Ahad, 3 Ogos 2008

SAIFUL VS ANWAR (2)

Saiful dakwa atur pertemuan sulit Anwar







KUALA LUMPUR - Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan bahawa antara tanggungjawab yang diberikan oleh bekas majikannya adalah termasuk mengatur pertemuan sulit dengan Ahli Parlimen yang ingin melompat parti.

Dalam laman blognya http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com, Mohd. Saiful berkata, biasanya pertemuan diadakan di Kondominium Desa Damansara.


Mohd. Saiful, 23, berkata, ketika menjadi pembantu khas kepada Anwar beliau pernah mengikut Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ke luar negara termasuk ke Hong Kong (awal Mei), Bangkok (hujung Mei) dan Singapura (16 dan 18 Jun).


Dalam artikel bertajuk Tugas-tugas seorang bekas Coffee Boy kepada DSAI dalam laman blog itu yang bertarikh semalam, Saiful turut mendedahkan bahawa tugasan serta tanggungjawabnya ialah membantu ketua staf, Ibrahim Yaacob menguruskan jadual Anwar.


articles source: http://www.kosmo.com.my

P/S: Boleh percaya ke si Saiful ni... Bagi pandangan anda di ruangan komen dibawah ... siapa yang benar. Saiful atau Anwar.... atau E-mail kat Naza1@ymail.com.... TQ

NAJIB BERUSAHA GAGALKAN ANWAR

Najib berusaha gagalkan Anwar ke Putrajaya?


Mohd Zamirul Mohd Dzaki
Sun | Aug 03, 08 | 7:01:28 am MYT



BUKIT MERTAJAM, 3 Ogos (Hrkh) - "Sebenarnya persaingan Politik Malaysia pada hari ini adalah antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri' Najib Tun Razak, " demikian tegas Majlis Pimpinan Tertinggi Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin dalam ceramahnya di Ceruk To' Kon, Bukit Mertajam kelmarin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Bard mengatakan, dunia pada hari sedang memerhatikan dua tokoh tersebut kerana Anwar dan Najib masing-masing sedang berhadapan dengan cabaran dan dugaan besar.


Menurutnya, Anwar sedang berhadapan dengan cabaran usahanya membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September nanti manakala Najib pula sedang berhadapan cabaran berkenaan penglibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya yang semakin terbongkar.

Oleh itu tegas beliau, Najib terpaksa mencari jalan mengagalkan Anwar dari sampai ke Putrajaya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.


Maka, sebab itulah tuduhan liwat yang membabitkan Anwar sengaja ditimbulkan bagi menghalang Anwar mendaki ke puncak kuasa,katanya.

"Pada 1998 Anwar difitnah dengan tuduhan liwat kerana beliau pada waktu itu sudah sedikit sahaja lagi akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, kini 2008 situasinya sama di mana Anwar hari ini juga sedikit sahaja lagi akan menjadi Perdana Menteri, maka skrip lama berkenaan isu liwat itu diulang," katanya.


Tambahnya, tuduhan seperti Anwar agen Amerika Syarikat dicanang ke seluruh negara bagi memburukkan imejnya.

Badrul Hisham menjelaskan, bukan Amerika sahaja yang memberi perhatian pada Anwar tetapi seluruh dunia termasuk negara-negara Islam mengambil berat tentangnya.

"Semua taktik jahat ini dilakukan bagi memastikan kelangsungan politik Najib dan BN terus kekal dan selamat,"katanya lagi.


Badrul Hisham Shaharin menyampaikan ceramah tersebut sepena program 'Tour Merdeka Harapan Baru Anak Malaysia' yang berlangsung di Galeri Pejuang di Cherok To'Kun Bukit Mertajam.


Turut sama dalam program itu ialah Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan;, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Uban, Raveentharan dan beberapa pemimpin Parti KeADILan Rakyat. - mks._



ARTICLES SOURCE: http://www.harakahdaily.net

PM DUKACITA

Isu Proton: PM dukacita



SHAH ALAM 2 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa dukacita dan sedih berhubung isu penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini yang dikaitkan dengan kualiti kereta nasional itu.


Perdana Menteri berkata, bukan kualiti menjadi punca masalah berkenaan, sebaliknya sikap tidak bertanggungjawab pihak yang menyenggara kenderaan tersebut.

"Saya adalah peminat Proton dan sudah tentu saya dukacita dan sedih bila dengar cerita Proton di Terengganu.


"Tapi saya diberitahu ini bukan pasal Proton tak baik, tapi yang membaiki (bengkel) tak betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pengeluaran kereta Proton ke-3,000,000 dan Minggu Teknologi Proton di sini hari ini.


Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan kos RM3.43 juta untuk Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Pendedahan media mengenai isu penggunaan kereta mewah itu telah membawa campur tangan Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang setakat ini menahan tiga pemilik bengkel kereta di Terengganu bagi membantu siasatan kes penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri berjumlah RM1.07 juta dalam tempoh empat tahun.


Kos penyenggaraan kereta nasional yang tinggi itu adalah sebab mengapa kerajaan negeri beralih kepada penggunaan Mercedes sebagai kenderaan rasmi anggota Exconya.

Isu kereta Mercedes itu turut mendorong Proton mengaudit rekod penyenggaraan semua Proton V6 Executive yang digunakan oleh kerajaan Terengganu dan Persekutuan bagi menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pusat servis bertauliahnya.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my/utusan


P/S: APA PENDAPAT ANDA TENTANG PROTON ADAKAH IANYA RELEVEN ATAU TIDAK. BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL KAT NAZA1@YMAIL.COM .... TQ

Sabtu, 2 Ogos 2008

MUFTI PERLIS TEGUR PAK LAH

Mufti Perlis tegur Pak Lah letak kalungan bunga Tugu Peringatan






01-08-2008 06:42:21 PM
Oleh ZIEMAN


PETALING JAYA: Perbuatan bertafakur, meletakkan kalungan bunga atau tabik hormat yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.


Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin membuat kenyataan ini ketika mengulas tentang istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan semalam yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah memulakan upacara meletakkan kalungan bunga itu, diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.


Terdahulu, Abdullah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan penghormatan membabitkan 103 anggota dan pegawai Askar Melayu Diraja.

“Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan," jelas Dr Asri.


Kata beliau lagi, perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati.

"Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin," jelas Dr Asri.

Menurut Dr Asri, jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas.

"Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar," katanya.


Firman Allah: (maksudnya) “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah patung-patung ini yang kamu berdiri di hadapannya (memujanya)? Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya 50-54)”


Perbuatan menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara ini juga difahamkan melanggar Fatwa Mufti (Edisi 2008).

Di bawah SubSeksyen 36(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengikut SubSeksyen 39(6) Enakmen menyatakan, " Meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan"


ARTICLES SOURCE: http://mstar.com.my


P/S: BAGI PANDANGAN ANDA TENTANG ARTIKEL INI DIRUANGAN KOMEN DIBAWAH....... TQ

BUAH PERIA BANTU RAWAT DIABETES

Buah peria bantu rawat diabetes


EKSTRAK daripada biji peria menghasilkan protein hipoglisemik.


Penyakit kencing manis atau diabetes merupakan salah satu penyakit yang semakin banyak dihidapi oleh masyarakat sekarang ekoran gaya hidup moden. Makanan segera, makanan siap dibeli di gerai atau restoran kadang-kala boleh menyumbang kepada penyakit berkaitan.


Di Malaysia saja, hampir 1.2 juta individu dikenal pasti menghidap tersebut dan menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), diabetes boleh berlaku pada mana-mana kaum di negara ini.


Diabetes jika tidak dikawal boleh menyebabkan beberapa komplikasi termasuk penyakit kardiovaskular atau jantung, kegagalan ginjal, kerosakan retina, saraf dan luka yang sukar disembuhkan.


Diabetes melitus terbahagi kepada dua kategori, jenis 1 yang biasanya pada kanak-kanak atau remaja dan jenis 2 biasanya berlaku pada usia lebih 30 tahun disebabkan penyakit.

Ketidakupayaan badan menghasilkan insulin (hormon yang menseimbangkan paras gula dalam darah) merupakan penyebab terbesar diabetes dan pesakit biasanya dirawat dengan suntikan insulin.


Bioteknologi dalam penjagaan kesihatan telah digunakan bagi mengekstrak protein daripada biji buah peria yang hampir sama dengan insulin yang dinamakan Polypeptide-K yang efektif terhadap diabetes.


Penemuan berkenaan dihasilkan oleh seorang saintis terkemuka dari India, Lady Prof Dr. Pushpa Khanna selepas beliau bersara.

Prihatin terhadap ramai pesakit diabetes, Khanna yang tidak boleh duduk diam di rumah tetapi terus ‘mencari’ apa yang boleh dilakukan untuk membantu.


“Pada suatu malam saya terfikir, sejak zaman-berzaman nenek moyang kita telah menggunakan peria untuk mengawal diabetes.


“Apa salahnya untuk saya mencari apakah bahan aktif di dalamnya yang dapat membantu,” katanya semasa ditemui selepas majlis perasmian Diabegard di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Biarpun bergelar pesara tetapi keinginannya untuk menjalankan kajian tidak pernah pudar sejak 30 tahun mengabdikan diri dalam penyelidikan.


Menyedari rasa peria yang pahit dan tidak ramai menggemarinya beliau mula mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya.

Menjalankan kajian di rumah, beliau berjaya menghasilkan ekstrak daripada biji buah peria yang biasanya dibuang saja.


Beliau berkata, objektif proses pengekstrakan adalah untuk mengasingkan protein daripada biji buah peria.


“Hasil akhir merupakan protein hipoglisemik yang dinamakan polypeptide-K. Proses berkenaan menghasilkan komposisi hipoglisemik tulen yang amat berkesan bagi rawatan diabetes melitus,” katanya.

Setelah menjalankan kajian demi kajian saintis wanita yang dilahirkan pada 3 Disember 1928 ini mula meletakkan hasil kajiannya di Internet.


Melihat kepada kejayaan beliau, bukan saja menarik perhatian saintis di peringkat antarabangsa tetapi kajian ekstrak peria itu juga telah dianugerah Dame of Justice oleh Sovereign Order of the Khights of Justice di London.


Teknologi pengekstrakan pengasingan protein Khanna telah didaftarkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan dipatenkan di 93 buah negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia.

Di negara ini, sebuah syarikat bioteknologi yang beroperasi di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. menyediakan program perintis bagi proses mengasingkan protein hipoglisemik (polypeptide-k) daripada biji kering buah peria dalam penjagaan kesihatan herba dan perubatan tradisional.


Syarikat berkenaan telah menandatangani perjanjian persefahaman bagi pemindahan teknologi dengan Khanna bagi proses pengasingan protein daripada biji kering buah peria.

Khanna berkata, polypeptide-k mempunyai turutan yang hampir sama dengan insulin lembu dan manusia.


“Ini amat berguna untuk rawatan diabetes melitus.

“Protein berkenaan boleh diambil secara oral menerusi sub-lingual route iaitu diletakkan di bawah lidah,” katanya.


Sebelum ini tidak terdapat laporan pengekstrakan insulin daripada sumber tumbuhan secara komersial.


Selain itu produk hilirannya proses ekstrak juga telah dipatenkan iaitu minyak yang berguna sebagai ubat luka, gangrene dan artritis.


Magna Bio-laboratories Sdn. Bhd. telah membeli biji kering buah peria dari India bagi tujuan pemprosesan pengasingan protein.


Kini Magna Mission Sdn. Bhd. menggalakkan petani tempatan dan badan-badan kerajaan seperti FAMA, FELDA, FELCRA dan MARDI untuk menjalankan kajian bagi penanaman peria bagi biji yang digunakan bagi ektrak polypeptide-k.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: JIKALAU ANDA TAHU TENTANG APA2 RAWATAN DIADETES ATAU CARA2 MENCEGAHNYA BOLEH BAGI KOMEN KAT BAWAH ATAU E-MAIL NAZA_KKM@YAHOO.COM......TQ

Jumaat, 1 Ogos 2008

REBET TUNAI

Boleh tuntut rebat tunai dalam talian



KUALA LUMPUR - Rebat tunai bagi subsidi petrol yang diagihkan melalui Pos Malaysia Berhad (PMB) kini boleh dibuat melalui online (dalam talian).


Transaksi itu boleh diakses di www.posonline.com.my dan pilihan itu adalah bagi melengkapkan tuntutan rebat tunai yang ada sekarang yang boleh dibuat di semua pejabat pos di seluruh negara, kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan di sini semalam.


Melalui kaedah itu, pemilik kenderaan mempunyai pilihan untuk menerima tuntutan dalam bentuk kiriman tunai atau dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka, kata kenyataan itu.


Bagi kiriman wang, ia mengambil masa tujuh hari bekerja mulai daripada tarikh tuntutan itu dibuat bagi Pos Malaysia membuat penghantaran kepada alamat surat menyurat pemilik kenderaan.

Kenyataan itu berkata, bagi mereka yang memilih rebat itu dimasukkan terus ke dalam akaun masing-masing, mereka akan menerima wang itu dalam tempoh tiga hari daripada tarikh tuntutan itu.


Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan bagi mengurangkan beban orang ramai berikutan kenaikan harga bahan api itu.


Pemilik kenderaan berkuasa 2,000 cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang berkuasa 2,500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun namun, bagi pemilik motosikal berkuasa 250 cc ke bawah rebatnya RM150 setahun.

Pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan rebat itu sehingga 31 Mac tahun depan. - Bernama



ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my/kosmo

BICARA SEKS

Bicara seks bukan kotor




IBU memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai seks kepada anak-anak. - Gambar hiasan


APABILA membicarakan soal seks secara terbuka, pasti masyarakat menolaknya. Seks dianggap sebagai satu topik memalukan serta tidak manis untuk diperkatakan terutamanya di hadapan anak-anak.


Ibu bapa khususnya masih lagi mempunyai perasaan segan dan tidak terbuka untuk membincangkan perkara ini walaupun hakikatnya pendidikan seks seawal usia harus diterapkan bagi mengelak berlakunya masalah sosial seperti yang dapat dilihat sekarang.


Mungkin ia berlaku kerana terikut dengan budaya dan adat ketimuran yang mana dalam sesebuah keluarga, tajuk perbincangan seperti seks dianggap tabu atau tidak boleh disebut langsung.

Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak kurang pengetahuan tentang apa yang dimaksudkan dengan perhubungan seks antara lelaki dan wanita.


Lebih menyedihkan apabila terdapat banyak kes pembuangan bayi disebabkan seseorang remaja hamil akibat melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Lebih malang, ada remaja menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang baru dilahirkan.


BUANGKAN perasaan malu untuk berbincang mengenai seks dengan anak-anak. – Gambar hiasan


Justeru, penerapan terhadap didikan seks pada awal usia mampu memelihara anak-anak daripada cuba melakukan perkara tersebut sekali gus menghindari penyakit kelamin seperti siflis, AIDS dan hepatitis, kata Pakar Psikologi Klinikal, Leong Huey Mei dalam satu bengkel bertajuk Talking about Taboo Topics.

“Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam menyediakan pengetahuan mengenai seks dan kaedah perancangan keluarga untuk anak-anak.

“Perkara paling sukar dalam memperkatakan topik mengenai seks dengan anak-anak ialah bagaimana untuk memulakan perbincangan tersebut. Tetapi sebagai ibu yang bertanggungjawab, ia adalah satu perkara yang wajib dilakukan.


“Memang kebiasaannya, si ibu pasti berasa segan pada mulanya, namun mereka harus memberanikan diri dan membuang perasaan malu demi kebaikan serta masa depan anak-anak. Jika perlu, selitkan gurauan bersahaja untuk mengatasi rasa segan itu,” kata Huey Mei yang telah banyak mengendalikan kes-kes sedemikian.


BARISAN penceramah, (dari kanan), Leong Huey Mei, Fatimah Abu Bakar, Dr. Ho Choon Moy, Lavin Seow dan Daphne Iking.


Tambah Huey Mei lagi, jika ibu bapa memilih untuk mendiamkan diri apabila anak-anak bertanya mengenai topik berkenaan, ia boleh memudaratkan keadaan kerana maklumat yang dikumpul sendiri oleh mereka tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai.


“Malah, pelbagai kajian telah membuktikan bahawa gadis remaja yang mendapat pendidikan seks pada awal usia daripada ibu mereka, kebarangkalian mereka menangguhkan hubungan seks di luar perkahwinan adalah lebih tinggi,” ujarnya pada majlis anjuran Bayer Schering Pharma ini.

Sementara itu, Konsultan Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Ho Choon Moy, berkata, selain memperkatakan tentang seks, ibu juga harus menekankan topik mengenai kaedah perancangan keluarga yang efektif.


“Memberi maklumat yang tepat dan benar mengenai seks dan juga kaedah perancangan keluarga yang berkesan adalah satu-satunya cara membantu anak-anak muda menghindari perilaku seks yang boleh memudaratkan diri,” jelas Choon Moy yang juga merupakan Pakar Kesihatan Wanita.




Turut berkongsi pengalaman dalam bengkel tersebut adalah ibu kepada pelakon popular, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar; pengacara My Australian Adventure dan My Star LG, Daphne Iking serta pemenang Miss Malaysia, Lavin Seow.

Fatimah, ibu kepada empat anak perempuan, mengakui bahawa pada awalnya dia sendiri malu untuk berbincang mengenai topik seks dengan anak-anaknya. Namun, atas rasa tanggungjawab, dia sedia menghadapinya untuk kebaikan anak-anak sendiri.


“Waktu kecil dahulu, ibu jarang memperkatakan soal ini secara terbuka kepada saya dan adik-beradik lain. Oleh itu, perasaan malu itu memang wujud. Tetapi menyedari betapa pentingnya pendidikan seks diajar kepada anak-anak, saya akur dan mula membuka minda untuk berbincang,” jelas Fatimah yang juga bekas tenaga pengajar rancangan realiti televisyen popular, Akademi Fantasia (AF).


Bagi salah seorang ibu yang menghadiri bengkel ini, Emy Hartini Abdul Hamid, 43, dia sudah mula faham bahawa pendidikan seks sebenarnya bukan satu perkara yang kotor untuk diperkatakan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk maklumat yang harus dibekalkan pada anak-anak demi menjamin masa depan mereka.


“Saya mempunyai seorang anak perempuan yang semakin meningkat remaja berusia 15 tahun dan dua anak lelaki berusia lima serta empat tahun. Setelah mengikuti bengkel ini, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul di bahu ibu begitu besar.

“Saya harus menyiapkan diri dengan segala ilmu untuk membincangkan perkara ini dengan mereka seperti cara berkomunikasi, kaedah penceritaan dan banyak lagi. Apa yang penting adalah saya tidak mahu mereka terjerumus ke arah masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang seperti seks bebas, hamil luar nikah, menghidap penyakit kelamin dan sebagainya,” kata Emy.


Kesimpulannya, apa yang ditekankan menerusi bengkel ini ialah ibu bapa tidak harus memandang ringan mengenai isu pendidikan seks pada awal usia kerana banyak manfaat yang diperoleh berbanding keburukan jika anak-anak mengetahuinya.


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my