Khamis, 8 Januari 2009

Tanda-Tanda Kematian

Tanda-Tanda Kematian  


100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya
akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya.
Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma
samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku
lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut
sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan
mengigil.

Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika

diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut
seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar
dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka
getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan
kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau
mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal
kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang
munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah
peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk
mempersiapkan diri dengan amalan dan
urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.


40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita
akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka
malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat
persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti
kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan
memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka
yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk
mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan
dicabutnya.


7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-
tiba
ianya berselera untuk makan.

3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita
iaitu
diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah
kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis
dan ini
akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika
ini
juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang
sakit
hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita
melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang
terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu
denyutan
di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita
tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk
di
bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan
naik ke
bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah
syahadah
dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk
menjemput
kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan
sekarang
akan mematikan pula.


source: www.mail-archive.com

Sabtu, 27 Disember 2008

LELAKI

Lelaki, makanlah banyak sayur

Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Adakah ini petanda masanya sudah tiba untuk mereka mengubah tabiat pemakanan?




LELAKI dan wanita sememangnya berbeza. Bukan sahaja dari segi gender, penampilan, perilaku dan reaksi malah, juga dari aspek pemakanan.

Satu kajian baru yang melibatkan lebih 14,000 peserta dari 10 negeri di Amerika mendapati, pengambilan makanan berdaging adalah lebih tinggi di kalangan lelaki.

Kaji selidik yang berlangsung menerusi panggilan telefon ini turut mendedahkan wanita mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka.

Piza beku, burger beku dan makanan-makanan Mexico adalah antara makanan pilihan kaum lelaki. Pun begitu, mereka masih cenderung mengambil sayuran seperti asparagus, brussel, kacang pea, kacang tanah dan pucuk-pucuk sayur.

Selain itu, lelaki juga lebih gemar mengambil makanan stik yang tidak masak sepenuhnya, burger dan makanan bertelur. Makanan-makanan ini biasanya mempunyai risiko pencemaran yang tinggi dan berpotensi membuatkan anda jatuh sakit.

Wanita sebaliknya lebih kerap mengambil tunas-tunas alfalfa mentah yang pernah dikaitkan dengan keracunan makanan kira-kira 15 tahun lalu.

Keprihatinan kaum wanita terhadap kesihatan dengan mengambil makanan yang menyihatkan turut dibuktikan dalam satu kajian baru oleh Yayasan Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC).

Pengambilan makanan sihat bukan hanya untuk mengekalkan tahap kesihatan secara menyeluruh malah bagi memperbaiki rasa kenyang dan keadaan sistem pencernaan mereka.

Menurut Pengarah Kesihatan dan Nutrisi Yayasan IFIC, Wendy Reinhardt Kapsak: "Tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita tentang pandangan terhadap jenis makanan yang diambil. Memang jelas mereka mempunyai tahap keutamaan dan keadaan berbeza yang mempengaruhi tabiat pemakanan dan nutrisi mereka."

Keperluan nutrisi wanita adalah lebih unik dan bukan sahaja berbeza daripada lelaki. Tambahan pula, keadaan ini juga berubah sepanjang kehidupan mereka.

Bermula dari zaman remaja, wanita lebih memberi tumpuan kepada makanan yang kaya dengan kalsium, vitamin D dan menyediakan satu pemahaman asas terhadap pengamalan tabiat yang baik.

Ini kemudiannya berterusan kepada pengambilan antioksida pada usia 20-an dan 30-an sebelum menjadikan kesihatan jantung satu keutamaan sebelum mencecah 40 tahun ke atas.


LELAKI lebih gemar mengambil makanan yang terdedah kepada risiko pencemaran tinggi seperti stik separuh masak dan burger.


Dalam pada itu, seorang pakar diet bertauliah, Dr. Chris Mohr yang telah mengarang ratusan artikel mengenai tahap kecergasan dan nutrisi kaum lelaki berkata: "Saban kali dalam sesuatu masyarakat, kita sering terlebih makan tetapi masih tidak memperoleh nutrisi mencukupi."

"Pengambilan nutrien yang betul sememangnya boleh memberi kesan kepada perasaan, tahap tenaga dan mengurangkan risiko mendapat penyakit sepanjang hidup anda. Berikan perhatian kepada sayuran dan buah-buahan termasuk makanan tinggi serat dan lemak omega-3 adalah penting untuk mengoptimumkan kesihatan dan kecergasan anda."

Sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai nutrien yang penting untuk badan. Vitamin, mineral, serat dan fitokimia yang mampu membantu mengurangkan risiko pelbagai kanser, penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Jadi, mengapa lelaki memerlukan hidangan sayuran dan buah-buahan yang lebih banyak berbanding golongan Hawa?

* Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Malah, lelaki juga mencatatkan kadar kematian lebih tinggi untuk sesetengah jenis penyakit berbanding wanita.

* Lelaki adalah dua kali ganda lebih cenderung mendapat kanser paru-paru, satu kali ganda memperoleh penyakit jantung dan kanser kolorektal.

Oleh itu, biarpun sebab utama lelaki lebih cenderung memakan asparagus berbanding wanita belum dapat dijelaskan, sekurang-kurangnya kajian ini membawa satu mesej penting. Lelaki mungkin perlu mengubah gaya pemakanan mereka mulai hari ini.

Maklumat lanjut, layari laman web www.medicalnewstoday.com


SOURCE:  KOSMO ONLINE

Rabu, 26 November 2008

Ujian HIV selepas kahwin

Ujian HIV selepas kahwin


PASANGAN pengantin disarankan menjalani ujian HIV - Gambar hiasan


SETIAP pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga hanya bersandarkan kepada kekukuhan cinta dan perjanjian untuk setia sehingga ke akhir hayat. Selain berbincang mengenai persiapan perkahwinan, mereka juga menghadiri kursus perkahwinan.

Namun begitu, di sebalik rasa teruja untuk berkahwin, masih ramai pasangan mengambil sikap sambil lewa untuk menjalani pemeriksaan ujian darah HIV. Barangkali mereka beranggapan pasangan masing-masing sentiasa sihat.

Presiden Majlis Aids Malaysia, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, golongan dewasa yang aktif melakukan hubungan seks mesti mengetahui status kesihatan diri masing-masing pada setiap masa. Katanya, jangan disebabkan kerana mahu mendirikan rumah tangga maka barulah mereka tergesa-gesa melakukan pemeriksaan doktor.

"Setiap orang perlu memahami dan menyedari bahawa kehadiran virus HIV memerlukan ujian pada peringkat awal. Ini kerana langkah berjaga-jaga dan rawatan dapat dilakukan bagi mengurangkan kemungkinan pasangan dijangkiti.


ADEEBA KAMARULZAMAN


Menurutnya, bagi memastikan kewujudan virus HIV, satu ujian darah boleh dijalankan iaitu ujian antibodi HIV contohnya HIV ELISA, EIA, Aglutinasi Partikel. Ujian-ujian ini boleh dilakukan di semua klinik dan hospital kerajaan atau swasta.

"Ujian HIV dapat mengenal pasti kewujudan virus dalam darah, seawal dua minggu selepas jangkitan, tetapi tubuh mungkin mengambil masa enam bulan untuk mengeluarkan antibodi secukupnya. Purata masa yang diambil ialah 25 hari.

"Pemeriksaan ini wajib dilakukan oleh setiap pasangan yang mahu berkahwin kerana ia sangat relevan. Malah, pihak berkuasa sendiri mendapati kadar jangkitan dalam kalangan wanita semakin bertambah. Justeru, inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan tersebut," katanya kepada Kosmo!.

Beliau menambah: "Tetapi, masih terselit keburukannya dalam mewajibkan ujian HIV kerana ia bukanlah satu cara yang efektif untuk jangka panjang. Alasannya, pemeriksaan sebelum berkahwin tidak dapat menjamin risiko jangkitan HIV, selagi wujud mereka yang melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan mereka dijangkiti HIV/AIDS.

"Pemeriksaan HIV juga perlu dilakukan selepas berkahwin," jelas Ketua Penyakit Berjangkit, Bahagian Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya itu.

Menurut Dr. Adeeba, sekiranya terdapat pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan, walaupun salah seorang daripada mereka disahkan menghidapi HIV, mereka dibenarkan untuk meneruskan perkahwinan.


MASYARAKAT masih mendiskriminasi pesakit HIV.


Bagaimanapun, katanya, pasangan pengantin tersebut perlu memahami cara HIV merebak dan mengetahui langkah-langkah yang perlu dielakkan.

"Mereka yang menjalani ujian HIV perlu mendapat kaunseling sebelum dan selepas ujian ini supaya mereka dapat memahami, membincangkan kaedah pencegahan dan jika perlu, berbincang mengenai pilihan rawatan.

"Salah satu langkah bijak untuk menyelamatkan pasangan atau cahaya mata dijangkiti HIV ialah menggunakan kondom sewaktu melakukan hubungan intim. Tanpa perlindungan, HIV boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi ketika hamil, sakit bersalin atau menyusukan bayi.

"Jangan memperlekehkan pengambilan ubat kerana sekiranya ubat antiviral tidak diberikan, bayi yang dilahirkan oleh si ibu yang positif HIV berisiko dijangkiti sehingga 30 peratus," katanya.

Namun, jangkitan daripada ibu kepada anak boleh dibendung dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu, melahirkan bayi secara pembedahan dan memberi anak susu formula. Dengan ini, risiko bayi dijangkiti HIV dapat dikurangkan sebanyak lima peratus.

Jelas Dr. Adeeba, pengambilan ubat bukan sahaja perlu dilakukan sebelum melahirkan anak tetapi individu yang menghidap HIV disarankan menjalani rawatan susulan secara berterusan.

Selain itu, beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai perihal stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap golongan yang hidup dengan HIV.

Ini kerana, langkah mewajibkan ujian ini dilakukan akan menyebabkan para petugas klinik atau pegawai kesihatan mengetahui maklumat peribadi pasangan pengantin yang dijangkiti penyakit HIV. Kesannya, bukan sahaja pasangan pengantin dipandang serong malah ahli keluarga mereka turut menerima tempias yang sama.


KONDOM perlu dipakai ketika melakukan hubungan seks bagi pasangan yang menghidap HIV.


"Tetapi ini tidak bermakna kami membantah pemeriksaan ini, malah pihak Majlis AIDS Malaysia, kami menyokong saringan HIV diperluaskan dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan bantuan rawatan HIV yang dibiayai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Namun ketelusan maklumat dan kepakaran khidmat nasihat bagi individu yang hidup dengan HIV secara amnya masih boleh dipersoalkan dan perlu dipertingkatkan. Sebuah badan AIDS di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNAIDS dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan saringan HIV dibuat secara sukarela dan sulit serta diiringi kaunseling yang dilaksana secara profesional oleh pegawai perubatan atau kaunselor terlatih" kata Adeeba.

Sila rujuk Guideline for Anonymous and Voluntary HIV Screening yang diterbitkan oleh cawangan AIDS/STD, Kementerian Kesihatan Malaysia.



SUMBER: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 26 Oktober 2008

MODEL HIBRID

Pengeluar fokus model hibrid

Oleh Mohd Razlan Salleh 
mrazlan@hmetro.com.my 





KRISIS kelembapan ekonomi dunia tidak mengganggu kelancaran Pameran Motor Paris 2008 (Paris Motor Show) memperagakan beberapa model konsep dan jentera terbaru untuk pasaran global.

Pameran selama 15 hari bermula 4 hingga 18 Oktober lalu itu berjaya dengan penyertaan lebih 360 kenderaan dari 25 negara.


Malah, kegawatan tidak melemahkan semangat 1.43 juta peminat kenderaan seluruh dunia hadir di pameran itu.

Kenderaan mesra alam terus mendapat perhatian selain jentera yang menggunakan enjin lebih berkuasa, aerodinamik dan berteknologi tinggi.

Kebanyakan pengeluar kenderaan dunia kini lebih memberi fokus kepada pengenalan model hibrid, berkuasa elektrik dan penjimatan minyak melalui penggunaan bahan bakar alternatif selain petrol.

Sebanyak 20 kenderaan konsep dipamerkan di Pusat Ekspo Porte de Versailles, Paris yang anjurkan Organisation Internationale des Constructeurs d'Automobiles, Perancis.

Antaranya model konsep yang mendapat perhatian terdiri daripada Audi A1 Sportback, BMW X1, Chevrolet Orlando, Citroen GT, C-Cactus Hybrid dan Hypnos, Honda Insight, Lamborghini Estoque.

Maserati GranTurismo MC, Mazda Kiyora, Mercedes-Benz Concept, Mini Crossover, Nissan Nuvu, Peugeot Prologue dan Peugeot RC, Pininfarina B0, Renault Ondelios dan Z.E, Saab 9-X Air BioHybrid dan Ssangyong C200.

Audi A1 Sportback adalah kenderaan konsep generasi kedua yang dipamerkan di pameran kali ini.

Kenderaan lima pintu itu hasil kejayaan pembangunan projek khas yang dikenali sebagai 'Metroproject Quattro'.

Ia dijana enjin hibrid yang dipadankan bersama enjin petrol 1.4 L klac berkembar menjadikan pertambahan kuasa sebanyak 27 kuasa kuda (bhp) daripada enjin asal.

A1 Sportback mencatatkan masa 7.9 saat untuk jarak 62 batu sejam (mph) apabila kuasa elektrik memacu roda hadapannya.

Citroen GT adalah model terbaik hasil kerjasama Citroen dan pengeluar simulasi perlumbaan terkenal Jepun, Polyphony Digital.

Jentera seberat 1,400 kilogram (kg) itu menggunakan sel bahan api sebagai nadinya menghasilkan 780 bhp daripada empat motor elektrik yang terdapat pada enjinnya.

Selain itu, model Citroen C-Cactus dicipta berdasarkan konsep pokok kaktus yang boleh hidup tanpa perlu menerima air yang banyak.

Ini terbukti apabila C-Cactus hanya memerlukan bahan bakar serendah 3.4 liter untuk jarak perjalanan sejauh 100 kilometer (km).

Honda Insight generasi kedua adalah antara model yang menjadi pertaruhan Honda untuk pasaran Eropah.

Model itu memerlukan 3.53 liter bahan bakar untuk perjalanan sejauh 100 km dan lebih menjimatkan daripada model Civic Hybrid yang menggunakan 5.88 liter bahan api untuk jarak perjalanan sama.

Bagi penggemar Ferrari, pelancaran California dijangka mendapat sambutan hangat berikutan ia satu-satunya model kenderaan mewah itu dengan tempat duduk lebih luas.

California dijana enjin 4.3 L V8 yang menghasilkan 453 kuasa kuda dengan klac berkembar tujuh kelajuan. Model ini adalah yang pertama menggunakan sistem suntikan terus petrol.

Keseluruhannya, pameran motor tertua (pertama kali diadakan pada 1898) itu memberi keyakinan semula kepada pengguna kemampuan dan keprihatinan pengeluar automotif dunia yang peka dengan kepupusan bahan bakar dan cenderung menggunakan bahan alternatif mesra alam.


SOURCE:  MYMETRO ONLINE
KRISIS kelembapan ekonomi dunia tidak mengganggu kelancaran Pameran Motor Paris 2008 (Paris Motor Show) memperagakan beberapa model konsep dan jentera terbaru untuk pasaran global.















Selasa, 14 Oktober 2008

GEJAL DEMAM TIFOID

Gejala demam tifoid

# Demam (39 hingga 40° Celsius)

# Badan terasa lemah

# Sakit kepala

# Sakit perut

# Hilang selera makan

# Cirit-birit (kanak-kanak)

# Sembelit (orang dewasa)

Diagnosis, komplikasi dan rawatan

Diagnosis tepat boleh dilakukan dengan dua cara iaitu ujian kultur darah (pada minggu pertama selepas demam) atau kultur najis. Bagaimanapun, cara ini jarang dilakukan kerana ia tidak praktikal.

Menurut Dr Lim, komplikasi demam tifoid jarang berlaku. Kebanyakan pesakit segera berjumpa doktor kerana gejala demam tifoid menyebabkan mereka berasa lemah, tidak bertenaga, sakit perut dan kepala sehingga menjejaskan aktiviti harian.

Namun jika dibiarkan dan tidak mendapat rawatan segera, demam tifoid boleh menyebabkan:

# Pendarahan usus

# Penembusan usus (usus menjadi bocor atau berlubang)

# Peritonitis (keradangan membran yang mengalas abdomen)

# Renjatan (bagi kes serius)

# Kematian (bagi kes serius)

“Kematian akibat demam tifoid tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh dirawat dengan mudah melalui pengambilan antibiotik seperti ampicilin, trimethorprim-sulfametahoxale dan ciproflaxin.

“Pesakit akan menunjukkan kesan positif dalam masa dua hingga tiga hari selepas mengambil antibiotik. Pesakit yang gagal mendapat rawatan pula boleh mengalami demam sehingga berbulan lamanya.

“Jangkitan bakteria demam tifoid tidak hilang walaupun gejalanya tiada. Penyakit boleh muncul kembali dan berjangkit kepada orang lain,” katanya.

Selain mengamalkan kebersihan ketika menyedia, memasak dan menyimpan makanan, penyebaran bakteria ini boleh dihentikan melalui pengambilan vaksin.

Ketika ini pengambilan vaksin diwajibkan ke atas semua pengendali restoran atau gerai makanan. Namun, masalah boleh timbul kerana banyak pengusaha mengambil pekerja sambilan yang tidak mendapat suntikan vaksin tifoid.

Malah, kita juga perlu lebih berhati-hati apabila membeli juadah berbuka kerana risiko mendapat jangkitan bakteria S typhii sentiasa ada. Beli makanan daripada gerai bersih dan penjualnya turut mengambil langkah dalam memastikan juadah dijualnya selamat iaitu menggunakan bekas makanan bertutup, senduk bersih dan berasingan bagi setiap jenis makanan serta tidak mengambil makanan (contohnya kuih) dengan tangan.

Jika anda diserang demam tifoid dan mendapat rawatan, beberapa langkah penting perlu dipatuhi iaitu:

# Habiskan semua antibiotik yang diberi mengikut jadual

# Basuh tangan dengan sabun setiap kali selepas keluar dari tandas

# Elak memasak atau menghidang makanan kepada orang lain untuk mengurangkan risiko jangkitan

# Buat pemeriksaan sampel darah atau najis bagi memastikan bakteria S typhii tiada lagi dalam badan anda



Cara mengelak demam tifiod:

# Elak makanan dan minuman berisiko tinggi dapat membantu anda daripada penyakit cirit-birit, kolera dan hepatitis A

# Beli air minuman yang dimasak atau dibotolkan

# Makan makanan yang dimasak saja dan ketika masih panas

# Elak makan sayur-sayuran mentah atau buah-buahan yang tidak dikupas kulit.

# Elak membeli makanan daripada warung tepi jalan, terutama berhampiran lalu lintas yang sibuk. Kebanyakan demam tifiod membabitkan makanan atau minuman yang dijual secara terbuka di tepi jalan

# Kupas buah atau sayur selepas mencuci tangan dengan sabun

# Elak minuman berais kerana bimbang sumber air yang digunakan untuk membuat ais itu tercemar. Bakteria ini boleh hidup lama di dalam persekitaran sejuk

# Pengendali, pengusaha dan pekerja restoran perlu mendapatkan suntikan pencegahan demam tifoid setiap tiga tahun. Suntikan ini juga perlu jika anda mahu melancong ke negara yang banyak kes demam tifoid (sekurang-kurangnya seminggu sebelum berangkat). 



SOURCE:   http://serikasih.blogspot.com

Khamis, 2 Oktober 2008

KERETA HIBRID LEBIH MAHAL

Kereta hibrid lebih mahal



HONDA Insight dengan enjin hibrid.

WALAUPUN menjimatkan penggunaan minyak, kereta hibrid belum meluas di pasaran akibat pelbagai halangan. 

Antara faktor halangan utama adalah harga yang lebih mahal kerana kereta hibrid mempunyai banyak komponen, berbanding sistem konvensional. Kebanyakan komponen adalah elektronik yang kompleks, terutama sistem kawalan. 



Sebuah kereta hibrid Honda dengan enjin kapasiti 1.3 liter berharga antara RM160,000 hingga RM170,000. Kos kereta yang sama tetapi menggunakan enjin pembakaran dalam pula berharga antara RM110,000 hingga RM120,000.


Perbezaan harga yang besar ini kerana reka bentuk kereta hibrid yang kompleks. Badan kenderaan ini dikatakan diperbuat daripada aluminium yang mahal untuk meringankan keseluruhan kenderaan. 

Bolehkah kos kereta hibrid dikurangkan? Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azhar Abdul Aziz, percaya ini boleh dilakukan dengan penggunaan komponen elektronik secara meluas, kos pemasangan yang rendah dengan peningkatan permintaan, reka bentuk mudah dan ringkas serta subsidi kerajaan. 

Katanya, ini memerlukan penyelidikan rapi oleh pengeluar kenderaan dalam usaha menembusi pasaran di dunia.

Penggunaan kereta hibrid tidak terlepas daripada kontroversi kerana isu alam sekitar akibat penggunaan bateri sistem hibrid. 



Ketika ini, kereta hibrid menggunakan dua jenis bateri, iaitu nikel logam hidrid (nickel metal hydride) dan lithium ion. Walaupun kurang toksik berbanding yang berasaskan plumbum, bateri hibrid tetap dianggap berbahaya. 

Selain itu, teknologi hibrid masih baru dan memerlukan pengujian rapi serta masih kurang pusat servis yang menyediakan perkhidmatan lepas jualan. 

Ketika pengeluar kereta gergasi dunia berlumba-lumba memajukan kereta hibrid, pengeluar kereta kecil, termasuk Proton, menghadapi cabaran sama ada turut mengeluarkan kereta ini atau terus ketinggalan.

Dr Azhar berkata, cabaran pengeluar kereta kecil untuk menghasilkan teknologi hibrid adalah kos pelaburan yang tinggi, keperluan tenaga pakar penyelidikan dan suatu jangka masa untuk melihat hasil penyelidikan tercapai. 

Walaupun prototaip kereta hibrid berjaya dihasilkan, katanya pembinaan kilang mengeluarkan kereta hibrid memerlukan pelaburan besar dan rangkaian vendor yang banyak. 



“Kita perlu ingat bahawa terdapat banyak pihak yang melaburkan wang berbilion ringgit untuk menghasilkan sistem hibrid yang boleh diguna secara komersil seperti General Motor, Chryesler, Toyota, Honda, Ford dan Citreon.

Usaha Proton untuk bersaing dalam teknologi dan pengeluaran kereta hibrid ibarat perlumbaan Formula One. Pelumba yang handal tidak mencukupi, tetapi memerlukan sokongan kewangan dan kerja berpasukan yang kukuh serta dedikasi. 

Persoalan pokok kepada pengeluar tempatan adalah bersediakah mereka menceburi arena ini atau sekadar cukup dengan permintaan tempatan sedia ada? 



KERETA ELEKTRIK 

Kereta yang menggunakan motor elektrik untuk menghasilkan pergerakan. Sumber tenaga elektrik diperoleh dari bateri dalam kereta itu. Sumber lain yang berpotensi ialah dari fuel cell dan tenaga suria. Motor elektrik yang sering digunakan sekarang adalah dari jenis motor arus ulang-alik (AU). Kebelakangan ini, motor yang menggunakan magnet kekal juga popular kerana kos magnet kekal yang semakin menurun dan kualiti semakin meningkat. 

Prof Madya Dr Nik Rumzi Nik Idris dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata secara ringkas, kereta elektrik bergerak apabila motor elektrik menghasilkan daya kilas dan ya memutarkan tayar.

 

Katanya, kelajuan dan kuasa pemacuan kereta elektrik adalah berdasarkan kelajuan atau daya kilas motor elektrik. Pengawalan daya kilas atau kelajuan motor boleh dilakukan secara cekap dan pantas menggunakan penukar elektronik kuasa. 

“Apabila pemandu menekan pedal pemecut, pengawal akan memberikan isyarat kepada penukar elektronik kuasa untuk membekalkan arus atau voltan kepada motor yang berkadaran dengan tekanan kaki yang dikenakan pada pedal. 

“Kuasa yang digunakan untuk membrek boleh dikembalikan untuk mengecas bateri. Ini bermakna tenaga untuk membrek tidak akan hilang sebagai haba seperti kereta biasa,” katanya. 

Beliau berkata, penggunaan tenaga kereta elektrik lebih cekap kerana motor elektrik serta penukar elektronik kuasa boleh mencapai kecekapan hingga 90 peratus, berbanding enjin kereta pembakaran bahan api yang biasanya mempunyai kecekapan 20 peratus. 

Selain itu, katanya kos penyelenggaraan lebih rendah kerana tidak membabitkan penukaran minyak enjin, brek dan ekzos. Namun kos bateri adalah agak tinggi dan jangka hayat bateri haruslah panjang untuk memastikan bateri tidak perlu selalu ditukar. 



HYDROFUEL 

Hydrofuel yang dihasilkan sebuah syarikat tempatan, Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd (HFI), adalah formula penjimatan bahan api hingga 29 peratus dengan menggunakan air sebagai bahan bakar bersama petrol. 

Presiden HFI, Dr Halim Ali, berkata Hydrofuel menggunakan sistem teknologi air sebagai bahan bakar sesuai digunakan bagi kenderaan berkapasiti 2,000cc ke bawah. 

Memperjelaskan teknologi itu, katanya: ”Air dipecahkan menggunakan frekuensi tinggi dan dikongsi kegunaannya bersama petrol ketika melalui injektor kereta. 



"Melalui sistem ini, pemilik kenderaan boleh menjimatkan penggunaan petrol sebanyak 29 peratus dan pada masa sama, membantu memelihara alam sekitar," katanya 

Pengguna Hydrofuel hanya perlu memastikan sebuah air sebuah tong berkapasiti lima liter mencukupi. Setiap tong membolehkan penggunaannya bertahan hingga 2,000 kilometer. 

Apabila air berkurangan, alat pengesan yang dipasang pada kenderaan akan memberi amaran supaya menambah air pada paras yang disyorkan.


SOURCE:   BERITA HARIAN ONLINE

Isnin, 29 September 2008

SONY ERICSSON C702

Gaya hidup aktif


TEKSTUR yang selesa untuk digenggam.


SONY ERICSSON, baru-baru ini, telah menampilkan dua model terbaru dalam rangkaian Cyber-shotnya yang popular. Salah satunya ialah C702 Cyber-shot.

Dari segi rekaan, ia nampak teguh dan kelihatan 'berat', tetapi sebaik sahaja tangan mencapainya, ia tidaklah seberat yang disangka. Beratnya cuma 105 gram dan ia selesa untuk dibawa.


Seperkara lagi yang menarik untuk diperkatakan tentang binaannya ialah material belakangnya. Teksturnya yang selesa digenggam, tidak licin dan tidak mungkin dikotorkan dengan cap jari.


IA sesuai dibawa walau dalam pelbagai keadaan cuaca.


Bersifat kalis curahan air dan debu, ia membolehkan anda merakamkan gambar dalam kebanyakan situasi yang mungkin anda tidak boleh melakukannya sebelum ini. Anda juga tidak perlu bimbang soal cuaca atau mengambil gambar di kawasan yang berdebu. Nyata sekali, ia pilihan bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif. Ia dijuruterakan untuk membolehkan anda merakam foto di lebih banyak tempat dan keadaan.

C702 direka untuk membolehkan anda mengambil gambar dari pelbagai arah menerusi kamera 3.2 megapikselnya. Kekunci kamera dan penutup lensanya direka khusus dan terletak pada kedudukan yang membolehkan anda menstabilkan kamera, lalu memudahkan rakaman gambar dengan satu tangan.


C702 Cyber-shot mengintegrasikan sistem pengesanan kedudukan global (GPS) dengan rangkaian khidmat pengimejan berasaskan lokasi yang benar-benar menambah dimensi baru dalam rakaman dan pengurusan gambar. Apabila anda merakam gambar, maklumat tentang di mana anda berada akan secara automatik ditambah pada imej tersebut.


Jika anda sesat dalam perjalanan, Google Map for Mobilememberikan lokasi dan memandu anda ke tempat yang ingin dituju. Dengan itu, ia membolehkan anda bertebaran sebebasnya dengan rasa yakin. Gunakan GPS untuk menentukan lokasi anda dan kemudian dapatkan panduan selekoh demi selekoh bersuara ke destinasi anda.


Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu biru cyan dan hitam. Ia mempunyai memori bina dalam 150 Megabait dan dilengkapi dengan slot memori luaran yang boleh menampung memori sehingga 4 Gigabait.


SOURCE:  KOSMO ONLINE