Sabtu, 13 September 2008

PEUGEOT 407

Peugeot 407 - Merentasi sejauh 250 km

Di lebuh raya, jalan kampung selorong dan sedikit berbukit, memberi peluang untuk kami menguji prestasi sebenar jentera continental mewah dan bercita rasa tinggi ini.




REPUTASINYA sebagai jentera terbaik Perancis sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Namun, nama Peugeot agak lama sepi walaupun industri permotoran negara begitu meriah kebelakangan ini.


Disumbang oleh dominasi jenama kenderaan tempatan, Jepun dan Korea, Peugeot makin sukar menemui formula untuk menamatkan zaman suram popularitinya.


Selepas perjanjian Peugeot dengan Cycle & Carriage Bintang Bhd. tamat hujung tahun lalu, Nasim Sdn. Bhd. (NSB) anak syarikat Kumpulan Naza diberi kepercayaan untuk mencari resipi baru melonjakkan kebangkitan kenderaan continental itu.


Sejak tahun 2006 lagi, Kumpulan Naza menunjukkan minat dengan jenama ini apabila mengambil keputusan untuk memasang model paling popular, Peugeot 206 pada tahun 2006. Ia diberi nama Naza Bestari.


PAPARAN meter dengan latar berwarna putih.


Kini di bawah NSB, mereka semakin agresif memasarkan kembali jenama Peugeot bermula dengan pusat 3S, Blue Box di Glenmarie, Selangor. Mengotakan janjinya memulakan program CKD model 2.0 Peugeot 407, sambutan yang diterima NSB cukup memberangsangkan.


Pada sesi pandu uji dari Blue Box ke Swiss Garden Damai Laut Resort, Lumut, Perak baru-baru ini, sekumpulan wartawan diberi peluang merasai sendiri memandu Peugeot 407 sambil merentasi perjalanan sejauh lebih 250 kilometer.

Kombinasi lebuh raya, jalan kampung selorong dan sedikit berbukit, memberi peluang untuk kami menguji prestasi sebenar jentera ini. Secara keseluruhan rekaan luar Peugeot sedan segmen D ini menyatukan bentuk condong rendah ke bawah di bahagian depan dengan lengkung di bahagian belakang. Sederhana tapi estetik.

Tidak kurang ketara, tentunya gril radiator yang agak besar dan turut diselitkan bersama krom di bahagian depannya. Penggunaan lampu xenon memberi visual yang lebih baik kepada pemandu berbanding lampu halogen.


Lampu bawah akan menyala secara automatik sekiranya sensor mengesan pencahayaan yang kurang baik. Tidak mahu ketinggalan dengan teknologi BMW serta Mercedez, Peugeot 407 juga dibekalkan dengan penyembur mencuci lampu depan. Model ini juga dipadankan dengan rim bersaiz 17 inci.


ENJIN bersesaran dua liter ini cukup berkuasa dan tidak mengecewakan.


Menjengah masuk ke ruang kabinnya, ergonomik mungkin perkataan terbaik untuk diberikan kepada Peugeot 407.


Papan pemuka berlatar hitam dengan kombinasi warna metalik, butang-butang sistem audio dan skrin GPS yang besar adalah daya tarikan yang memukau visual mata.

Butang-butang sistem audio dan penghawa dingin yang agak banyak sememangnya sedikit mengelirukan.


Namun, anda akan terpegun dengan teknologi yang ada pada Peugeot 407.

Antara yang ketara tentunya dua butang sistem pendingin hawa - satu untuk pemandu manakala satu lagi untuk penumpang di sebelah. Ini bermakna anda boleh menyelaraskan suhu berbeza untuk pemandu dan penumpang.

Walaupun sebagai mobil sedan, Peugeot 407 juga menyediakan ventilasi penghawa dingin untuk penumpang belakang. Skrin GPS tujuh resolusi jentera ini, bukan sahaja berfungsi sebagai skrin navigasi bahkan untuk menonton video cakera padat, memainkan MP3, melihat foto dan memo melalui sentuhan pada skrin.


Jika kerangka luarnya penuh sporty, sistem audio pada Peugeot 407 juga menyokong statusnya sebuah sporty sejati. Dilengkapi dengan 10 buah speaker, subwoofer dan 240 watt amplifier, apa lagi yang boleh dipertikaikan.

Papan meter Peugeot 407 juga nampak kemas dengan warna latar belakang putih. Tetapi tunggu sehingga malam apabila lampu dinyalakan pantulan cahaya jingga berkolaborasi dengan latar putih tersebut kelihatan begitu stailo.


SKRIN tujuh resolusi GPS membantu navigasi pemanduan.


Tempat duduk kulit kenderaan ini juga menyerlahkan ciri sporty dan maskulin. Dengan enam pelaras elektrik pada kerusi itu, keselesaan adalah ciri utama Peugeot 407. Kereta ini juga menawarkan beberapa ruang penyimpanan dalam kabin.


Enjin petrol 16 injap DOHC dengan sistem VVT (variable valve timing) berkapasiti 1997 cc menjadi nadi Peugeot 407. Dipadankan dengan transmisi empat kelajuan automatik lengkap bersama sistem Speed Sequential Automatic Porsche Tiptronic enjin ini mampu menjana kuasa sehingga 140 kuasa kuda@6,000 rpm dan tork puncak 200 Nm@4,000 rpm.

Tidak dinafikan dengan akselerasi 0 ke 100 km/h dalam masa 10.5 saat menjadikan Peugeot 407 sangat selesa ketika dipandu di lebuh raya. Pecutan sehingga 160 km/j juga begitu lancar tanpa sebarang kesan ketara.


Apatah lagi dengan sistem Tiptronic Porsche, berdepan dengan situasi lalu lintas sesak atau 'henti dan jalan' bukanlah masalah kepada Peugeot 407.

Tetapi ada yang meluahkan sedikit dukacita apabila Peugeot dipasangkan dengan transmisi empat kelajuan sahaja. Dengan transmisi lima atau enam kelajuan Peugeot 407 tentunya lebih hebat.

Bagaimanapun, salah satu ciri penting yang tidak pernah dikompromi oleh jentera ini ialah keselamatan. Hadir dengan tujuh beg udara maka tidak hairanlah Peugeot 407 menerima rating lima bintang dalam ujian pelanggaran EuroNCAP.

Anugerah itu diterima Peugeot 407 kerana dilengkapi dengan sistem brek terbaik dengan ABS dan Electronic Brake Distributor (EBD), Emergency Brake Assist (EBA), Electronic Stability Program (ESP), Dynamic Stability Control dan brek ventilasi untuk roda hadapannya.


BEGITU seronok menyusuri jalan bandar kecil dengan Peugeot 407.


Menyasarkan kepada golongan pengurus dan ke atas, kelompok usahawan serta jualan korporat, sedan Peugeot 407 tentunya tidak mengecewakan.

Jentera dengan teknologi hebat pada harga RM133,888 seunit bagi model premium (dengan GPS dan kerusi kulit) dan RM125,888 seunit versi standard, ramai yang mengakui harganya lebih daripada berpatutan.


Jika anda menginginkan sebuah sedan dengan akselerasi penuh kuasa dan pengendalian semi sport, anda seharusnya memilih jentera Jerman.

Jika anda lebih mementingkan harganya, alihkan perhatian kepada jentera Jepun.

Tetapi jika anda inginkan sebuah continental mewah, selesa dan ciri keselamatan dengan cita rasa tinggi, Peugeot 407 wajar menjadi pertimbangan.


SOURCE: KOSMO ONLINE

1 ulasan: