Aura generasi ke-10
Bertindak selaku jentera sedan sport kompak, model yang dikenali dengan kod nama Evolution atau lebih dikenali sebagai Evo ini sememangnya menandakan satu evolusi kejayaan buat Mitsubishi dalam penghasilan jentera berkuasa tinggi.
Pada asalnya, model ini hanya dibina oleh pihak Mitsubishi Motors untuk pasaran domestik Jepun. Namun, ia terus mendapat sambutan hangat di United Kingdom dan negara-negara Eropah sekitar lewat tahun 1990-an. Biasanya, model-model ini dibawa masuk oleh grey importer.
Kemudian, Mitsubishi mengambil keputusan untuk mengeksport generasi kelapan Evo ke pasaran Amerika mulai tahun 2003, setelah melihat kejayaan model WRX keluaran Subaru di sana.
Jentera Evo sebelum ini dibangunkan daripada model sedan versi V yang melayakkan Mitsubishi untuk menyertai kelas Group A dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan kejohanan SCCA Pro Rally.
Bagi memenuhi peraturan yang telah ditetapkan, Evo menggunakan platform yang sama dengan model Lancer. Namun, persamaannya hanyalah dari aspek unibody, sedangkan jentera Evo jauh lebih berkuasa menerusi aplikasi enjin turbocharged bersesaran dua liter yang dipadankan dengan sistem pacuan keempat-empat roda (AWD), tahan lasak dan menerima pelbagai talaan khas.
Pengaruh model Lancer Evo ini cukup kuat, tidak terkecuali dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Bagi mereka yang sanggup berhabis sehingga ratusan ribu ringgit, mendapatkan sebuah model Evo pastinya satu 'pencapaian hidup' yang begitu membanggakan.
Namun, bagi golongan biasa yang hanya mempunyai mimpi untuk memandu sebuah Evo, jalan paling mudah dan murah ialah melakukan ubahsuai pada model Proton Wira.
Bagi membuatkan Wira itu kelihatan seperti sebuah Evo, bermacam-macam ubahsuai boleh dilakukan sehinggakan pada satu tahap, penulis tidak sanggup lagi melihatnya.
Kasihan, tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan apabila menjadi warganegara yang menerima cukai kenderaan antara tertinggi di dunia.
Menyedari minat pengguna terhadap model Evo yang tidak pernah berkurang, pengedar sah jenama itu, Mitsubishi Motors Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model terbaru edarannya, Lancer Evolution.
Tidak mahu menjadi sekadar model facelift, Lancer Evolution yang merupakan generasi ke-10 dalam keluarga Evo ini menerima platform dan enjin serba baru, selain reka bentuk lebih baik untuk bahagian dalaman serta luarannya.
Ingin memberi maklum balas kepada kehendak pasaran yang mahukan reka bentuk lebih menarik, keluasan kabin dan tahap keselamatan terbaik, model ini turut menampilkan rekaan yang membawa aspek aerodinamik ke satu tahap baru.
Dilengkapi dengan teknologi kejuruteraan automotif terkini, Lancer Evolution ini menggunakan enjin penuh kuasa dan ringan yang dikenali dengan kod 4B11.
Bersesaran dua liter, lengkap dengan sistem MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve-Timing Electronic Control), enjin blok aluminium Twin Scroll Turbocharged ini berupaya menghasilkan kuasa sehingga 291bhp atau 295 PS dan tork maksimum 366Nm.
"Dengan pengalaman dalam perlumbaan selama tiga dekad, Lancer Evolution baru ini sememangnya mewakili model utama Mitsubishi Motors, selain menjadi simbol kepada DNA Mitsubishi dalam dunia pemotoran.
"Para jurutera Mitsubishi Motors telah cuba sedaya upaya untuk menyeimbangkan reka bentuk dan fungsinya, di samping mengekalkan warisan sebuah Evolution," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Keizo Ono.
Buat pertama kalinya juga, kotak gear automatik enam kelajuan Twin Clutch SST dipasangkan pada model Lancer Evolution. Kotak gearautomated manual ini menggabungkan antara prestasi enjin dan kemudahan mengaplikasikan gear automatik.
Ia menggunakan ciri dual klac untuk memberikan proses penukaran gear lebih lancar, tanpa perlu berkompromi terhadap tujahan kuasa dan aspek penjimatan minyak.
Kotak gear ini juga membolehkan pemandu memilih antara tiga mode kawalan iaitu normal, sport dan s-sport bagi memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza.
Jadi, 'nikmat' memandu jentera berkuasa ini bukan terhad kepada peminat tegarnya sahaja, malah teknologinya membuka peluang buat pasaran yang lebih luas.
Mitsubishi mahu menjadikan Lancer Evolution sebagai sebuah jentera yang pantas, selamat dan selesa dipandu. Justeru, model ini dipadankan dengan sistem AWD yang memperkenalkan dimensi baru antara ciri kelajuan, kawalan dan keselamatan.
Dinamik pemanduan jentera ini pula disumbang oleh sistem S-AWC (Super All Wheel Control). Sistem kawalan dinamik kenderaan termaju ini mengintegrasikan pengurusan beberapa sistem lain termasuklah ACD (Active Centre Differential), AYC (Active Yaw Control), ASC (Active Stability Control) dan Sport ABS (Sport Anti-lock Brake System) untuk memberikan kawalan yang terbaik di jalan raya.
Sebagai salah satu DNA dalam penghasilan jentera Mitsubishi Motors, para juruteranya telah mereka semula sistem suspensi buat Evo ini.
Hasilnya, sistem ini dilengkapi dengan brek-brek ventilasi berjenama Brembo, pegas gegelung Eibach bersama penyerap hentakan Bilstein dan rim aloi BBS ringan bersaiz 18 inci. Manakala roda hadapannya menggunakan sistem suspensi topang MacPherson dan suspensi jenis multi-link untuk roda belakangnya.
Penumpang tidak perlu bimbang apabila berada di dalam kabin Lancer Evolution. Ini kerana kerangkanya dibina di atas struktur RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) binaan Mitsubishi.
Sebagai perlindungan tambahan, model ini didatangkan bersama sistem tujuh beg udara SRS, selain penggunaan tali pinggang keledar ELR dengan ciri pra-regangan dan pengehad tolakan.
Manakala lampu HID (High Intensity Discharge) dan sistem lampu (Adaptive Front Lighting System) hadir sebagai ciri standard pada Lancer Evolution.
Bahagian kabin model ini memberi penekanan terhadap aspek ergonomik, di samping rekaan papan pemuka yang ringkas dan kemas.
Didominasi dengan warna hitam, pemandu pastinya tersenyum apabila dipeluk oleh tempat duduk kulit dari Recaro, ketika dihiburkan menerusi sistem audio premium Rockford Fosgate.
Ditawarkan pada harga RM 315,436.10 seunit (tanpa insurans), Mitsubishi Motors Malaysia meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 50 unit Lancer Evolution menjelang akhir tahun ini. Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu putih, hitam atau merah.
SOURCE: KOSMO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan