pada model Proton Wira.

Bagi membuatkan Wira itu kelihatan seperti sebuah Evo, bermacam-macam ubahsuai boleh dilakukan sehinggakan pada satu tahap, penulis tidak sanggup lagi melihatnya.

Kasihan, tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan apabila menjadi warganegara yang menerima cukai kenderaan antara tertinggi di dunia.


Menyedari minat pengguna terhadap model Evo yang tidak pernah berkurang, pengedar sah jenama itu, Mitsubishi Motors Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model terbaru edarannya, Lancer Evolution.




Tidak mahu menjadi sekadar model facelift, Lancer Evolution yang merupakan generasi ke-10 dalam keluarga Evo ini menerima platform dan enjin serba baru, selain reka bentuk lebih baik untuk bahagian dalaman serta luarannya.

Ingin memberi maklum balas kepada kehendak pasaran yang mahukan reka bentuk lebih menarik, keluasan kabin dan tahap keselamatan terbaik, model ini turut menampilkan rekaan yang membawa aspek aerodinamik ke satu tahap baru.

Dilengkapi dengan teknologi kejuruteraan automotif terkini, Lancer Evolution ini menggunakan enjin penuh kuasa dan ringan yang dikenali dengan kod 4B11.

Bersesaran dua liter, lengkap dengan sistem MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve-Timing Electronic Control), enjin blok aluminium Twin Scroll Turbocharged ini berupaya menghasilkan kuasa sehingga 291bhp atau 295 PS dan tork maksimum 366Nm.


"Dengan pengalaman dalam perlumbaan selama tiga dekad, Lancer Evolution baru ini sememangnya mewakili model utama Mitsubishi Motors, selain menjadi simbol kepada DNA Mitsubishi dalam dunia pemotoran.

"Para jurutera Mitsubishi Motors telah cuba sedaya upaya untuk menyeimbangkan reka bentuk dan fungsinya, di samping mengekalkan warisan sebuah Evolution," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Keizo Ono.


Buat pertama kalinya juga, kotak gear automatik enam kelajuan Twin Clutch SST dipasangkan pada model Lancer Evolution. Kotak gearautomated manual ini menggabungkan antara prestasi enjin dan kemudahan mengaplikasikan gear automatik.


PAPARAN meter yang ringkas dan informatif.


Ia menggunakan ciri dual klac untuk memberikan proses penukaran gear lebih lancar, tanpa perlu berkompromi terhadap tujahan kuasa dan aspek penjimatan minyak.

Kotak gear ini juga membolehkan pemandu memilih antara tiga mode kawalan iaitu normal, sport dan s-sport bagi memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza.

Jadi, 'nikmat' memandu jentera berkuasa ini bukan terhad kepada peminat tegarnya sahaja, malah teknologinya membuka peluang buat pasaran yang lebih luas.

Mitsubishi mahu menjadikan Lancer Evolution sebagai sebuah jentera yang pantas, selamat dan selesa dipandu. Justeru, model ini dipadankan dengan sistem AWD yang memperkenalkan dimensi baru antara ciri kelajuan, kawalan dan keselamatan.

Dinamik pemanduan jentera ini pula disumbang oleh sistem S-AWC (Super All Wheel Control). Sistem kawalan dinamik kenderaan termaju ini mengintegrasikan pengurusan beberapa sistem lain termasuklah ACD (Active Centre Differential), AYC (Active Yaw Control), ASC (Active Stability Control) dan Sport ABS (Sport Anti-lock Brake System) untuk memberikan kawalan yang terbaik di jalan raya.


Sebagai salah satu DNA dalam penghasilan jentera Mitsubishi Motors, para juruteranya telah mereka semula sistem suspensi buat Evo ini.

Hasilnya, sistem ini dilengkapi dengan brek-brek ventilasi berjenama Brembo, pegas gegelung Eibach bersama penyerap hentakan Bilstein dan rim aloi BBS ringan bersaiz 18 inci. Manakala roda hadapannya menggunakan sistem suspensi topang MacPherson dan suspensi jenis multi-link untuk roda belakangnya.

Penumpang tidak perlu bimbang apabila berada di dalam kabin Lancer Evolution. Ini kerana kerangkanya dibina di atas struktur RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) binaan Mitsubishi.


Sebagai perlindungan tambahan, model ini didatangkan bersama sistem tujuh beg udara SRS, selain penggunaan tali pinggang keledar ELR dengan ciri pra-regangan dan pengehad tolakan.


MODEL ini turut didatangkan dengan sunroof.


Manakala lampu HID (High Intensity Discharge) dan sistem lampu (Adaptive Front Lighting System) hadir sebagai ciri standard pada Lancer Evolution.

Bahagian kabin model ini memberi penekanan terhadap aspek ergonomik, di samping rekaan papan pemuka yang ringkas dan kemas.


Didominasi dengan warna hitam, pemandu pastinya tersenyum apabila dipeluk oleh tempat duduk kulit dari Recaro, ketika dihiburkan menerusi sistem audio premium Rockford Fosgate.

Ditawarkan pada harga RM 315,436.10 seunit (tanpa insurans), Mitsubishi Motors Malaysia meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 50 unit Lancer Evolution menjelang akhir tahun ini. Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu putih, hitam atau merah.


SOURCE:  KOSMO ONLINE


Sabtu, 20 September 2008

SUV TERBAIK

SUV terbaik

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


PAMERAN Kereta Antarabangsa Indonesia 2008 (IIMS) di Pusat Konvensyen Jakarta, baru-baru ini boleh diibaratkan 'Serampang Dua Mata' kerana selain memperkenalkan model baru, ia menyuntik semangat golongan muda menceburi dunia permotoran.

PAMERAN Kereta Antarabangsa Indonesia 2008 (IIMS) di Pusat Konvensyen Jakarta, baru-baru ini boleh diibaratkan 'Serampang Dua Mata' kerana selain memperkenalkan model baru, ia menyuntik semangat golongan muda menceburi dunia permotoran.



Program anjuran Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (Gaikindo), berjaya apabila menerima penyertaan daripada 161 pengeluar dan perusahaan automotif selain 11 model kenderaan konsep.

Daripada jumlah itu, 160 kenderaan dipamerkan untuk tontonan 206,100 pengunjung selama 10 hari.

Menurut Gaikindo, pertambahan bilangan pengunjung mungkin disebabkan 'perlumbaan' pengeluar kenderaan 'melahirkan' jentera lebih berdaya saing, mesra alam dan faktor penjimatan minyak atau tenaga bahan api alternatif menjadi agenda terpenting abad ini.


Walaupun ekspo berkenaan tidak mendapat liputan meluas media antarabangsa, Gaikindo yakin sambutan diterima pasti berbaloi.

Malah, pengeluar turut memainkan peranan apabila tidak menayangkan kenderaan sama setiap hari.

Ada pengeluar mengadakan program diskusi dan perbincangan kepada media untuk mengupas lebih dalam isu membabitkan industri automotif dan perkembangan produk.


Menariknya, bagi menjadikan jentera bermotor lebih mesra alam, Gaikindo mengadakan satu kegiatan sosial iaitu penanaman pohon sepanjang Plaza Tol Jakarta sebagai simbolik kesan buruk pemanasan global.

Gaikindo juga mengundang 60 ahli Persatuan Penyandang Cacat Indonesia (PPCI) untuk menyaksikan kemajuan teknologi automotif Indonesia secara langsung dan berharap dapat menyuntik semangat serta minat menghasilkan replika kenderaan baru.


Bagi melaksanakan impian menjadi negara automotif suatu masa nanti, Gaikindo turut menjemput lebih 1,000 pelajar sekolah untuk memperlihatkan kemajuan teknologi Indonesia dalam automotif selain memupuk wawasan supaya mampu berfikiran kreatif.


Serentak dengan itu, Gaikindo mendapat kerjasama ibu pejabat Honda Motor Company Ltd di Jepun membawa bersama robot pintar, Asimo atau singkatan daripada 'Advanced Step in Innovative Mobility'.

Asimo adalah robot humanoid tercanggih di dunia dengan ketinggian 130 sentimeter (sm) dan seberat 54 kilogram (kg).


Robot berkenaan 'dilahirkan' pada 31 Oktober 2000 daripada hasil program penyelidikan dan pembangunan robotik Honda yang ditubuhkan pada 1986.

Mengenai IIMS, beberapa model kenderaan dianugerahkan kenderaan terbaik mengikut kategori masing-masing.


Antaranya, Volkswagen Phaeton yang merangkul anugerah kategori Sedan Eksklusif, Mercedes-Benz R380L (kenderaan pelbagai guna - MPV), Audi Q7 3.0 TDI Quatro (kenderaan sport utiliti), Honda 3.5 V6 (Premium Sedan), Mitsubishi Lancer 2.0GT (Sedan Medium).

Honda All New Jazz RS (Mini MPV) Mitsubishi Grandis GT (MPV), Honda All New CRV 2.4L (SUV), Hyundai New Avega (Sedan kecil) dan Daihatsu Sirion dianugerahkan MPV mini terbaik.

Kemuncak IIMS adalah cabutan bertuah kepada tiga pengunjung berdasarkan harga tiket yang menawarkan hadiah sebuah Daihatsu Sirion, Proton Gen.2 Persona dan Toyota Yaris.



SOURCE: KOSMO ONLINE



Ahad, 7 September 2008

SULTAN MELAKA TUNTUT TAKHTA

Lama menghilang, 'Sultan
Melaka' kembali tuntut takhta


RAJA NOOR JAN menunjukkan sepasang tiara yang
didakwa milik Raja Muzzaffar Shah di pejabat Kosmo! Ahad, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun menghilangkan diri, ahli perniagaan yang mendakwa dirinya pewaris takhta Sultan Melaka semalam tampil semula dengan 'perjuangan' terbarunya.


Raja Noor Jan Shah Raja Tuah, 53, kali ini membawa dua lagi alat kebesaran yang didakwanya satu lagi bukti paling penting melayakkan dirinya sebagai waris terakhir Sultan Melaka.


Membahasakan dirinya Pak Engku, dia membawa sepasang tiara Raja Muzzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka yang dibuang ke laut pada tahun 1528 di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama Beting Beras Basah.

"Setelah hampir 480 tahun, tiba-tiba Pak Engku mendapat 'ilham' dan 'petunjuk' bahawa mahkota itu berada di Pulau Nangka, Melaka.


"Jadi, Pak Engku bersama Pawang Diraja Melaka, Datuk Setia Diraja Melaka dan seorang lagi ke kawasan tersebut pada 30 Januari 2007, tak sampai sejam, tiara itu dijumpai," katanya yang hadir ke pejabat Kosmo! Ahad di sini semalam.

Dakwa Raja Nor Jan lagi, lokasi persinggahannya di pulau itu adalah di sebuah pondok milik tokoh agama, Datuk Dr. Haron Din yang dikatakan gemar mencari artifak lama.


Kira-kira tiga tahun lalu, Raja Noor Jan Shah yang merupakan ahli perniagaan berasal dari Teluk Perang, Perak menggemparkan seluruh negara apabila mendakwa sebagai Sultan Melaka Ke-44 selepas Melaka kehilangan sultan selama 481 tahun.


Dia dilaporkan yakin gelaran itu mampu dimilikinya dengan mendakwa menyimpan keris Taming Sari milik Laksamana Hang Tuah serta tongkat Lang Buana.

Alat kebesaran lain yang turut dipertontonkan pada masa itu ialah sepasang keris Bedut seberat 1.8 kilogram yang tertera nama Ahmad bin Mahmud dalam tulisan Jawi dan persalinan lengkap yang pernah dipakai oleh Sultan Ahmad Shah, Sultan Melaka Ke-9 dari 1516 hingga 1528.

"Perjuangan saya belum selesai... dengan bukti terbaru itu, Pak Engku sarankan agar Perlembagaan Diraja mengambil berat akan hal ini dan seterusnya membawa ke Majlis Perundingan Raja-Raja," katanya.


Pak Engku yang lengkap berpakaian kot dan bertali leher serta songkok berwarna kuning dilihat menunjukkan perubahan drastik terutama dari segi penampilan dan wajahnya kerana kelihatan agak kurus dan tidak lagi bermisai.

Ditanya ke mana menghilangkan diri selama ini, katanya, dia sengaja berbuat demikian dan sibuk menguruskan perniagaan dan keluarganya.


Ditanya pula mengapa baru sekarang mahu tampil dan sekali lagi membuat tuntutan, Pak Engku sambil berseloroh berkata: "Pak Engku merasakan 'rakyat' rindukan Pak Engku."


source: http://www.kosmo.com.my