Khamis, 4 September 2008

HP PERKENAL KOMPUTER RIBA BARU

HP perkenal komputer riba baru



KUALA LUMPUR 3 Sept. - Hewlett-Packard (M) Sdn. Bhd. hari ini melancarkan siri komputer riba yang padat dengan hiburan dv4, dv5 dan dv7 HP Pavilion, kesemuanya dilengkapi perlindungan cakera keras HP ProtectSmart.


Pengurus Besar Negara bagi Kumpulan Sistem Peribadi, Danny Lee Pak Cheong berkata, perlindungan cakera keras HP ProtectSmart secara automatik menghentikan cakera keras daripada berpusing apabila ia mengesan sebarang gerakan mengejut, yang sekali gus menghalang kehilangan data.


"Produk ini sudah tersedia dalam pasaran dan kami sangat yakin terhadap semua produk kami," kata Pak Cheong kepada pemberita selepas pelancaran produk itu di sini hari ini.


Syarikat itu juga memperkenalkan tiga siri dalam barisan produk PC komputer riba Compaq Presario - CQ20, CQ40 dan CQ45, reka bentuk menarik dan bernilai tinggi dalam pelbagai saiz dan konfigurasi.

Beliau berkata, CQ20, HP yang dibangunkan di Asia bagi produk Asia (DIAFA) juga tersedia di pasaran Asia Pasifik.


CQ45 ialah sistem berkuasa yang memberi perhatian yang sama penting terhadap reka bentuk dan prestasi serta menawarkan teknologi grafik yang memperkenalkan pengalaman multimedia dan pengiraan.


CQ40 juga merupakan komputer riba yang menarik dan mampu dimiliki, untuk kegunaan semasa dalam perjalanan menggunakan teknologi tanpa wayar dan mudah alih.


Lee berkata, siri notebook HP Pavilion yang baru menawarkan pengguna pilihan peranti mikro canggih terkini (AMD), pemproses Intel dan antara muka eSATA berkelajuan tinggi untuk sokongan pemacu storan.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan